Home Blog Page 26

Pusat Peranginan Bukit Larut Bakal Dibuka Semula April Ini Selepas Lima Tahun Ditutup

0

Pusat Peranginan Bukit Larut Bakal Dibuka Semula April Ini Selepas Lima Tahun Ditutup.

Pusat Peranginan Bukit Larut, yang telah ditutup selama lima tahun akibat kejadian tanah runtuh pada 2019, dijangka dibuka semula mulai April tahun ini. Pembukaan semula ini dilakukan selepas kerja-kerja membaiki dan menambah baik empat buah banglo di kawasan tersebut siap sepenuhnya melalui peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir, berkata kerja-kerja baik pulih jalan cerun yang terjejas telah dilaksanakan secara berperingkat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak 2019.

Beliau turut menekankan bahawa pembukaan semula pusat peranginan ini sejajar dengan usaha MPT untuk menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 dan memacu sektor pelancongan di Taiping.

“MPT tidak mahu ketinggalan dalam mempromosikan pelancongan tempatan, khususnya di Taiping. Oleh itu, kami sedang berusaha membuka semula operasi Pusat Peranginan Bukit Larut dengan beberapa penambahbaikan dari segi pengurusan,” jelas Khairul Amir selepas Mesyuarat Penuh MPT di Wisma Perbandaran Taiping pada Rabu.

Kemudahan Baharu untuk Pengunjung
Tiga buah banglo, iaitu Banglo Beringin, Banglo Angkasa, dan Banglo Tempinis, akan dibuka untuk disewa. Pengunjung berpeluang menyewa keseluruhan banglo atau bilik secara individu. Selain itu, perkhidmatan sewaan kenderaan untuk ke puncak Bukit Larut turut disediakan, tetapi hanya untuk penginap banglo.

“Penyewa boleh memilih sama ada mahu menggunakan kenderaan atau mendaki untuk ke puncak,” tambah Khairul Amir.

Bagi penggemar aktiviti lasak, kawasan perkhemahan yang telah ditetapkan juga akan dibuka semula. Operasi perkhemahan bagi pendaki akan bermula pada 17 Februari ini, manakala perkhidmatan sewaan banglo dan kenderaan akan beroperasi mulai 1 April.

Prosedur Keselamatan dan Pengurusan
Untuk memastikan keselamatan pengunjung, semua individu yang memasuki kawasan Pusat Peranginan Bukit Larut diwajibkan mengisi borang indemniti dan mengimbas kod QR yang disediakan ketika masuk dan keluar.

Pembukaan semula pusat peranginan ini diharap dapat menarik lebih banyak pelancong dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi pelancongan tempatan, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dengan penambahbaikan infrastruktur dan pengurusan yang lebih sistematik, Pusat Peranginan Bukit Larut dijangka menjadi destinasi utama bagi pencinta alam dan penginapan yang tenang di Taiping.

Berikut merupakan kenyataan rasmi daripada Majlis Perbandaran Taiping ;

Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson Ipoh

Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson Ipoh. Sekolah Anderson, salah satu institusi pendidikan tertua dan paling berprestij di Malaysia, terletak di bandar Ipoh, Perak. Sekolah ini telah melahirkan ramai tokoh terkenal dan berjaya dalam pelbagai bidang, menjadikannya antara sekolah menengah terbaik di negara ini.

Penubuhannya bermula pada awal abad ke-20, namun tertumpu untuk memberi pendidikan pada anak-anak pemimpin atau pembesar di Tanah Melayu pada ketika itu. Ini kerana ia diwujudkan bagi memberi peluang kepada pelajar Melayu yang tidak berkesempatan menyertai Koleh Melayu Kuala Kangsar.

Serta ia juga menjadi pilihan kepada ibu bapa Melayu yang tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah Anglo-Chinese seperti St. Micheal Institution yang merupakan antara dua sekolah mubaligh Kristian yang terkemuka di Ipoh.

Sekolah Anderson ditubuhkan pada tahun 1909 oleh kerajaan British di bawah pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States). Sekolah ini dinamakan sempena Sir John Anderson, Gabenor Negeri-negeri Selat (1904-1911) yang juga merupakan seorang tokoh penting dalam pembangunan pendidikan di Tanah Melayu. Pada mulanya, sekolah ini dikenali sebagai “Anderson School” dan beroperasi di bangunan sementara di Jalan Belfield, Ipoh.

Pertambahan murid yang ramai menyebabkan sekolah ini terpaksa menggunakan sementara bangunan tambahan di Masonic Hall (Bangunan Jabatan Pelajaran Negeri Perak sekarang) di Jalan Maxwell (Jalan Tun Abdul Razak) pada tahun 1919. Akhirnya pada tahun 1931, bangunan baharu Sekolah Anderson di Jalan Ashby (Jalan Hospital) siap dibina dan dibuka. Bangunan asal sekolah ini direka dengan gaya seni bina kolonial British, yang masih mengekalkan ciri-ciri sejarahnya walaupun telah melalui beberapa pengubahsuaian.

Namun pada tahun 2025, bangunan lama Sekolah Anderson telah mengalami proses renovasi besar-besaran dengan struktur utama bangunan ini dirobohkan dan hanya muka hadapan bangunan sahaja yang dikekalkan.

Diawal penubuhannya, Lt. Kol. J.H. Tyte yang merupakan Timbalan Pengetua Victoria Institution Kuala Lumpur telah dilantik sebagai Pengetua pertama Sekolah Anderson. Beliau dibantu oleh Mr. E.C. Smith yang menjadi Timbalan Pengetua.

Sekolah Anderson terkenal dengan kecemerlangan akademik dan kokurikulumnya. Sejak penubuhannya, sekolah ini telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang, termasuk politik, perniagaan, sukan, dan seni. Sekolah ini juga terkenal dengan tradisi kecemerlangan dalam sukan, terutamanya dalam hoki, ragbi, dan olahraga.

Selain itu, Sekolah Anderson juga dikenali sebagai sekolah berasrama penuh yang menekankan disiplin dan nilai-nilai murni. Sistem pendidikan yang holistik dan berorientasikan kecemerlangan telah menjadikan sekolah ini sebagai pilihan utama bagi ramai keluarga di Ipoh dan sekitarnya.

Pada tahun 2009, sekolah ini menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya dengan sambutan yang dirasmikan oleh Sultan Azlah Shah, Sultan Perak pada ketika itu. Kemudian sekolah ini turut mengadakan program seperti Karnival Sukan 100 tahun serta Kejohanan Olahraga Kali Ke-100. Juga turut diadakan acara Fun Ride serta Majlis Makan Malam Amal pada 7 dan 8 Julai 2018.

