Home Blog Page 27

Penduduk Tanjung Malim Pernah Dihukum Dan Digelar Pengecut Oleh Sir Gerald Templer

Pada tahun 1948, bermulanya peristiwa hitam di Tanah Melayu apabila darurat diisytiharkan oleh pentadbiran British akibat daripada serangan komunis keatas kepentingan dan aset-aset kerajaan, ladang-ladang serta lombong-lombong diserata Tanah Melayu.

Semuanya bermula pada 16 Jun 1948, apabila komunis menyerang dan membunuh 3 pengurus ladang berbangsa eropah di Sungai Siput. Pengurus Estet Elphil, A.E. Walker telah ditembak di meja pejabatnya sendiri pada jam 8.30 pagi. Tiga puluh minit kemudian, Pengurus Estet Phin Soon iaitu John Allison dan pembantunya Ian Christian telah diikat dan dibunuh oleh pihak komunis. Serangan ini membawa kepada pengisytiharan darurat beberapa minggu kemudiannya.

Batu Nisan A.E. Walker

Pada 13 Julai 1950, Inspektor Ralph Lewis Inder dari pasukan Polis Melayu telah diserang oleh pihak pemberontak dan kemudian mati di Hospital Ipoh. Boris Hembry yang merupakan seorang peladang telah menulis buku bertajuk “Malaysian Spymaster: Memoirs Of A Rubber Planter, Bandit Fighter And Spy”, antara lain beliau menulis, “Mereka muncul pada awal pagi tersebut, pengganas komunis telah menakik (merosakkan) banyak pokok getah muda di Estet Dovenby. Ralph kemudian telah keluar untuk menyiasat dan pengganas tersebut sedang menunggu beliau.

Ralph dan pengiringnya seramai dua orang konstabel terpaksa melawan 6 menentang 1, namun mereka mempertahankan diri mereka dengan cekal. Seorang daripada konstabel tersebut terbunuh manakala seorang lagi cedera parah. Pengganas tersebut kemudiannya berundur dengan membawa senjata mereka”.

Keretapi yang tergelincir dari landasan akibat sabotaj komunis di Tanjung Malim

Serangan komunis kemudiannya terus memuncak dengan pada 4 Februari 1950 di mana seramai 80 pengganas Komunis telah menyerang dan membakar kampung yang mengakibatkan 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Kemudian pada 21 Febuari 1950, seorang pengganas telah berjaya ditembak oleh anggota Polis di Simpang Tiga, Perak. Pada tarikh 21 Januari 1952, seramai 20 orang pengganas komunis telah memasuki Kampung Behrang Ulu dan merampas 6 laras senjata api.

Tanjung Malim terus menjadi kawasan hitam apabila pada hari yang sama, seramai tiga orang komunis berjaya ditumbangkan oleh pasukan keselamatan di kawasan Estat Leonardo yang terletak sejauh dua batu dari pekan Tanjung Malim. Sehari kemudian, seramai 20 orang pengganas telah menyerang sekumpulan pekerja di Jabatan Kerja Raya dan merampas 7 kad pengenalan mereka.

Pengganas turut membakar lori milik Jabatan Kerja Raya dan telah menyebabkan kerugian bernilai $1,600. Pada tarikh 1 Febuari 1952, seramai 20 orang pengganas komunis telah menyerang dan merosakkan Balai Pengawal Polis di Tanjong Malim. Pelbagai kerosakan, kemusnahan harta benda dan korban jiwa berpunca daripada mereka.

Sekatan jalanraya oleh pasukan Home Guard di Tanjung Malim

Kemuncak kepada malapetaka ini apabila peristiwa terkorbannya Penolong Pegawai Daerah Tanjong Malim bernama Micheal Codner berserta 11 orang awam dan anggota polis pada tarikh 25 Mac 1952. Dengan terkorbannya Micheal Codner, ia secara tidak langsung telah memberi impak yang besar kepada pembangunan Tanjong Malim serta moral penduduknya.

Dalam 3 bulan pertama tahun 1952 terlalu banyak serangan komunis yang dilancarkan keatas Pekan Tanjung Malim antaranya lima serangan hendap dengan lima lagi serangan hendap yang berjaya digagalkan, 10 serangan keatas rondaan tentera dan polis, 7 tunjuk perasaan akibat tekanan keatas pihak buruh, 6000 pokok getah dirosakkan, serangan berterusan terhadap laluan paip air, 8 bas dan lori dibakar, keretapi digelincirkan, 15 peristiwa pembunuhan, 1 serangan keatas sebuah kampung dan banyak lagi perkara yang berlaku pada pekan kecil ini.

Jeneral Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British Malaya telah mengunjungi pekan ini bagi memantau persiapan pertahanan disitu pada 28 Mac 1952. Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk mengenakan hukuman keatas pekan ini atas alasan gagal untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi mengurangkan serangan komunis. Ia juga bagi menjadi pengajaran buat penduduk disini serta tempat lain juga supaya tidak membantu atau membuatkan komunis mudah melakukan keganasan ditempat mereka. Disebabkan itu, Jeneral Templer sendiri mengarahkan pekan ini dikenakan perintah berkurung selama 22 jam tanpa henti. Baki 2 jam lagi dibenarkan kedai untuk dibuka namun tidak ada seorang pun dibenarkan keluar dari pekan ini.

Jeneral Gerald Templer dan isterinya Lady Templer

Semua sekolah ditutup, beras hanya boleh dibeli mengikut kadar ditetapkan dan perkhidmatkan bas digantung. Pentadbiran daerah juga distuktur semula bagi memastikan kawalan ketat dipatuhi. Lebih ramai anggota tentera dan polis dikerah ke kawasan ini.

Jeneral Templer menggelar penduduk Tanjung Malim sebagai pengecut yang senyap dan bertanggungjawab penuh keatas serangan serta lain-lain kegiatan keganasan yang berlaku. Tanjung Malim juga seterusnya menjadi kawasan pertama di Tanah Melayu yang diisytiharkan sebagai Kawasan Hitam. Hukuman kolektif ini bertujuan untuk membuatkan penduduk Tanjung Malim lebih membantu pihak berkuasa melawan pihak komunis.

