Jika anda datang melancong ke Taiping, tidak lengkap lawatan anda itu jika tidak melawat ke Taman Tasik Taiping yang indah. Dikenali sebagai taman tertua di Malaysia, taman ini sememangnya satu tempat yang sangat menenangkan, mendamaikan jiwa dan mempunyai permandangan yang sangat indah.
Dalam artikel kali ini, orangperak.com akan mengupas mengenai sejarah wujudnya taman tasik ini untuk pengetahuan anda semua. Taman Tasik Taiping merupakan taman awam pertama yang ditubuhkan sewaktu pemerintahan British di Tanah Melayu.
Taman ini terletak di berdekatan dengan Bukit Larut dan Zoo Taiping. Taman Tasik Taiping ini pada asalnya merupakan tapak perlombongan bijih timah yang terbiar sebelum dijadikan taman awam pada tahun 1880. Idea untuk mewujudkan taman awam untuk penduduk Taiping ini asalnya daripada Kolonel Robert Sandilands Frowd Walker.
Charles Compton Reade
Beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab menubuhkan “Malay States Guide” ataupun Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu.
Kolonel Robert Sandilands Frowd Walker
Pembangunan Taman Tasik Taiping ini telah dilaksanakan oleh Charles Compton Reade (1880–1933), yang mana beliau juga bertanggungjawab merancang untuk membina Taman Kuala Lumpur (sekarang Taman Botani Kuala Lumpur) bersama dengan Lady Swettenham.
Lombong bijih timah yang terbiar telah didermakan oleh Chung Thye Phin untuk tujuan dijadikan kawasan rekreasi bagi kegunaan orang awam. Pada tahun 1884, taman tasik ini telah ditanam dengan rumput, pokok-pokok bunga dan pokok-pokok hiasan dengan sebahagian daripada taman ini telah dipasang pagar untuk menghalang lembu daripada masuk ke taman ini.
Kawasan seluas 64 hektar (160 ekar) merupakan taman awam pertama di Tanah Melayu dan dihargai kerana keindahannya yang telah dijaga dengan rapi semenjak taman tersebut dibuka.
Terdapat 10 kolam dan tasik kecil yang menyerlahkan lagi taman tersebut. Disepanjang Jalan Residensi yang melalui taman tersebut terdapat banyak pokok Angsana (pterocarpus indicus) yang ditanam. Dalam jurnal George L. Peet’s yang bertajuk “A Journal in the Federal Capital“, apabila beliau melawat Taiping pada tahun 1933, beliau berkata, “Saya tidak tahu jika ada tempat yang lebih indah dalam negara ini selain Taman Taiping ketika cahaya mentari menyinar merentasi disebalik dedaunan pepohon buluh, palma dan pohon-pohon yang berselerakan di pulau-pulau (di Taman Tasik) di kawasan air yang luas. Seseorang akan memperoleh pengalaman yang berharga disepanjang setengah jam melalui cahaya-cahay indah tersebut yang tidak dapat diperoleh jika berada di England”.
Terdapat beberapa rumah persendirian dan milik kerajaan disekitar taman tasik tersebut. Diantara kediaman yang terdapat disitu ialah Old Residency (kediaman Setiausaha Residen), Rumah Raja di persimpangan Jalan Birch dengan Jalan Residensi kediaman pegawai tentera di Jalan Batu Tugih. Keindahan taman tersebut terlalu menyerlah sehingga menarik ramai pengembara untuk menulis mengenai keindahannya.
Untuk ke Taiping dari Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), anda perlu keluar di persimpangan Changkat Jering dan pergi ke jalan Simpang sebelum membelok ke kanan ke arah Taiping.
Taman Tasik Taiping mudah dituju melalui Jalan Istana dan Jalan Kelab Baru. Taiping juga dihubungkan dengan baik ke seluruh Semenanjung Malaysia melalui bas ekspres, yang tiba dan bertolak dari stesen bas ekspres di Kamunting (6km dari pusat bandar) dan Simpang (7km dari pusat bandar).
Bas juga bertolak terus dari Taiping ke Singapura dan Hat Yai di selatan Thailand. Bas yang menghala ke selatan bertolak dari Kamunting dan berhenti di Simpang (Medan Simpang) untuk mengambil penumpang sebelum menuju ke lebuh raya melalui persimpangan Changkat Jering.
Tiket bas dijual di kaunter yang terletak di Medan Kamunting dan Medan Simpang. Jika anda memilih untuk menaiki kereta api, Keretapi Tanah Melayu (KTM) beroperasi untuk sejumlah bilangan perkhidmatan sepanjang laluan utara-selatan yang berhenti di stesen Taiping.
Jom berkunjung ke Taman Tasik Taiping bersama dengan keluarga anda. Selain daripada berehat dan menenangkan fikiran, ianya juga boleh mendedahkan kepada anak-anak anda mengenai keindahan alam sekitar dan akan menerapkan rasa untuk lebih menghargai alam. Sememangnya ianya akan menjadi satu kenangan terindah yang tidak dapat untuk dilupakan.