Tokoh Terkenal dari Sekolah Anderson

Sekolah Anderson telah melahirkan ramai tokoh terkenal yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara. Antara tokoh-tokoh terkemuka yang pernah menuntut di sekolah ini termasuk:

  1. DYTM Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa, Raja Muda Perak Darul Ridzuan
    Baginda merupakan Raja Muda Perak Darul Ridzuan
  2. Tun (Dr) Haji Ahmar Sarji Abdul Hamid
    Beliau merupakan Ketua Setiausaha Negara ke-9.
  3. Ahmad Boestamam
    Seorang pejuang kemerdekaan dan juga tokoh politik yang menubuhkan Parti Rakyat Malaysia dan Parti Marhaen Malaysia.
  4. Tun Mohammed Hanif Omar
    Mantan Ketua Polis Negara
  5. Dato’ Seri Chan Sek Keong
    Beliau merupakan Ketua Hakim Negara Singapura dari tahun 2006 sehingga tahun 2012.
  6. Dato’ Mohammad Nor Khalid (Dato’ Lat)
    Tokoh kartunis terkenal negara.
  7. Tun S.Samy Vellu
    Tokoh politik dan antara menteri yang memegang jawatan terlama di Malaysia. Beliau juga mantan Presiden MIC.
  8. Dr. Wong Jeh Shyan
    Mantan CEO CommerceNet Singapura
  9. Dato’ Sivarraajh Chandran
    Tokoh politik dan mantan Ahli Parlimen Cameron Highlands.
  10. Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu
    Tokoh politik dan mantan Menteri Besar Perak ke-12 dan ke-13. Juga mantan Menteri Belia Dan Sukan.
  11. Dato’ Panglima Bukit Gantang Tan Sri Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz
    Menteri Besar Perak yang pertama.

Sekolah Anderson, Ipoh, bukan sekadar sebuah sekolah biasa, tetapi sebuah institusi yang telah melakar sejarah dalam sistem pendidikan Malaysia. Dengan tradisi kecemerlangan yang berterusan, sekolah ini terus melahirkan generasi pelajar yang berjaya dan berbakat. Tokoh-tokoh terkenal yang dihasilkan oleh Sekolah Anderson adalah bukti kejayaan institusi ini dalam membentuk pemimpin dan profesional yang berkaliber tinggi.

Hari ini, Sekolah Anderson kekal sebagai simbol kecemerlangan pendidikan dan kebanggaan rakyat Malaysia, khususnya masyarakat di Ipoh dan negeri Perak. Dengan komitmen untuk terus mempertahankan standard yang tinggi, sekolah ini dijangka akan terus melahirkan lebih ramai tokoh yang akan menyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan.

Lata Tengkoh Penyel, Kecantikan Yang Tiada Tolok Banding

Lata Tengkoh Penyel, Kecantikan Yang Tiada Tolok Banding.

Perak terkenal dengan air terjun, sungai dan lata yang menarik untuk dikunjungi. Keindahan alam di negeri ini sentiasa memikat kehadiran ramai pengunjung baik dalam dan luar negara untuk kemari.

Namun, terdapat satu tempat tarikan pelancongan yang tidak ramai tahu tentang kewujudannya. Kini, ia mula dikenali dan semakin ramai yang ingin kesini untuk menikmati keindahan dan kecantikan lata yang menakjubkan ini. Ia adalah Lata Tengkoh Penyel.

Lata Tengkoh Penyel terletak di dalam kawasan perkampungan orang asli yang dikenali sebagai Kampung Pendeq, Pos Yum di dalam daerah Sungai Siput.

Namun untuk sampai ke lata ini, anda perlu berjalan kaki selama 15 minit hingga ke 20 minit dengan jarak perjalanan sejauh 600 meter. Bayaran tempat letak kereta adalah sebanyak RM10 per kereta dan RM5 untuk setiap satu motorsikal.

Terdapat beberapa chalet yang diperbuat daripada buluh dan rotan oleh orang asli disini untuk kegunaan pengunjung. Bayaran pondok buluh adalah sebanyak RM60 semalam manakala pondok rotan pula adalah RM80 satu malam.

Walaubagaimanapun, pondok-pondok ini tidak dilengkapi elektrik dan tiada juga kedai yang menjual makanan. Jadi pastikan anda membawa powerbank, lampu suluh dan bekalan makanan yang secukupnya.

Kawasan ini berdekatan dengan Bukit Berekeh yang terkenal dengan dikalangan mereka yang suka mendaki bukit. Sudah tentulah kawasan perhutanan yang jauh dari hiruk pikuk bandar seperti ini sangat sesuai buat mereka yang ingin melarikan diri dari kesesakan dan mencari ketenangan jiwa.

Jika berkesempatan, jom kita melancong ke Lata Tengkoh Penyel di Sungai Siput. Pastikan akan menjadi tempat terbaik bagi percutian anda.

Kredit Gambar :

  1. @irfnzulkifli @the_fadaeloproject @11sam_. @farisya.rslee @arshdamrdn @MaiBercutiKeUtara, @naeemrumzi, @jurimahmohdariffin

10 Aktiviti Dan Tempat Menarik Di Perak Yang Perlu Anda Cuba Di Tahun 2025

10 Aktiviti Dan Tempat Menarik Di Perak Yang Perlu Anda Cuba Di Tahun 2025

Perak tidak hanya dikenali dengan makanannya yang sedap dan tarikan tapak bersejarah yang cantik, namun ia juga dipenuhi dengan pelbagai kecantikan alam semula jadi yang menawarkan pengalaman dan keterujaan aktiviti untuk semua.

Dari mengharungi arus jeram dari sekian banyak sungai di Perak sehinggalah berjalan sambil menikmati ketenangan dan kedamaian hutan hujan tropika, Perak dipenuhi dengan pelbagai aktiviti luar yang bersesuaian dengan pelbagai peringkat umur dan tahap kecergasan seseorang itu. Jadi pastikan anda telah memilih apa yang akan anda lakukan apabila melakukan kunjungan nanti.

1. Meronda ATV di Slim River

Bersedia dengan kelengkapan untuk menghadapi cabaran menunggang ATV di Slim River. Meronda disepanjang permukaan anda lalui di kawasan yang dipenuhi dengan keindahan alam semulajadi. Dari kawasan teduhan pepohon sehingga meredah air sungai yang cetek.