Tanjung Malim diisytiharkan kawasan putih semula

Namun pada 1958, selepas beberapa tahun digelar Kawasan Hitam, kawasan Tanjung Malim akhirnya digelar sebagai Kawasan Putih. Pengisytiharan ini dilakukan oleh Dato Abdullah Bin Noordin selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Ini selepas tiada lagi pergerakan dan aktiviti komunis dikesan disitu.

Pembebasan ini bermakna tiada lagi kawalan yang terlalu ketat dilakukan keatas kawasan Tanjung Malim. Namun Darurat keatas Persekutuan Tanah Melayu hanya benar-benar tamat pada tahun 1960.

Rujukan :

  1. Tanjong Malim, The Sunday Times Singapore, 30 March 1952
  2. ‘Silent cowards’ find their hearts at last, The Straits Times 23 November 1958
  3. Darurat di Tanah Melayu: Peristiwa dan Pengajaran Untuk Generasi Masakini Dalam Konteks Ketahanan Nasional, Zulhilmi bin Paidi & Rohani Hj Ab Ghani.
  4. Aksi dan Reaksi: Kekejaman Komunis di Tanjung Malim dan tindak balas British, Mac – April 1952 Noor Ain binti Mat Noor dan Azharudin Mohamed Dali.

Bendera Perak, Kebesaran Negeri Berdaulat

Bendera negeri adalah lambang kebanggaan dan penghormatan bagi setiap negeri di Malaysia. Setiap bendera negari mengandungi makna dan perlambangan tersendiri yang menggambarkan sejarah, budaya dan keagungan negari tersebut. Dalam artikel ini, kita akan menerokai bendera yang bermakna iaitu Bendera Perak dan meneliti peranan Sultan dan Raja dalam bendera ini.

Bendera Perak, Kebesaran Negeri Berdaulat
Bendera rasmi negeri Perak Darul Ridzuan

Maksud Bendera Perak

Bendera Perak merupakan bendera rasmi buat negeri Perak Darul Ridzuan yang menarik perhatian. Ia mempunyai tiga jalur yang sama lebar berwarna putih, kuning dan hitam. Setiap warna ini membawa maksud tersendiri dalam konteks kesultanan negeri Perak.

Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Ini adalah penghormatan kepada Sultan sebagai pemimpin tertinggi di negeri Perak Darul Ridzuan.

Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, yang merupakan pelengkap dalam struktur pemerintahan negeri Perak Darul Ridzuan.

Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan. Ini menggariskan peranan penting Raja Di Hilir dalam hierarki pemerintahan negeri Perak Darul Ridzuan.

Sejarah Kewujudan Bendera Perak

Raja Muda Yusuf sewaktu memangku jawatan Sultan Perak telah meluluskan usul untuk mewujudkan bendera untuk negeri Perak dalam Majlis Mesyuarat Negeri Perak pada tarikh 1 Mac 1879.

Dalam usul tersebut, terdapat gambaran bendera yang mempunyai 3 jalur warna yang sepertimana kita dalam lihat pada hari ini dalam warna jalur bendera negeri Perak Darul Ridzuan.

Untuk bacaan lebih terperinci berkenaan dengan sejarah kewujudan bendera Negeri Perak, anda boleh baca artikel yang pernah kami terbitkan sebelum ini di pautan Sejarah Kewujudan Bendera Perak.

Muat Turun Fail Rasmi Bendera Perak

Format fail rasmi bendera Negeri Perak dalam format Photoshop, Adobe Illustrator, dan gambar ada disediakan dibawah mengikut keperluan anda.

Sila klik pada pautan yang sesuai untuk memuat turun fail dalam format yang anda perlukan.

Penutup

Bendera Negeri Perak adalah simbol kebesaran dan kehormatan negeri Perak. Ia melambangkan peranan Sultan dan Raja dalam bendera ini memperkuat konsep raja berdaulat dalam pemerintahan negeri.

Bendera Negeri Perak adalah satu harta yang tidak ternilai buat rakyat di negeri Perak. Oleh yang demikian, kita wajar untuk menghargai warisan budaya dan kesetiaan kepada sistem pemerintahan yang kukuh.

Benarkah Jasad J.W.W. Birch Sudah Dipindahkan Dari Jiratnya Di Pasir Salak?

Kita semua sedia maklum akan peristiwa besar yang berlaku pada 2 November 1875, iaitu peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch, Residen British bagi negeri Perak yang pertama. Akibat dari dilihat cuba untuk mengubah ‘status quo’ pembesar-pembesar Melayu Perak serta tidak hormat akan adat serta amalan orang Melayu, beliau telah dibunuh di tebing Sungai Perak Pasir Salak ketika sedang mandi di rumah rakitnya itu.

Dalam serangan pada pagi 2 Syawal tersebut tersebut, jurubahasa beliau bernama Mat Arshad yang ketika itu diarahkan untuk menampal surat pengisytiharan lantikan Residen Perak oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, telah menjadi mangsa pertama dibunuh oleh pengikut Dato’ Maharajalela. Akibat amukan orang Melayu selepas itu, Askar Sepoi Sikh Hend Sheer Singh dan jurumudi perahu Din Larut turut terbunuh dalam serangan berkenaan.

J.W.W.Birch

J.W.W.Birch

Selepas ditikam, Mat Arshad yang dalam keadaan cedera itu lari ke dalam air untuk menaiki perahu naga milik J.W.W. Birch namun sekali lagi ditetak oleh Seputum di bahagian kepala. Ketika ini J.W.W. Birch sedang berada di rumah mandi. Melihat amukan Melayu, pengawal J.W.W. Birch yang bernama Khalil Khan yang berdiri di hadapan rumah mandi tersebut serta memegang sepucuk pistol, tidak melepaskan tembakan sebaliknya terjun ke sungai bagi menyelamatkan dirinya sendiri bersama seorang lagi askar sepoi.

