Kisah Parang Panjang Vs Komunis Di Bekor (Bahagian 2)

Uda Mohamad bin Malim Elok telah ditikam di bahagian perutnya ketika cuba menyerang komunis dengan menggunakan parang panjang. Manakala rumahnya telah dibakar oleh komunis. Tokoh yang menjadi tonggak bagi mempertahankan penduduk kampung terdiri daripada Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Manan, Tuan Haji Salleh bin Abdul Manan, Tuan Haji Kulub Alang dan beberapa orang pemimpin tempatan seperti ketua kampung.

Senjata yang digunakan oleh orang Melayu berupa parang panjang, golok dan keris. Manakala komunis menggunakan senapang, serampang, tat dan lembing tat. Dalam keadaan yang cemas ini, Tuan Haji Shaari bin Haji Amin telah mengarahkan isteri dan anak-anaknya berlindung di rumah. Beliau bersama tujuh hingga lapan orang penduduk kampung turun dan membantu yang lain. Tuan Haji Shaari bin Haji Amin, Daud bin Haji Amin dan abang saudaranya mati ditikam.

Tuan Haji Amin bin Kulub Hitam, Abdul Munan bin Haji Amin, dan Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Manan berada di barisan hadapan. Kesemua mereka telah gugur syahid dalam mempertahankan nyawa penduduk Kampung Bekor. Keseluruhan petempatan orang Melayu di Bekor telah diserang secara serentak pada 6 Mac 1946. Serangan bukan sahaja dilakukan di tempat awam tetapi melibatkan dari rumah ke rumah.

Orang Melayu yang diserang telah mempertahankan ahli keluarga mereka terlebih dahulu sebelum bergabung tenaga membantu yang lain. Keadaan yang terkepung telah menyebabkan ramai kanak-kanak dan kaum wanita yang sedang tidur menjadi mangsa. Kumpulan parang panjang yang diketuai oleh Uda Mohamad bin Malim Elok bersama dengan tiga orang penduduk kampung yang lain menghadapi penyerang seramai beratus-ratus bilangannya.

Selepas hampir sejam mempertahankan keluarga daripada serangan ganas komunis, barulah mereka berpeluang membantu penduduk kampung yang lain. Terdapat juga sebahagian daripada komunis yang berasa kasihan melihat kaum wanita dan kanak–kanak. Oleh yang demikian, mereka hanya membunuh orang lelaki sahaja. Ketika berlakunya pergaduhan, Abdul Kassim bin Awang Mat Yassin sempat melarikan diri.

Kaum wanita Bekor yang sudah sinonim dengan pengetahuan dan pengalaman menggunakan parang panjang, telah menjadi tulang belakang mempertahankan keluarga mereka. Dalam satu kejadian, apabila komunis mengarahkan semua kaum wanita dan kanak-kanak yang berada dalam rumah turun ke bawah, kesempatan telah digunakan oleh Ngah Zabedah binti Sidi menyediakan air bancuhan cili dan menyiram ke muka komunis ketika mereka hendak meluru naik ke dalam rumah.

Tindakan ini telah menyebabkan komunis bertambah marah dan mengakibatkan Ngah Zabedah binti Sidi ditikam dengan menggunakan lembing. Peluang juga telah digunakan khususnya oleh kaum wanita yang lain membawa lari anak–anak mereka yang masih kecil. Ibrahim bin Uda Mohamad telah dibawa lari oleh ibunya melalui kawasan kebun getah dan akhirnya sampai ke pondok persembunyian penduduk kampung.

Pada awalnya tempat persembunyian ini agak selamat sehingga akhirnya dapat dikesan oleh komunis. Rumah tersebut telah dibakar dan penduduk yang bersembunyi tidak dapat bertindak kerana dikepung. Salah seorang daripada anggota komunis dikatakan telah membuka pintu rumah dan mengarahkan semua yang bersembunyi turun ke bawah tanpa membawa senjata. Bagi memastikan keseluruhan penduduk Melayu Kampung Bekor dibunuh, kumpulan komunis di Kampung Kelang telah berjaya memutuskan jambatan di Sungai Bekor.

Ini menyebabkan orang Melayu tidak mendapat bantuan daripada penduduk Kampung Mandah. Keadaan ini juga akan melambatkan pergerakan penduduk kampung yang ingin memberikan bantuan. Strategi penyerangan komunis iaitu dengan membunyikan beduk di masjid telah menyebabkan penduduk kampung berada dalam keadaan kelam-kabut khususnya ketika memberikan bantuan. Taktik ini juga telah menyebabkan orang Melayu tidak dapat berkumpul secara beramai-ramai di sesuatu tempat dan akan memudahkan mereka dibunuh.

Kisah Kejam Serangan Komunis Di Bekor (Bahagian 2), Jom baca kesinambungan Kisah Kejam Serangan Komunis Di Bekor ini di :

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here