Laluan ini akan membawa anda menyusuri kawasan kampung serta air terjun dengan permandangan yang menakjubkan dan lanskap yang akan menenangkan anda. Denai seperti ini telah diatur untuk pengalaman bertaraf dunia yang menyeronokkan dan sangat digalakkan kepada mereka yang meminati cabaran serta alam semulajadi.

Meronda dengan ATV dikategorikan sebagai sukan ekstrem, jadi sentiasa ingat untuk memakai kasut sukan atau kasut mendaki serta pakaian sukan yang bersesuaian bagi menikmati rondaan pada tahap yang maksima. Untuk meningkatkan tahap pengalaman anda, tempah penunjuk arah ATV bagi pengalaman yang mencabar dan tiada hadnya.

2. Mengharungi Jeram Air di Slim River (White Water Rafting)

Gambar oleh my adventure host

Untuk lebih pengalaman pengembaraan yang akan mengujakan anda, kenapa tidak mencuba Mengharungi Jeram Air (White Water Rafting) di Slim River? Sarungkan helmet dan jaket keselamatan disemasa anda menaiki kayak dan bersedia untuk mengharungi jeram deras sungai.

Sesuai untuk mereka yang sukakan sesuatu yang meransang adrenalin. Perfect for adrenaline junkies at heart, Mengharungi Jeram Air (White Water Rafting) di Slim River membawa ada meredah jeram di kategorikan sebagai Kelas 2 dan 3. Meredah jeram ini mengambil masa selama hampir dua jam.

Untuk merasai White Water Rafting yang terbaik, pastikan anda menempah ‘guide’ yang akan memastikan keselamatan anda disepanjang pengembaraan ini serta membuatkan anda mengalami pengalaman terbaik.

Slim River terletak hanya 30 minit dari Tanjung Malim dan Proton City. Jika anda melancong dari Kuala Lumpur atau Ipoh, Slim River hanya 1 jam 30 minit pemanduan sahaja. Manakala dari Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA pula mengambil masa sekitar 2 jam untuk tiba di Slim River.

3. Bersantai di Gunung Lang

Melalui pengembaraan ke bawah adalah pengalaman yang kurang menggentarkan di Taman Rekreasi Gunung Lang, di mana anda akan dapat menikmati perkelahan yang tenang dan damai di sepanjang kaki bukit Gunung Lang.

Terletak hanya lima kilometer dari bandaraya Ipoh yang meriah, kawasan ini dikenali sebagai destinasi yang sesuai untuk keluarga berkumpul dan menikmati keseronokan di bawah matahari sambil dikelilingi oleh alam semulajadi Perak yang subur.

Gunung Lang juga penuh dengan aktiviti yang berlatarbelakangkan pemandangan menarik dengan air terjun buatan manusia yang menakjubkan, memberi isyarat kepada anda untuk berehat dan bersantai di salah satu tapak perkelahan merentasi tanah seluas 30.35 hektar.

Memandangkan Taman Rekreasi Gunung Lang terletak hanya 15 minit dari Stesen Kereta Api Ipoh, mudah bagi pengunjung untuk menaiki mana-mana teksi atau perkhidmatan e-hailing berdekatan untuk sampai ke taman ini.

4. Berjalan Santai di Hutan Simpan Paya Bakau Matang

Menjangkau lebih 40,000 hektar kehijauan yang subur ialah Hutan Simpan Paya Bakau Matang yang menawarkan peluang sempurna untuk berjalan-jalan santai atau pantas melalui hutan.

Berjalan di sepanjang laluan kayu untuk melihat dari dekat pokok-pokok dan hidupan liar yang boleh ditemui di sini. Hutan yang diselenggara dengan baik ini menawarkan pengunjungnya pemandangan pokok bakau yang tinggi dan indah yang telah wujud selama bertahun-tahun lamanya. Hutan Simpan Paya Bakau Matang ini dibuka setiap hari dari jam 7:00 pagi hingga 6:00 petang.

Terletak di Kuala Sepetang, terdapat pelbagai cara untuk sampai ke sini. Jika anda ingin menaiki kereta api, anda boleh menaiki KTM atau ETS, yang akan membawa anda ke Stesen Kereta Api Taiping. Dari sana, anda boleh memilih teksi atau mana-mana perkhidmatan e-hailing yang akan membawa anda terus ke Hutan Simpan Bakau Matang, yang terletak kira-kira 15 minit jauhnya. Pengunjung juga boleh memilih perkhidmatan bas Terminal Bas Sepadu, yang berhenti di Simpang Taiping. Dari sana, naik teksi atau perkhidmatan e-hailing ke hutan.

Harga Tiket Hutan Simpan Bakau Matang

  • Dewasa (18 tahun ke atas): RM 5
  • Kanak-kanak (bawah 18 tahun): RM 2
  • Kanak-kanak (bawah 6 tahun): Percuma
  • Warga Emas (60 tahun ke atas): Percuma
  • Bukan warganegara Malaysia: RM 15

* Harga tertakluk kepada perubahan. Lawati laman web rasmi Hutan Simpan Paya Bakau Matang untuk pengesahan harga

5. Berkelah di Air Terjun Lata Kinjang

Terletak di Chenderiang, Perak, Air Terjun Lata Kinjang adalah tempat yang luar biasa untuk masa berkualiti bersama rakan dan keluarga. Bersantai di tebing sungai dan saksikan air terjun mengalir ke sungai dengan lancar.

Bawa bakul berkelah untuk dinikmati sambil anda melihat pemandangan paling tenang yang ditawarkan oleh Lata Kinjang. Pengunjung juga dialu-alukan untuk berenang dalam air yang sejuk dan menyegarkan ini. Air Terjun Lata Kinjang dibuka setiap hari dari 6:00 pagi hingga 7:00 malam, dan terletak 15 kilometer dari bandar Tapah dan 45 kilometer dari Ipoh.

Bayaran Kemasukan Air Terjun Lata Kinjang:

  • Dewasa (18 tahun ke atas): RM 2
  • Kanak-kanak (bawah 18 tahun): RM 1
  • Kanak-kanak (bawah 6 tahun): Percuma
  • Warga Emas (60 tahun ke atas) dan Orang Kurang Upaya: Percuma
  • Bukan warganegara Malaysia: RM 5
    *Harga tertakluk kepada perubahan. Layari laman web rasmi Air Terjun Lata Kinjang untuk pengesahan harga.

6. Berendam Air Panas di Sungai Klah Hot Springs Park

Nikmati rendaman hangat dan santai di mata air panas semula jadi di Taman Mata Air Panas Sungai Klah. Terletak di bandar Sungkai dan kaki bukit Banjaran Titiwangsa, taman mata air panas ini mempunyai kolam mata air panas yang ikonik dan kolam renang di mana anda boleh berendam di dalam air yang menyejukkan selepas berenang hangat.