Sambil melaungkan yang J.W.W. Birch sedang mandi dan meminta pengikut untuk mengikutinya ke tempat mandi tersebut, Pandak Indut merejamkan lembing ke arah J.W.W. Birch yang sedang mandi itu. Kemudian diikuti oleh Che Ali (Kulup Ali), Ngah Jabor dan Pajang Bur. Dato Maharaja Lela bersama Dato Sagor turut membaling lembing ke arah tempat mandi J.W.W. Birch itu. Dalam masa yang sama, orang-orang Melayu yang lain merusuh menyerang sepoi-sepoi yang masih ada di kawasan berkenaan.

Akibat daripada tikaman lembing itu, J.W.W. Birch jatuh ke dalam sungai. Ketika ini Seputum berlari ke tepi sungai. Ngah Jabor kemudiannya menjerit memanggil Seputum dan menyuruhnya menetak J.W.W. Birch. Apabila J.W.W. Birch timbul semula di belakang rumah mandi, beliau ditikam oleh Si Tuah dengan lembing yang diberikan oleh Dato Maharaja Lela dan kemudian ditetak sebanyak dua kali oleh Seputum. J.W.W. Birch lalu tenggelam dan dihanyutkan oleh arus sungai.

Tentera British

Tentera British ketika Perang Perak

Sementara itu Si Gondah berteriak ‘amuk’ dan terus menikam mereka yang berada di dalam perahu. Beliau disertai oleh Panjang Bur, Si Tuah, Che Ali, Tuk Lela Putera, Pandak Indut, Ngah Jabor dan Seputum. Akibatnyanya seorang sepoi bernama Hend Sheer Singh dan jurumudi perahu Din Larut terbunuh. Manakala Dollah dan seorang sepoi bernama Karit Singh mengalami kecederaan.

Pengikut Birch yang bernama Hamid serta beberapa orang temannya tidak mengalami kecederaan dalam serangan tersebut. Beliau bersama temannya kemudian berusaha menyelamatkan kerani Mat Arshad dengan membawanya menaiki perahu ke Residensi British di Bandar Bharu. Dalam pada itu, ketika pasukan sepoi sedang cuba untuk berundur, mereka telah melepaskan tembakan ke arah orang Melayu yang berkumpul di tebing Sungai Perak. Akibat tembakan itu, dua pengikut Dato Maharaja Lela bernama Si Anji dan Si Awang terkorban. Orang-orang Melayu kemudian membalas tembakan ke arah kumpulan sepoi yang cuba berundur itu dan mengakibatkan seorang sepoi cedera di mulut dan beberapa orang lagi sepoi yang ketakutan terjun ke dalam sungai.

Tentera Sepoi

Tentera Sepoi

Hamid mengambil raifal sepoi lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah dua orang Melayu yang berdiri di tepi sungai. Salah seorang daripadanya rebah lalu ditarik oleh kawannya untuk pergi berlindung. Orang Melayu melepaskan tembakan ke arah perahu kenaikan Hamid yang turut membawa kerani Mat Arshad namun tidak mengenai sasaran. Dalam perahu tersebut, mereka sedaya upaya cuba untuk menyelamatkan kerani Mat Arshad. Mat Arshad ketika itu dalam keadaan parah di bahagian kepala, perut dan bahu akibat menerima tikaman serta tetakan. Ketika perahu sedang melalui Kuala Trus, kerani Mat Arshad meninggal dunia.

Frank Swettenham ketika serangan ini berlaku sedang berada di sekitar kawasan Hulu Perak. Satu pasukan orang Melayu seramai 16 orang yang diketuai oleh Panglima Perang Semaun telah diarahkan oleh Sultan Ismail untuk memburu dan membunuh Frank Swettenham jika berjaya menjumpainya. Pasukan ini walaubagaimanapun gagal untuk mengesan kedudukan Swettenham kerana hari sudah malam.

Frank Swettenham

Frank Swettenhamk

Swettenham akhirnya berjaya tiba di Residensi British Bandar Bharu pada pagi 5 November 1875. Setibanya beliau di situ, beliau menerima sepucuk surat dari Kapten Innes yang menyatakan bahawa pasukan bantuan yang terdiri daripada 60 orang askar serta 30 orang polis akan berangkat untuk memperkuatkan kedudukan Bandar Bharu. Beliau juga dengan segera menghantar surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat yang kemudiannya menghubungi Gabenor Jeneral British India. Akhirnya Gabenor Jeneral British India setuju untuk menghantar 1,500 tentera bagi membantu British di Perak.

Mayat J.W.W. Birch dijumpai pada hari yang sama (2 November 1875, hari serangan di Pasir Salak) oleh Daing Patundo, anak Raja Daing yang mesra dengan pihak Inggeris, kira-kira 182.9 meter (200 ela) dari tempat kejadian. Mayat tersebut kemudian dibawa ke Residensi British di Bandar Bharu. Mayat J.W.W. Birch kemudian diperiksa oleh Inspektor Lagis Bin Suboh dan beliau melaporkan bahawa terdapat beberapa kecederaan di badannya seperti ditikam oleh lembing, kaki kirinya ditetak oleh parang dan jarinya terputus. Turut dijumpai kesan tetakan di kepala dan tangan.

Tentera British di Sungai Perak

Tentera British di Sungai Perak

Mayat J.W.W. Birch dikebumikan di kawasan Residensi British di Bandar Bharu pada malam 6 November 1975 setelah pasukan bantuan British tiba di residensi berkenaan. Beliau disemadikan dengan penuh penghormatan ketenteraan. Setelah Perang Perak meletus dengan tibanya tentera British dari India dan Hong Kong, beberapa orang tentera British yang terbunuh turut dikebumikan bersebelahan kubur J.W.W. Birch. Jenazah kerani Mat Arshad pula dikebumikan kira-kira 100 meter dari kedudukan kubur J.W.W. Birch.

Pada tahun 1887, iaitu 12 tahun selepas J.W.W. Birch dikebumikan di kawasan berkenaan, Residen British Perak ke 8 iaitu Sir Ernest Woodford Birch (beliau juga merupakan anak sulung kepada mendiang J.W.W. Birch) telah mentauliahkan Mr. J. H. Bodestyne bagi membina 5 tiang batu nisan salib yang diperbuat dari batu granit untuk jirat J.W.W. Birch serta askar-askar yang dikebumikan disitu. Turut dibina pagar besi mengelilingi kubur-kubur berkenaan.

the straits time

The Straits Times, 22 December 1887, Page 5

Binaan batu-batu nisan yang ada di jirat ini dibuat oleh tukang pembuat batu nisan Kristian yang terkenal di Singapura pada waktu itu dan strukturnya masih kekal dari dahulu sehingga ke hari ini sejak ia dipasang pada jirat J.W.W. Birch serta askar-askar British pada tahun 1887.

Ernest Birch

Sir Ernest Woodford Birch

Pengkaji serta penulis buku sejarah terkenal Malaysia yang bernama N.A. Halim di dalam bukunya ada menyatakan bahawa, kawasan perkuburan Birch telah diberi pengawasan oleh pihak British sejak tahun 1875 lagi. Mereka dipertanggungjawabkan untuk menjaga serta membersihkan kawasan perkuburan berkenaan. Mengikut catatan penjaga-penjaga yang diberi gaji oleh pihak Inggeris untuk memelihara perkuburan tersebut adalah seperti berikut, Mohd Taha Bin Ahmnad Tahun 19875-1897, Mohd Shahid Bin Mohd Taha 1897-1937, Haji Mahidin Bin Mohd Shahid 1937-1959, Hassan Bin Haji Mahidin 1959 dan seterusnya. Dari senarai ini maka jelaslah penjaga kubur Birch adalah diwarisi oleh satu keturunan. Bahkan sehingga akhir tahun 1980-an, diceritakan pewaris yang menjaga kubur ini masih mengambil gaji mereka yang dibayar oleh Pesuruhjaya British di Malaysia di Public Bank Teluk Anson (Teluk Intan).

Pada sekitar tahun 2018, team Orang Perak telah menjalankan ekspidisi untuk mencari semula kubur Mat Arshad yang sudah tidak ditemui (kali terakhir rekod menunjukkan kubur tersebut dijumpai adalah pada tahun 1970-an ketika lawatan pengkaji N.A. Halim). Dalam usaha tersebut, team Orang Perak telah menghubungi beberapa pihak termasuk pihak Kompleks Sejarah Pasir Salak serta pakar-pakar sejarah yang lain. Akhirnya kubur Mat Arshad berjaya dijejaki semula dalam ekspidisi berkenaan.

Kubur Birch

Kawasan perkuburan Birch

Hasil dari temu bual dengan pihak Kompleks Sejarah Pasir Salak berkenaan dengan hal dakwaan penduduk tempatan bahawa jasad J.W.W. Birch sudah tidak ada disitu dan dibawa pulang ke England, pihak Kompleks Sejarah Pasir Salak telah menyangkal dakwaan tersebut kerana tiada bukti mahupun rekod yang menyatakan hal sedemikian ada berlaku. Segelintir penduduk tempatan mendakwa bahawa jasad Birch sudah dibawa keluar dan hanya tinggal pakaian beliau sahaja disana. Hinggakan ada yang mendakwa pihak Inggeris membawa helikopter bagi memindahkan jasad Birch itu. Cerita-cerita lisan seperti ini agak popular dikalangan masyarakat, namun tidak ada pula usaha untuk mengesahkan perkara itu benar atau tidak. Kita sedia maklum pihak Inggeris agak teliti dalam menyimpan rekod-rekod apatah lagi jika melibatkan pegawai-pegawai mereka.

Sememangnya ada pernah berlaku pemindahan semula kubur pegawai British dan ada rekod yang menyatakannya. Seperti contoh apabila mendiang Kapten Syers (beliau merupakan watak utama dalam filem Mat Kilau) yang sebelum ini dikebumikan di Pekan, Pahang kemudian dipindahkan ke Kuala Lumpur pada tahun 1899. Bahkan dinyatakan bahawa pengebumian semula beliau ini telah dihadiri seramai 6000 orang masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin Inggeris di Tanah Melayu seperti Sir Frank Swettenham, Mr. Rodger, Sir Ernest Birch dan beberapa orang lagi. Kapten Syers terbunuh selepas ditanduk oleh seladang yang diburunya.

Kapten Syers

Kapten H.C, Syers

Kemudian kita boleh lihat rekod yang menyatakan tentang upacara pengebumian mantan Gabenor Borneo Utara yang juga pernah menjawat jawatan Residen British Perak iaitu Sir Ernest Woodford Birch. Beliau yang juga merupakan anak sulung kepada J.W.W. Birch meninggal dunia pada 17 Januari 1930 di kediamannya di Bexhill on Sea, United Kingdom. Mayat mendiang kemudian menjalani upacara di Gereja St Barnabas, Bexhill on Sea sebelum dikebumikan di perkuburan keluarganya di Perkuburan Bexhill.

Ini menunjukkan jika benar jasad J.W.W. Birch dibawa keluar dari Perak ke United Kingdom, sudah tentu jasadnya itu akan dikebumikan di tanah perkuburan keluarganya di Bexhill. Kemudian tidak mungkin Ernest Birch sewaktu menjadi residen akan mengeluarkan belanja besar bagi memperindahkan kawasan perkuburan J.W.W. Birch jika tiada lagi jasadnya disitu. Juga jika kubur berkenaan dibongkar, sudah pasti batu-batu nisan yang dipasang pada 1877 itu musnah.

Satu perkara lagi yang cukup kukuh, sudah pasti binaan asal batu nisan jirat tersebut akan musnah untuk tujuan pemindahan namun ia masih kekal sehingga hari ini dalam keadaan asal sejak ia dibina dalam tahun 1887. Sama juga seperti usaha pihak kedutaan British membayar orang tempatan bagi menjaga kawasan tersebut. Jadi kesimpulannya, hasil dari carian dan rekod yang ada, adalah diyakini bahawa jasad J.W.W. Birch dan tentera-tentera Inggeris yang dikebumikan di kawasan Residensi British di Bandar Bharu itu masih kekal hingga ke hari ini.