Bukan sahaja taman ini terkenal dengan persekitarannya yang tenang, tetapi juga untuk pelbagai aktiviti yang disediakan. Cubalah aktiviti merebus telur di mana anda boleh merebus telur dalam air panas semula jadi. Terdapat juga gelongsor air yang menyeronokkan yang boleh didapati di kolam renang taman. Taman Mata Air Panas Sungai Klah dibuka dari hari Isnin hingga Khamis, dari 8:00 pagi hingga 7:00 malam dan pada hujung minggu dan cuti umum dari 8:00 pagi hingga 9:00 malam.

Untuk sampai ke Taman Air Panas Sungai Klah, pengunjung boleh melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan susur keluar 128 ke Sungkai. Belok kanan ke Laluan 1 selepas plaza tol, yang menghala ke Kuala Lumpur. Ikut jalan, dan belok ke Laluan 159 di persimpangan-T, yang akan membawa anda ke Felda Sungai Klah.

Dengan pengangkutan awam, pengunjung boleh menaiki ETS ke Stesen Slim River dan dari sana menaiki bas, yang menuju ke Sungkai dari Terminal Bas Slim River ke SMK Sungai Kruing. Sebaik sahaja anda tiba, hanya menahan teksi atau menempah kereta dari mana-mana perkhidmatan e-hailing untuk membawa anda ke Taman Mata Air Panas Sungai Klah.

Yuran Kemasukan Taman Air Panas Sungai Klah:

  • Dewasa: RM 15
  • Kanak-kanak (bawah 12 tahun): RM 12
  • Warga Emas: RM 8
  • Orang kurang upaya: RM 5
    *Harga tertakluk kepada perubahan. Layari laman web rasmi Mata Air Panas Sungai Klah untuk pengesahan harga.

7. Mengharungi Jeram Air (White Water Rafting) dan Abseiling di Gopeng

Satu lagi pilihan White Water Rafting, kali ini menaiki ombak deras di Gopeng. Naiki bot kembung dengan topi keledar dan jaket keselamatan sambil anda menakluki ombak Sungai Kampar yang deras. Pastikan anda menempah tukang pandu untuk membimbing anda dengan selamat dalam perjalanan anda. Semasa anda berada di sini, biarkan pengembaraan diteruskan dengan bersiar-siar di sepanjang air terjun. Sahut cabaran semasa anda menuruni tanah berbatu dan licin di sekeliling air yang mengalir.

Sungai Kampar dikenali sebagai kawasan tumpuan semua peminat adrenalin kerana ia menawarkan pelbagai aktiviti lasak untuk semua. Terletak hanya dua jam dari bandaraya Kuala Lumpur yang sibuk, anda juga boleh memilih untuk mengembara bersama pemandu pelancong yang merancang perjalanan sukan lasak ini, yang selalunya termasuk pengangkutan sebagai sebahagian daripada pakej.

Untuk sampai ke Sungai Kampar, anda boleh menaiki bas dari Terminal Bas Sepadu ke Stesen Bas Kampar dan dari situ perkhidmatan teksi atau e-hailing ke sungai. Dengan kereta api, anda boleh menaiki ETS ke Stesen Kereta Api Kampar dan kemudian menaiki teksi atau perkhidmatan e-hailing ke Sungai Kampar.

8. Meredah Gua di Gua Tempurung

Terokai kedalaman gua berusia sejuta tahun di Gua Tempurung. Dikenali sebagai gua tertua dan terpanjang di Semenanjung Malaysia, Gua Tempurung adalah kegemaran peminat oleh penduduk tempatan dan pelancong. Menjangkau lebih 4.9 kilometer, gua ini mempunyai banyak keajaiban tersembunyi untuk diterokai orang ramai. Bagaimanapun, hanya 1.9 kilometer gua itu kini dibuka untuk penerokaan orang ramai.

Terdapat lima kubah di dalam gua untuk diterokai pengunjung iaitu Gua Bunga Emas, Gua Alam, Gua Lombong Timah, Gua Gergasi dan Gua Medan Perang. Setiap kubah adalah pemandangan yang mengagumkan dengan stalaktit dan stalagmit yang mewah, batu kapur, guli dan paras air dengan ketinggian yang berbeza.

Untuk sampai ke Gua Tempurung dengan pengangkutan awam, pengunjung boleh menaiki ETS dengan mudah dan pergi ke Gopeng. Dari situ pengunjung boleh memilih teksi atau perkhidmatan e-hailing untuk membawa mereka ke gua.

9. Mendaki Bukit Kledang untuk Pemandangan Menarik

Bukit Kledang terletak di pinggir utara Ipoh dan merupakan tempat yang sesuai untuk penggemar mendaki. Dengan titik tertinggi pada 808 meter dari aras laut, Bukit Kledang dikenali sebagai gunung ke-245 tertinggi di Malaysia. Pelbagai laluan mendaki dan berbasikal juga disediakan untuk orang ramai untuk sampai ke puncak gunung. Sebaik sahaja anda sampai ke puncak, yang mengambil masa kira-kira empat jam untuk sampai ke sana, pastikan anda menikmati pemandangan luas dan indah yang mengelilingi bukit ini. Terdapat juga air terjun yang tersembunyi di antara bukit bagi mereka yang ingin menikmati berenang yang sejuk atau berehat santai.

Untuk sampai ke Bukit Kledang, anda boleh menaiki ETS dari KL Sentral ke Lahat, Ipoh dan dari sana, menaiki teksi atau e-hailing selama lima minit ke bukit. Sebagai alternatif, anda juga boleh menaiki bas untuk sampai ke Bukit Kledang. Hanya naik bas di Terminal Bas Selatan, yang membawa anda ke Jalan Bendahara Ipoh dan dari sana teksi atau mana-mana perkhidmatan e-hailing ke Bukit Kledang.

10. Menaiki Land Rover untuk Menikmati Pemandangan Di Atas Bukit Larut (Maxwell Hill)

Satu lagi pendakian yang menarik dan mendebarkan menanti di Bukit Larut. Terletak di tengah-tengah Taiping, Bukit Larut pernah dikenali sebagai Bukit Maxwell, merupakan sebuah bukit yang menyejukkan dan indah. Ia terletak lebih 100 meter dari aras laut. Dinamakan sempena nama seorang Penolong Residen British, William George Maxwell, Bukit Larut dikenali sebagai salah satu daripada banyak tapak bersejarah di Bandar Taiping hari ini.