Rujukan:

  1. Pasir Salak Pusat Gerakan Menentang British, Prof Abdullah Zakaria
  2. Tempat-Tempat Bersejarah Perak, N.A. Halim
  3. Kaiserscross.com
  4. Arkib Straits Time

Bacaan Lanjut:

Gunung Matsurat, Gunung Warisan Kinta

Gunung Matsurat terletak di dalam kawasan persempadanan Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh dan di dalam kawasan pentadbiran Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh. Ia terletak di dalam Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta, Perak Darul Ridzuan.

Gunung Cheroh, Gunung Sejarah Kinta

Gunung Cheroh adalah gunung yang menjadi lokasi bersejarah yang dikaitkan dengan asal-usul nama Kinta. Ia terletak di dalam Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta, Perak Darul Ridzuan. Di kaki gunung ini terdapat gua-gua batu kapur yang amat menarik. Selain itu, ia terletak bersebelahan dengan Sungai Kinta.

Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh

Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh terletak di dalam Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta, Perak. Masjid telah dirasmikan oleh DYAM Raja Ekram ibni Sultan Yusuf Izzudin pada 16 Februari 1968. DYAM Raja Ekram merupakan Raja Di-Hilir Perak (1963-1978).

Kedudukan masjid ini terletak ditengah-tengah antara dua Makam Orang Besar Jajahan Kinta iaitu Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja (SABD) ke 3 Toh Changkat Rembiah (1740-1765) dan Panglima Kinta SABD ke 7 Ngah Jabor (1850-1876). Turut terletak berhampiran masjid ini adalah Makam Panglima Kinta SABD yang Pertama iaitu Toh Tambak (1670-1710).

Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh

Menurut cerita tetua, masjid ini adalah binaan kali ketiga. Binaan pertama diperbuat daripada kayu dan terletak berdekatan dengan Makam Panglima Kinta SABD ke 3 Toh Changkat Rembiah. Masjid binaan pertama roboh tanpa meninggalkan kesan. Masjid binaan kedua diperbuat daripada kayu dan ianya telah dipindahkan ke kawasan berhampiran Gunung Matsurat, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh walaubagaimanapun ianya telah roboh dimakan usia. Masjid ini dipindahkan untuk memberi laluan pembinaan masjid batu-bata yang kini dikenali sebagai Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh.

Tapak masjid ini dikaitkan dengan lokasi persembunyian Sultan Perak ke 25 Sultan Ismail (1871-1874), Dato Maharaja Lela ke 6 Pandak Lam, Dato Sagor Ngah Kamdin dan pengikut-pengikutnya ketika tercetusnya Perang Perak 1875. Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan Kesultanan Melayu Perak dan 20 ekor gajah. Ketika itu kampung ini adalah dibawah naungan Panglima Kinta SABD ke 7 Ngah Jabor dan diketuai oleh Toh Senongsa Seri Nara Wangsa (SNW) ke 9 Itam Dewi. Setelah mendapati lokasi ini tidak selamat, baginda bersumpah dengan memacak pedangnya ke tanah bahawa baginda akan kembali memerintah Negeri Perak suatu hari nanti dan beredar bersama pengikut-pengikutnya.

Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh

Bersumberkan dokumen Pejabat Tanah Kinta di Arkib Negara dipercayai tapak masjid ini telah wujud sebelum tahun 1911. Berdasarkan Enakmen Tanah 1911 (Seksyen 9), Residen British mengisytiharkan sebahagian daripada tanah dalam Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh, Perak (nombor plan 19242) direzabkan untuk tujuan masjid melayu dan tanah perkuburan Islam. Ia diselenggarakan oleh Panglima Kinta SABD ke 12 Che Wan (1905-1947) dan penggantinya yang akan dilantik oleh Pegawai Daerah Kinta. Ia telah digazetkan pada 1914 dibawah pentadbiran Residen British Perak yang ke 9 Reginald George Watson (1913-1919).

Menurut dokumen Pejabat Tanah Kinta, tapak masjid ini sebelum diwakafkan dahulunya dimiliki oleh empat tokoh utama di Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh iaitu Toh Senongsa SNW ke 9 Itam Dewi, Toh Senongsa SNW ke 5 Andak Selamah, Panglima Kinta SABD ke 7 Ngah Jabor dan Toh Senongsa SNW ke 8 Badiozaman.

Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh

Kini Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh tidak lagi berfungsi sebagai masjid biasa berikutan kewujudan Masjid Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh (Masjid Baru) yang terletak berdekatan dengannya. Masjid ini turut kelihatan berada dalam keadaan yang sangat uzur, usang dan memerlukan pembaikpulihan segera. Ia dicadangkan untuk dibaikpulih dan diselenggara agar dapat dikekalkan dan ditambahbaik nilai warisannya dan mampu berfungsi sebagai Pusat Ilmu bagi memastikan ianya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

Sumber dan rujukan:

  • “Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa”, susunan Tuan Haji Fazil Shuhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3)
  • “Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia”, tulisan Dr. Adib Vincent Tung terbitan Perak Academy.
  • “Kenali Kampung Kepayang”, arahan Mukriz Mahader terbitan Astro AWANI.
  • “Pasir Salak, Pusat Gerakan Menentang British di Perak”, tulisan Abdullah Zakaria Ghazali terbitan Yayasan Perak.
  • “Kinta Valley: Pioneering Malaysia’s Modern Development”, tulisan Salma Nasution Khoo, Abdur-Razzaq Lubis terbitan Perak Academy.

Toh Changkat Rembiah, Panglima Kinta SABD ke 3 dan Panglima Kinta SABD Pasak Kepayang yang Pertama

Toh Changkat Rembiah (1740-1765) merupakan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja (SABD) yang ke 3 dan merupakan Panglima Kinta SABD Pasak Kepayang yang Pertama dalam sistem penggiliran jawatan Panglima Kinta SABD antara benih Pasak Paloh dan benih Pasak Kepayang. Beliau juga merupakan cucunda kepada Maharaja Kinta Toh Chendang bin Kulop Kinta Toh Changkat Piatu di sebelah ayahandanya dan merupakan cucunda kepada Toh Senongsa Seri Nara Wangsa (SNW) ke 4 Toh Nyior Manis bin Toh Senongsa SNW ke 3 Tok Tempoyak di sebelah ibundanya.