Bukit Larut adalah tempat yang sesuai untuk mereka yang ingin melarikan diri dari panas bandar dan menikmati suasana sejuk yang dibawa oleh bukit dengan suhu harian antara 10 hingga 25 darjah Celsius. Perjalanan menaiki bukit mengambil masa lebih kurang tiga hingga lima jam.

Kemudian, untuk sampai ke puncak bukit, pengunjung dinasihatkan untuk menaiki Land Rovers yang terdapat di lokasi. Tunggangan Land Rover berharga RM10 untuk setiap perjalanan pergi dan balik. Bukit Larut adalah tempat yang sesuai untuk semua pencinta alam semula jadi yang ingin menghabiskan hari di antara kehijauan yang indah dan tenang.

Untuk perjalanan ke Bukit Larut, anda boleh menaiki ETS dari KL Sentral ke Stesen Kereta Api Taiping dan dari sana, ia akan mengambil masa 13 minit pemanduan melalui perkhidmatan teksi atau e-hailing. Dengan bas pula, anda boleh menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan ke Stesen Bas Taiping dan dari situ perkhidmatan teksi atau e-hailing ke bukit bersejarah ini.

Rujukan :

  1. Website Malaysia Travel

Papan Tanda Sejarah Rumah Besar Raja Bilah Dirasmikan

Papan Tanda Sejarah Rumah Besar Raja Bilah dirasmikan pada 1 Februari 2025 oleh cicit dan piut Raja Bilah, melakar sejarah baru buat rumah agam ini. Kebetulan pada 1 Februari 1909, 116 tahun yang lalu, sejarah tercipta di Rumah Besar Raja Bilah ini apabila Raja Yacob dilantik sebagai Penghulu Papan menggantikan ayahandanya, Raja Bilah.

Pemasangan papan tanda sejarah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Persatuan Warisan Perak dalam memartabatkan sejarah Rumah Besar Raja Bilah dan Kota Papan, Perkampungan Mandailing utama di Kinta pada suatu ketika dahulu sebagai Warisan Papan dan Lembah Kinta. Moga usaha ini dapat mempromosikan pelancongan Histourism Pekan Warisan Papan.

Untuk makluman, Raja Bilah adalah seorang kerabat Diraja Mandailing merupakan seorang yang berpengaruh dan kaya. Beliau telah membina sebuah rumah agam yang dikenali sebagai Istana Bilah atau Rumah Besar Raja Bilah. Rumah agam tersebut kini masih berdiri gah di Papan, Perak.

Rumah Besar Raja Bilah mempunyai reka bentuk sebuah rumah agam papan yang amat mengagumkan. Dekoratif seni reka dalaman menarik juga kemas adalah satu tanda kesinambungan seni reka rumah besar raja masyarakat Mandailing ataupun Bagas Godang.

Istana ini terletak di atas sebuah bukit dan tersergam indah. Ia amat mempersonakan serta menunjukkan keagungan Raja Bilah sebagai bangsawan Diraja yang berketurunan Sumatera.

Raja Bilah membina rumahnya di Perak adalah sebagai tempat untuk menghabiskan saki baki kehidupannya yang terakhir. Pembinaan istana ini siap sepenuhnya pada tahun 1896. Sehingga kini, rumah agam ini dilihat sebagai bangunan yang paling besar di Pekan Papan, Perak.

Oleh kerana Raja Bilah ini adalah penghulu di Papan pada ketika itu, rumah Raja Bilah ini juga berfungsi seperti Sapo Godang iaitu rumah untuk para bangsawan bersidang.

Dari segi sejarah, ia telah digunakan untuk majlis perkahwinan, menyambut perayaan dan sambutan majlis lain. Namun yang paling penting, motif utama pembinaan Istana Billah ini adalah sebagai pusat musyawarah dan pertemuan bagi masyarakat Mandailing dan kaum Muslim dari wilayah Kinta Barat.

Kebanyakkan dari mereka akan bertemu dengan Raja Bilah bagi membincangkan masalah yang dihadapi dan mengutarakan cadangan-cadangan pembangunan khususnya selepas Solat Jumaat di Masjid Lama Papan.

Terima kasih diucapkan kepada Majlis Daerah Batu Gajah, waris keluarga Raja Bilah, Geopark Lembah Kinta, Malaya Historical Group, Papan Heritage Group, rakan-rakan media dan semua pihak yang terlibat. “Rumah Besar Raja Bilah, Ikon Warisan Papan”

Rujukan :

  1. Fb – Hisham Muhd’s
  2. https://www.orangperak.com/fakta-tentang-istana-billah-di-papan-perak.html

Batu Anti Kereta Kebal Era Perang Dunia Kedua Dijumpai Di Trolak

Batu Anti Kereta Kebal dijumpai pada 20 Januari 2025 yang lalu. Pasukan daripada Malaya Historical Group Society yang sedang melawat tapak pertempuran Perang Dunia Kedua di Trolak, Perak telah menjumpai konkrit berbentuk silinder yang dahulunya digunakan oleh pihak tentera British sebagai sekatan jalan anti kereta kebal.

Batu konkrit ini telah dijumpai di dalam Sungai Trolak tidak jauh dari jambatan. Dengan bantuan daripada pihak kontraktor yang sedang memperbaiki tebing sungai, mereka telah memindahkan batu konkrit ini dan meletakkannya di hadapan papan tanda informasi mengenai Pertempuran Slim River.

Menurut Encik Shaharom Ahmad, batu-batu anti kereta kebal ini banyak dijumpai di Negeri Sembilan Dan Johor. Namun penemuan ini memberikan satu info terhadap kegunaan Batu ini sejauh ke Perak iaitu di Trolak.

Beliau juga berharap penemuan batu ini akan menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan kawasan Muallim dan kepada Pekan Trolak selepas papan tanda sejarah Pertempuran Slim di situ.

Untuk makluman, Pertempuran Slim River berlaku sewaktu Perang Dunia Kedua pada awal Januari 1942. Peristiwa ini melibatkan pertempuran diantara Tentera Empayar Jepun dengan Tentera British India di Trolak dan Slim River, Perak.

Di Trolak, Pasukan 2nd Argylls telah ditempatkan di sekitar kampung Trolak dan melindungi markas Briged ke-12. Pasukan ini merupakan pasukan tentera British yang sangat berpengalaman dan dianggap pasukan peperangan dalam hutan terbaik bagi pihak British di Malaya.

Pasukan Argylls berada dalam kedudukan bertahan namun tidak memiliki pertahanan anti kereta kebal dan periuk api. Mereka hanya mempunyai amaran mengenai kemaraan pantas tentera Jepun dari sepoi India yang panik dari pasukan Hyderabad.