Toh Changkat Rembiah, Panglima Kinta SABD ke 3 dan Panglima Kinta SABD Pasak Kepayang yang Pertama

Perkahwinan antara ayahandanya, Panglima Kinta SABD Toh Tambak dan ibundanya, Toh Puan Intan mencetuskan kewujudan satu gelaran baru yang dinamakan Panglima Kinta SABD dimana ayahandanya merupakan pemegang pertama bagi jawatan tersebut. Jawatan Toh Senongsa SNW pula diwarisi (kepada anakanda-anakandanya) melalui sebelah ibundanya yang berperanan menjadi Kapit kepada Panglima Kinta SABD yang memerintah Kampung Kepayang (Fair Park, Ipoh) dan disamping membantu Panglima Kinta SABD memerintah Kinta secara keseluruhannya.

Toh Changkat Rembiah, Panglima Kinta SABD ke 3 dan Panglima Kinta SABD Pasak Kepayang yang Pertama

Perkahwinan antara ayahanda dan ibundanya ini dipercayai sebagai simbolik untuk menyatukan dua keluarga pemerintah utama di Daerah Kinta atau ‘Negeri Kinta’, iaitu keluarga Maharaja Kinta Toh Chendang bin Kulop Kinta Toh Changkat Piatu (memerintah di sekitar Batu Gajah, Kinta) dan keluarga Toh Senongsa SNW ke 4 Toh Nyior Manis bin Toh Senongsa SNW ke 3 Toh Tempoyak (memerintah di sekitar Ulu Kinta, Kinta berpusat di Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh).

Toh Changkat Rembiah, Panglima Kinta SABD ke 3 dan Panglima Kinta SABD Pasak Kepayang yang Pertama

Ibunda kepada Panglima Kinta SABD ke 3 Toh Changkat Rembiah merupakan isteri kedua kepada Panglima Kinta SABD Toh Tambak. Perkahwinan ini telah mewujudkan satu sistem penggiliran antara dua benih keluarga Panglima Kinta SABD iaitu antara benih Pasak Paloh (melalui isteri pertama Toh Tambak) dan benih Pasak Kepayang (melalui isteri kedua Toh Tambak iaitu Toh Puan Intan). Selepas kemangkatan ayahandanya Toh Tambak, kekandanya (sebapa berbeza ibu) iaitu Toh Changkat Saga dilantik menjadi Panglima Kinta SABD ke 2 mewakili Pasak Paloh dan seterusnya Toh Changkat Rembiah telah dilantik menjadi Panglima Kinta SABD ke 3 mewakili Pasak Kepayang selepas kemangkatan kekandanya.

Toh Changkat Rembiah, Panglima Kinta SABD ke 3 dan Panglima Kinta SABD Pasak Kepayang yang Pertama

Beliau telah dikurniakan beberapa orang anakanda antaranya ialah Panglima Kinta SABD ke 5 Toh Ngah Gapor, Toh Senongsa SNW ke 5 Che Andak Selamah dan Toh Senongsa SNW ke 6 Toh Tua. Panglima Kinta SABD Toh Changkat Rembiah telah mangkat pada tahun 1765 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Masjid Al-Khairiah (Masjid Warisan), Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh berhampiran dengan makam ayahandanya, Panglima Kinta SABD yang Pertama Toh Tambak dan makam cucundanya, Panglima Kinta SABD ke 7 Toh Ngah Jabor.

Toh Changkat Rembiah, Panglima Kinta SABD ke 3 dan Panglima Kinta SABD Pasak Kepayang yang Pertama

Sumber dan rujukan:

  • “Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa”, susunan Tuan Haji Fazil Shuhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3)
  • “Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia”, tulisan Dr. Adib Vincent Tung terbitan Perak Academy.
  • “Kenali Kampung Kepayang”, arahan Mukriz Mahader terbitan Astro AWANI.
  • “Particulars on the Royal Family and Chiefs in Perak”, Arkib Negara Malaysia, ANM 3003/0008160

Toh Puan Che Intan binti Toh Senongsa Seri Nara Wangsa IV, Toh Nyior Manis

Toh Puan Intan binti Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Toh Nyior Manis merupakan pemegang gelaran Toh Puan yang pertama dikalangan isteri pembesar Melayu Perak yang dianugerahkan oleh DYMM Seri Paduka Sultan Perak Darul Ridzuan. Beliau dipercayai memegang gelaran ini pada tahun 1670 iaitu melalui perkahwinan beliau dengan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja (SABD) yang Pertama Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chendang (1670 – 1710). Panglima Kinta SABD Toh Tambak merupakan cicinda kepada Sultan Perak II, Sultan Mansur I ibni Sultan Perak I, Sultan Muzaffar Shah I.

Toh Puan Che Intan binti Toh Senongsa Seri Nara Wangsa IV, Toh Nyior Manis

Perkahwinan ini dipercayai sebagai simbolik menyatukan dua keluarga pemerintah utama di Daerah Kinta atau ‘Negeri Kinta’, iaitu keluarga Maharaja Kinta Toh Chendang bin Kulop Kinta Toh Changkat Piatu (memerintah di sekitar Batu Gajah, Kinta) dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa IV Toh Nyior Manis bin Toh Senongsa Seri Nara Wangsa III Toh Tempoyak (memerintah di sekitar Ulu Kinta, Kinta berpusat di Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh). Toh Puan Intan merupakan piat kepada Tun Kelalang bin Tun Saban iaitu Pemerintah Melayu Pertama di Daerah Kinta atau ‘Negeri Kinta’ bermula tahun 1528.