Meskipun dengan amaran tersebut, satu daripada empat kereta kebal Jepun telah tersalah anggap sebagai kenderaan Bren Carriers milik Punjabi dan kereta kebal tersebut bergerak melalui pasukan Argylls, dan membelah batalion tersebut.

Keempat-empat kereta kebal tersebut kemudiannya menuju kearah jambatan kereta api. Dengan tibanya pasukan utama tentera Jepun pimpinan Shimada serta pasukan infantri pimpinan Ando sejurus selepas itu, menyebabkan pasukan berpecah Argylls sepenuhnya dan memutuskan laluan mereka dari jalan raya.

Pasukan Argylls telah berkurangan kepada banyak pasukan kecil namun mereka bertempur dengan hebat dan berjaya membantutkan kemaraan tentera Jepun cukup lama berbanding dua batalion British sebelum ini dan bertahan sehingga pukul 7.30 pagi.

Pasukan timur jalanraya (Kompeni C dan B) dibawah Col. Robertson berjuang kearah estate getah dan cuba untuk menyerang kemaraan tentera Jepun dari arah belakang dengan bergerak ke arah selatan melalui hutan dan berpecah kepada pasukan-pasukan yang kecil.

Enam minggu kemudian sesetengah askar tersebut masih berada didalam hutan. Kompeni dibawah arahan Lt. Donald Napier, yang berada di barat jalan raya berjaya memecahkan kepungan Jepun dan menyeberangi sungai sebelum meletupkan jambatan kereta api.

Kompeni D yang berada di utara Kompeni pimpinan Napier terpaksa menanggung nasib sama seperti pasukan Argylls yang lain iaitu bertaburan kedalam hutan dan cuba untuk menghampiri barisan.

Kebanyakan dari tentera dalam Kompeni D telah ditangkap sebelum mereka berjaya sampai ke sungai. Hanya 94 anggota pasukan Argylls yang menghadiri “roll call” pada 8 January.

Setelah berjaya menguasai sekitar kampung Trolak, diwaktu inilah tentera Jepun mula menunjukkan belang kekejaman mereka di kawasan kebun getah sekitar Trolak. Di kawasan ini terdapat beberapa orang anggota dari pasukan Argyll dan Hyderabad yang cedera.

Leftenan Muda Ian Primrose melaporkan bahawa selepas beliau sedar selepas pengsan sewaktu bertempur, beliau mendapati tentera Jepun mula membahagikan anggota yang cedera kepada kumpulan yang boleh berjalan dengan kumpulan yang tidak boleh berjalan.

Primrose memutuskan yang beliau masih mampu berjalan, dan beliau sangat bernasib baik kerana selepas itu tentera Jepun mula menembak dan menikam anggota yang tidak mampu berjalan.

Kemudian mereka yang terselamat diarahkan menggali kubur untuk menanam mereka yang telah terkorban dan kemudian disuruh membawa tentera Jepun yang cedera.

Keseluruhan pertempuran Slim River ini mengakibatkan lebih kurang 500 tentera British India terbunuh manakala 3,200 menjadi tawanan perang. Manakala korban di pihak Jepun pula dianggarkan seramai 77 orang tentera Jepun terbunuh manakala 60 cedera. 4 kereta kebal Jepun musnah sewaktu pertempuran ini manakala 1 lagi kereta kebal mengalami kerosakan teruk.

Orang Perak mengucapkan tahniah dan syabas diatas usaha pasukan Malaya Historical Group Society yang dipimpin oleh Encik Shaharom Ahmad yang banyak mengangkat sejarah terutama berkaitan Perang Dunia Kedua di negeri Perak. Semoga usaha seperti ini boleh menjadi contoh yang baik kepada kita semua untuk diikuti.

Kalendar Pelancongan Perak Yang Wajib Anda Simpan Sepanjang 2025

Pelancongan Perak tahun ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik. Jika anda adalah kaki melancong, kaki makan, kaki selfie dan seumpamanya, anda patut simpan semua tarikh yang disediakan ini pada jadual anda. Simpan kesemua dan susun jadual anda betul-betul kerana ia telah dirancang untuk sepanjang tahun untuk pelancongan negeri Perak.

Jadi pastikan anda tidak terlepas semua event yang menarik ini. Okey, teruskan membaca dan jom lihat event apa yang ada disepanjang tahun 2025 ini.

Acara untuk sepanjang bulan Januari 2025.

Acara untuk sepanjang bulan Februari 2025.

Acara untuk sepanjang bulan Mac 2025.

Acara untuk sepanjang bulan April 2025.

Acara untuk sepanjang bulan April 2025.

Acara untuk sepanjang bulan Jun 2025.

Acara untuk sepanjang bulan Julai 2025.

Acara sepanjang bulan Ogos 2025.

Acara sepanjang bulan September 2025.

Acara sepanjang bulan Oktober 2025.

Acara sepanjang bulan November 2025.

Acara sepanjang bulan Disember 2025.

Anda juga boleh muat turun kalendar ini pada format PDF dengan klik link di sini

Rujukan :

  1. www.tourismperakmalaysia.com

Lagenda Tok Kuala Bidor Yang Terkenal Di Teluk Intan

Tok Kuala Bidor? Di hujung Kampung Bahagia, Teluk Intan, disekitar kawasan Kunci Air Sungai Suli terdapat perkuburan lama yang berada disebuah ‘pulau’ di tengah sungai. Perkuburan ini menempatkan jasad penduduk-penduduk awal Teluk Intan termasuklah seorang tokoh yang digelar sebagai Toh Kuala Bidor.

Pada masa dahulu, pelawat yang ingin ke kawasan perkuburan ini hanya boleh berbuat demikian menggunakan motorbot atau perahu sahaja kerana tiada jalanraya yang sampai kesitu. Namun kini setelah terbinanya kunci air penebat banjir, akhirnya terdapat jambatan dan jalan raya yang merintangi sungai sekaligus memudahkan untuk penduduk tempatan ke Sungai Tungku mahupun menziarahi kawasan perkuburan ini.

Batu Nesan Keramat Kuala Bidor

Terdapat banyak cerita mengenai Tok Kuala Bidor atau Toh Kuala Bidor ini. Ada sesetengah ahli sejarah yang menganggap beliau sebagai Panglima Bugis yang bernama Latata Ambralla yang menyamar diri sebagai Nakhoda Hitam. Nakhoda Hitam ini juga dikenali oleh orang Belanda sebagai Ketua Lanun yang mengganas di Kuala Perak (muara Sungai Perak yang bertemu Selat Melaka).

Pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah III (1728-1756), Tok Kuala Bidor dikatakan telah dilantik sebagai Orang Besar Perak bergelar Laksamana dan beliau menguasai kawasan perairan dari Kuala Bidor sehingga Kuala Sungai Perak.

Kisah lagenda berkenaan dengan Tok Kuala Bidor ini pernah direkodkan oleh Sir William Edward Maxwell, seorang pentadbir Inggeris yang pernah menjawat jawatan sebagai Residen British Selangor, Setiausaha Kolonial Negeri-Negeri Selat, pemangku Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Gabenor Gold Coast, Australia. Berikut merupakan kajian beliau berkenaan Tok Kuala Bidor yang diterbitkan di “Straits Branch of Royal Asiatic Society”.

Sir William Edward Maxwell

“Pada masa dahulu terdapat seorang nelayan miskin yang berasal dari Pasai, Sumatera dan telah berhijrah ke Semenanjung Melayu serta tinggal bersama isterinya di Sungai Perak. Dia (bekerja dengan) menangkap ikan menggunakan pelbagai jenis alatan (seperti belat, gerogok, bubu dan sebagainya), tetapi hidupnya tetap sukar untuk memperoleh mata pencarian.

Dia dan isterinya sangat miskin sehingga mereka hanya mempunyai satu pakaian di antara mereka, dan ketika seorang diantara mereka pergi keluar, yang lain diwajibkan tinggal di rumah di dalam kelambu nyamuk di rumah mereka itu. Air pasang pada masa itu kadangkala sampai ke Bandar Tuah, dan berhampiran tempat ini suami itu pergi memancing.

Dia perasan bahawa perangkapnya itu telah diganggu orang lain bebeberapa kali. Jadi dia tekad untuk melakukan intipan. Selepas beberapa waktu, beliau ternampak Jin berpakaian jubah hijau seperti seorang Haji serta memakai serban hijau, telah turun ke air. Nelayan itu dengan segera menyelam ke dalam air dan menangkap kaki Jin tersebut.

Jin itu kemudian merayu agar dilepaskan dan akan menunaikan permintaan nelayan itu jika dia berbuat demikian. Nelayan itu kemudian memohon agar beliau dikeluarkan dari kemiskinannya itu. Jin tersebut kemudian meminta agar beliau menelan sesuatu dan kemudian meludah ke dalam mulutnya. Jin kemudian berkata, “Kamu akan menjadi pembesar yang hebat di negeri Perak ini dan keturunan kamu selama tujuh generasi akan menjadi makmur.”

“Selepas dari peristiwa itu, nelayan tersebut pun dilimpahi kemakmuran serta bertambah kaya dan akhirnya dinaikkan menjadi Laksamana Negeri Perak. Dia dipanggil oleh orang-orangnya sebagai Toh Kuala Bidor, oleh kerana kediamannya yang berada di Kuala Sungai Bidor. Anak-anak Laksamana Datok Muhammad Amin, yang merupakan tahanan negeri di Seychelles, mendakwa merupakan keturunan ke-7 daripada Toh Kuala Bidor. “

Menurut tulisan Megat Iskandar At-Terawis dalam blog Orang Dua Belas, kajian salasilah dari keluarga Daeng Selili mendakwa Nakhoda Hitam merupakan adik bongsu kepada Daeng Selili (Orang Kaya-Kaya Maharaja Lela Tan Putera Pancung Tak Bertanya, Dato Maharajalela Pertama). Selain itu ada juga dakwaan yang menyatakan bahawa Nakhoda Hitam merupakan kekanda tiri kepada Daeng Selili.

Jawatan OKK Laksamana Raja Mahkota dari awal kewujudannya sehinga kini merupakan jawatan yang diduduki oleh keturunan Tok Kuala Bidor. Kini jawatan tersebut disandang oleh OKK Laksamana Raja Mahkota Dato’ Meor Redwan Bin Mahyudin. Beliau juga merupakan Orang Besar Jajahan Hilir Perak.

Begitulah lagenda Tok Kuala Bidor. Kuburnya berada di Kampung Bahagia, Teluk Intan. Namun terdapat juga dakwaan yang mengatakan kuburnya telah dipindahkan ke Masjid Kampung Batak Rabit di Teluk Intan. Makamnya di Kampung Bahagia itu juga dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor.

Disepanjang pemerhatian team Orang Perak yang pernah melawat makam ini beberapa tahun lepas, kawasan pemakaman ini dipercayai menempatkan kubur-kubur kerabat OKK Raja Laksamana dari beberapa keturunan. Keramat Tok Kuala Bidor menggunakan batu nisan aceh yang menarik. Namun sayangnya sebahagian besar batu nisan aceh ini sudah musnah mungkin disebabkan faktor pendedahan terhadap cuaca yang terlalu lama.

Team Orang Perak menjejaki Keramat Kuala Bidor pada tahun 2019

Kawasan pemakaman ini juga dipenuhi dengan semak. Diharapkan ahli waris dan keluarga Laksamana dapat bertindak untuk membersih serta memulihara kawasan ini. Juga mungkin boleh diletakkan sebuah papan tanda informasi mengenai sejarah Tok Kuala Bidor agak kisahnya dapat diikuti oleh masyarakat pada masa kini.

Rujukan :

  1. Maxwell W (ed). Notes and Queries. Malaysian Branch Royal Asiatic Society (MBRAS). Reprint 15. 1997. p61.
  2. Tempat-tempat Bersejarah di Negeri Perak, N.A. Halim
  3. FB Page – Jejak Warisan Teluk Intan
  4. Blog Orang Dua Belas – Megat Iskandar Terawis
  5. Fb – Iskandar Zulqarnain

Kilang Kicap Terkenal Jenama Hup Teck Ditutup Selepas 111 Tahun Beroperasi

0

Kilang Kicap Hup Teck yang merupakan jenama yang sekian lama menjadi buruan peminatnya terutama daripada keturunan Cina, akhirnya telah mengumumkan akan menutup operasinya pada 28 Januari 2025 nanti.

Pengumuman tersebut disampaikan melalui akaun media sosial Facebook rasmi Hup Teck. Hup Teck mengakui bahawa keputusan ini diambil dengan rasa berat hati. “Ini merupakan keputusan yang sukar dan kami merasa sungguh sedih untuk mengucapkan selamat tinggal setelah 111 tahun. Kami akan menutup pintu pada Selasa, 28 Januari 2025,” tulis Hup Teck.

Hup Teck mula beroperasi pada tahun 1914 di Gopeng, Perak dan telah menjadi sebahagian daripada warisan makanan bagi sebahagian penduduk di Malaysia.

Lebih dari satu abad beroperasi, perusahaan ini terkenal dengan teknik pembuatan kicap secara tradisional yang diwariskan daripada satu generasi ke generasi yang lain.

Disekitar kawasan kilang ini terdapat banyak pasu-pasu tanah liat yang diletakkan di halaman kilang. Ini menunjukkan keaslian dan tradisi dalam pemprosesan kicap jenama Hup Teck.

Walaupun sudah lama beroperasi dan mempunyai pelanggan tetap yang ramai, Hup Teck mengalami cabaran untuk meneruskan perusahaan kicap tradisional ini disebabkan masalah kesihatan pengurusnya yang semakin berusia.

Selain itu, ketiadaan pengganti yang bersedia untuk meneruskan perusahaan keluarga ini juga menjadi alasan utama di sebalik penutupan kilang kicap Hup Teck ini.

Berita tentang penutupan kilang Hup Teck ini mengejutkan dan menyedihkan ramai pelanggan setia kicap ini. Mereka kebanyakkan menceritakan nostalgia berkenaan rasa kicap yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka sejak kecil.

Penutupan kilang kicap Hup Teck ini juga menandakan berakhirnya sebuah ini yang tidak hanya sebuah perniagaan, bahkan identiti budaya terutama buat kaum Cina di Gopeng, Perak.

Perusahaan Hup Teck telah berperanan dalam menjaga tradisi dan seni pembuatan kicap yang asli sejak dari turun temurun. Namun dengan tamatnya perusahaan ini, dibimbangi warisan ini akan hilang akhirnya dilapuk zaman.

Beruang Matahari, Maskot Tourism Malaysia 2026

0

Baru-baru ini, Beruang Matahari telah dipilih sebagai ikon dan maskot bagi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Dikenali juga sebagai Beruang Madu, maskot haiwan ini telah dinamakan sebagai Wira (beruang jantan) dan Manja (beruang betina).

Beruang matahari dipilih kerana ia merupakan spesis beruang terkecil di dunia dan merupakan spesies yang unik serta asli di kawasan tropika Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Wira dan Manja. Ikon Tourism Malaysia 2026

Watak maskot Wira dan Manja itu direka dalam gaya animasi yang comel dan menarik untuk memikat semua peringkat umur selain menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Ikon kempen itu didedahkan buat pertama kali pada Majlis Pelancaran VM2026.

Beruang Matahari mendapat namanya oleh kerana tanda oren kekuningan yang terdapat menyerlah pada dadanya. Ia adalah jenis beruang yang terkecil didunia dengan ketinggian 1.2-1.5m dan berat 27-70kg. Walaupun begitu, ia masih haiwan yang bahaya. Ia cekap memanjat dengan menggunakan kaki yang besar dengan kuku berbentuk sabit yang yang panjang.

Beruang Matahari @ Beruang Madu Malaya

Haiwan ini sebenarnya menjadikan hutan hujan tropika Asia Tenggara, Indochina, Semenanjung Malaysia, Pulau Sumatra sehinggalah ke Pulau Borneo sebagai habitatnya. Spesis Beruang Matahari yang terdapat di Thailand dan Semenanjung Malaysia dikenali sebagai Malayan sun bear (H. m. malayanus). Manakala di Kepulauan Borneo pula dikenali sebagai Bornean sun bear (H. m. euryspilus).

Beruang Matahari Malaya ialah spesis haiwan terkecil dari keluarga Ursidae berbanding beruang kutub dan grizzly. Saiz beruang ini hanyalah sepanjang 150 sentimeter dan beratnya boleh mencecah 70 kilogram.

Dengan bulunya pendek dan halus, ia nyata berbeza dengan buku beruang lain yang lebih lebat kerana beradaptasi dengan cuaca di geografi yang rendah serta panas seperti di Semenanjung Malaysia ini.

Meskipun ia merupakan beruang ini terkecil dalam spesis beruang, namun ia tetap berbahaya kerana mempunyai cakarnya yang panjang seperti sabit. Nampak comel, tetapi jika anda berhadapan dengannya anda perlu berjaga-jaga. Beruang matahari mempunya kuku panjang yang begitu berguna untuk memanjat pokok bagi mencari makanan kegemarannya, iaitu madu. Dengan lidahnya sangat panjang, sekitar 25 sentimeter supaya dapat keluarkan madu dari sarang lebah.

Beruang Matahari sedang berehat

Di semenanjung, selain banyak kes serangan harimau terhadap penoreh getah, beruang matahari juga menyumbang kepada kes serangan yang berlaku sehinggakan ada serangan yang membawa maut. Beruang ini juga memakan serangga dan buah-buahan. Kukunya digunakan juga dalam mengorek dahan mati dan tanah untuk mencari sebarang serangga seperti kumbang dan anai-anai sebagai sumber protein. Beruang ini juga banyak menghabiskan masa di atas pokok.

Uniknya spesis beruang ini berbanding beruang lain ialah ia tidak perlu berhibernasi kerana hidup di kawasan tropika yang tidak mempunyai kitaran empat musim, berbeza dengan spesis beruang lain di kawasan latitud utara yang harus berhibernasi apabila tibanya musim sejuk.

Seperti mana banyak haiwan unik lain di Malaysia, beruang matahari ini juga tidak terlepas menjadi mangsa buruan bagi mendapatkan bulu dan hempedunya yang dianggap berkhasiat dalam perubatan tradisional Cina. Dalam tahun 2007, pihak IUCN mengkelaskan beruang matahari sebagai spesis yang berisiko ‘terdedah’.

Banyak zoo di Malaysia memelihara dan memulihara beruang matahari ancaman pembangunan dan pemburuan haram. Terdapat juga pusat pemuliharaan bernama Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (Bornean Sun Bear Conservation Centre) yang bertempat di Sepilok, Sabah bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kewujudan haiwan yang comel ini.

Zoo Taiping

Sudah tentu kita di negeri Perak, Zoo Taiping antara zoo yang juga memelihara Beruang Matahari ini. Jadi jom kita berkunjung ke Zoo Taiping bagi melihat dengan lebih dekat haiwan yang menjadi maskot kebangsaan kita bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Semoga kita semua peka dengan kewujudan beruang matahari ini dan bersamalah kita melindunginya dari diancam kepupusan!

Rujukan :

  1. Website Zoo Taiping
  2. Tourism Malayisa
  3. Wikipedia
  4. Malaysian Wildlife.org