Toh Puan Che Intan binti Toh Senongsa Seri Nara Wangsa IV, Toh Nyior Manis

Toh Puan Intan merupakan isteri kedua kepada Panglima Kinta SABD Toh Tambak. Perkahwinan ini telah mewujudkan satu sistem penggiliran antara dua keluarga Panglima Kinta SABD iaitu antara Pasak Paloh (melalui isteri Pertama Panglima Kinta SABD Toh Tambak) dan Pasak Kepayang (melalui isteri kedua Panglima Kinta SABD Toh Tambak iaitu Toh Puan Intan) dimana anakanda beliau yang bernama Toh Changkat Rembiah telah dilantik menjadi Panglima Kinta SABD ke 3 mewakili Pasak Kepayang selepas kemangkatan kekandanya (sebapa berbeza ibu) iaitu Toh Changkat Sega (Panglima Kinta SABD ke 2) mewakili Pasak Paloh.

Toh Puan Che Intan binti Toh Senongsa Seri Nara Wangsa IV, Toh Nyior Manis

Beliau dipercayai telah meninggal dunia pada awal kurun ke 17 dan dikebumikan di sekitar kawasan tanah perkuburan Islam, Masjid Warisan, Masjid Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh berhampiran dengan makam suaminya (Panglima Kinta SABD yang Pertama Toh Tambak), makam anakandanya (Panglima Kinta Kinta SABD ke 3 Toh Changkat Rembiah) dan makam cicinda beliau (Panglima Kinta SABD ke 7 Toh Ngah Jabor atau Toh Gemok) walaubagaimanapun lokasi makam beliau tidak dapat dipastikan secara tepat.

Toh Puan Che Intan binti Toh Senongsa Seri Nara Wangsa IV, Toh Nyior Manis

Sumber rujukan utama:

  • “Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa”, susunan Fazil Shuhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3)
  • “Laman Web Rasmi Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan”, terbitan Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
  • “Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia”, tulisan Dr. Adib Vincent Tung terbitan Perak Academy
  • “Kenali Kampung Kepayang”, arahan Mukriz Mahader terbitan Astro AWANI
  • “Particulars on the Royal Family and Chiefs in Perak”, Arkib Negara Malaysia, ANM 3003/0008160

Kisah Sejarah Masjid Kampung Batak Rabit

0

Masjid Batak Rabit yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari bandar Teluk Intan, Perak, dipercayai berusia hampir dua abad dikatakan mempunyai nilai sejarah yang tersendiri.

Kedudukannya yang strategik di tepi jalan Teluk Intan – Hutan Melintang memudahkan orang awam yang lalu lalang untuk singgah menunaikan ibadat dan apabila melewati masuk ke pekarangan masjid menyusuri tempat parkir kelihatan jarak di antara Sungai Perak dengan masjid hanya kira-kira 30 meter sahaja.

Di tebing sungai itu terdapat tempat perhentian perahu nelayan kecil dan pengunjung boleh melihat dari pondok yang dibina untuk jemaah masjid beriadah sambil menikmati pemandangan Sungai Perak yang mempunyai pelbagai kisah dan sejarahnya.

Masjid ini dikatakan dibina oleh Laksamana Tok Tambah yang merupakan pembantu Sultan Perak ke 26, Sultan Abdullah II yang terkenal dalam insiden pembunuhan J.W.W. Birch, Residen British Perak yang pertama dan Perang Perak.

Pada asalnya masjid ini dibina menggunakan kayu yang berkualiti tinggi. Namun pada tahun 1885, Laksamana Tok Tambah telah membina semula masjid ini dengan menggunakan batu bata dan kekal sehingga ke hari ini. Disebabkan itu ramai yang mempercayai masjid ini merupakan masjid yang tertua di negeri Perak.

Apabila melewati di bahagian dalam masjid pula kelihatan banyak tiang dibina dengan kemas dan kukuh melambangkan betapa hebatnya arkitek zaman dahulu dalam membina binaan konkrit sehingga kekal utuh sehingga kini.

Menariknya, kelihatan menara di kiri masjid yang mempunyai nilai sejarah pembinaannya dan terdapat tangga dan tingkap dibina di dalam menara untuk memudahkan penjaga masjid atau dikenali Tok Siak untuk naik ke menara masjid itu.

Difahamkan seni bina masjid ini menggabungkan seni bina Melayu dan Eropah dan struktur bangunan serta bumbungnya memang jelas dengan menggunakan ciri-ciri atap tumpang yang lazim terdapat pada masjid di nusantara. Ada ahli sejarah bersetuju binaan Masjid Batak Rabit ini berasal dari Masjid Demak.

Menara masjid ini dikatakan unik kerana dari segi struktur dan penggunaan bahan binaan langsung tiada persamaan dengan bentuk menara pada masjid lama Perak yang kebanyakannya menggunakan bahan kayu dan berbentuk empat segi seperti Masjid Kampung Pulau Besar dan Masjid Sayong.

Ada pula yang berpendapat menara Masjid Batak Rabit tidak sama dengan menara konkrit seperti di Melaka yang mirip kepada bentuk Pagoda. Dipercayai masjid ini pernah menjadi tempat perbincangan serta persinggahan oleh pembesar dan pedagang Melayu kerana kedudukannya yang terletak betul-betul di pinggir sungai.

Masjid Kampung Batak Rabit antara salah satu tempat warisan yang didirikan papan tanda sejarah melalui projek Jejak Warisan Teluk Intan yang dijalankan oleh Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak (SEMARAK) yang dibiayai oleh Yayasan CIMB. Jika berkunjung ke Teluk Intan, jangan lupa untuk melawat tempat-tempat warisan yang ada disini.

Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Ke 9 Toh Itam Dewi Bin Panglima Kinta Ngah Gapor

Toh Pasir Panjang bin Tun Kelalang merupakan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa yang pertama dalam Sistem Pemerintahan Melayu Kinta yang pada ketika itu masih belum wujud lagi Sistem Pemerintahan Monarki Kesultanan Melayu Perak yang lengkap. Toh Senongsa Seri Nara Wangsa merupakan satu jawatan yang wujud pada akhir kurun ke 15 bagi pembesar yang memerintah di kawasan sekitar Ulu Kinta dan pusat pemerintahannya adalah di Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh.

Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ke 9 Toh Itam Dewi bin Panglima Kinta Ngah Gapor

Gelaran Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ini kemudian diserap ke dalam Sistem Monarki Kesultanan Melayu Perak sebagai Orang Besar 16 pada tahun kira-kira 1670 setelah berlakunya perkahwinan antara dua keluarga pemerintah utama melayu di Kinta iaitu Toh Puan Intan, anak perempuan kepada Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ke 4, Toh Nyior Manis (Keturunan Pemerintah Melayu Kinta Pertama, Tun Kelalang) dengan Toh Tambak, anak lelaki kepada Maharaja Kinta Toh Chendang (Keturunan Sultan Perak ke II, Sultan Mansur Shah I).

Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ke 9 Toh Itam Dewi bin Panglima Kinta Ngah Gapor

Hasil daripada perkahwinan ini mewujudkan gelaran baru yang dinamakan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja manakala jawatan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa kekal seperti biasa walaubagaimanapun peranan dan fungsinya berubah menjadi Kapit kepada Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja yang mana kawasan pentadbiran bagi Toh Senongsa Seri Nara Wangsa adalah di Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh disamping membantu Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja memerintah Kinta secara keseluruhannya. Kelaziman anak sulung akan memegang gelaran Orang Besar 8, Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja manakala adindanya akan memegang jawatan Orang Besar 16, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa.

Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ke 9 Toh Itam Dewi bin Panglima Kinta Ngah Gapor

Untuk gelaran Toh Senongsa Seri Nara Wangsa hanya boleh dipegang oleh keturunan Panglima Kinta Pasak Kepayang berikutan ianya memiliki kriteria tambahan iaitu perlu memiliki darah Tun Kelalang bin Tun Saban Balik yang merupakan Pemerintah Melayu Kinta Pertama dan membuka Kampung Kepayang pada tahun 1528.

Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ke 9 Toh Itam Dewi bin Panglima Kinta Ngah Gapor

Toh Senongsa Seri Nara Wangsa yang terakhir adalah merupakan Toh Itam Dewi bin Panglima Kinta ke 5, Toh Ngah Abdul Ghaffar. Penglibatan beliau bersama adindanya Dato Maharaja Lela ke 6, Pandak Lam dan kekandanya iaitu Panglima Kinta ke 7, Toh Ngah Abdul Jaafar (Ngah Jabor) dalam pembunuhan JWW Birch menyebabkan beliau dibuang negeri ke Skudai, Johor bersama Sultan Perak yang ke 25, Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah. Adindanya dihukum gantung sampai mati manakala kekandanya dipenjara selama 10 tahun (1877-1887) di Singapura oleh British.

Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ke 9 Toh Itam Dewi bin Panglima Kinta Ngah Gapor

Beliau dan kekandanya berhubungkait dengan Dato Maharaja Lela Pandak Lam melalui hubungan ibu yang sama iaitu Anjang Neh tetapi berbeza ayah. Ayah kepada Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi dan Panglima Kinta Ngah Jabor adalah Dato Panglima Kinta ke 5, Toh Ngah Abdul Ghaffar (Ngah Gapor) manakala ayah kepada Dato Maharaja Lela Pandak Lam adalah Dato Maharaja Lela ke 5 Tok Maulud.

Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ke 9 Toh Itam Dewi bin Panglima Kinta Ngah Gapor

Menurut pandangan Burns P.L. dalam Perak Enquiry Papers, menyatakan bahawa Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor, Dato Sagor Ngah Kamdin dan Dato Maharaja Lela Pandak Lam adalah penyokong kuat kepada Sultan Ismail sebagai Sultan Perak manakala Laksamana Mohamad Amin bermusuh dengan Sultan Ismail walaubagaimanapun Laksamana Mohamad Amin masih menyatakan sokongan kepada Sultan Ismail sebagai Sultan Perak.

Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ke 9 Toh Itam Dewi bin Panglima Kinta Ngah Gapor

Berikutan keterlibatan ketiga-tiga beradik ini dalam Perang Perak 1875 menyebabkan jawatan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa dimansuhkan dalam Sistem Monarki Kesultanan Melayu oleh British yang ketika itu memerintah Perak. Begitu juga dengan gelaran Dato Maharaja Lela sehingga kini juga tidak lagi wujud dalam Sistem Monarki Kesultanan Melayu Perak.

Bagi jawatan Panglima Kinta pula, tiada lagi berlaku penggiliran dalam memegang jawatan ini antara Keturunan Panglima Kinta Pasak Paloh dan Keturunan Panglima Pasak Kepayang (dimana Panglima Kinta Ngah Jabor merupakan Panglima Kinta Pasak Kepayang yang Terakhir). Kini jawatan ini terus kekal dipegang oleh Keturunan Panglima Kinta Pasak Paloh.

Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ke 9 Toh Itam Dewi bin Panglima Kinta Ngah Gapor

Toh Senongsa Seri Nara Wangsa Itam Dewi telah kembali ke Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh setelah dibuang negeri ke Skudai, Johor bersama Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah dan terus mendiami kampung ini sehingga ke akhir hayatnya. Makam beliau terletak berhampiran Sungai Kinta di dalam kawasan Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh.

Makam ini telah dipindahkan ke lokasi baru iaitu ke kawasan Tanah Perkuburan Islam, Surau Al-Taufiqiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh. Berdasarkan cerita tetua masyarakat, pemindahan makam ini dilakukan oleh empat individu. Setelah pemindahan berjaya, keempat-empat individu tersebut telah meninggal dunia secara misteri dipercayai memiliki hubungkait dengan proses pemindahan makam ini walaubagaimanapun tidak dapat dipastikan kesahihan cerita ini.

Rujukan / Sumber :

  • “Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Di Raja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa”, susunan Tuan Haji Fazil Shuhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3).
  • “Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia”, tulisan Dr. Adib Vincent Tung terbitan Perak Academy.
  • “Kenali Kampung Kepayang”, arahan Mukriz Mahader terbitan Astro AWANI.
  • “Papers on Malay Subjects”, tulisan R.J. Wilkinson.
  • “Pasir Salak, Pusat Gerakan Menentang British di Perak”, tulisan Abdullah Zakaria Ghazali.
  • “Particulars on the Royal Family and Chiefs in Perak”, Arkib Negara Malaysia, ANM 3003/0008160.