28.9 C
Ipoh
Thursday, 27 March 2025

Menara Jam Memorial Birch: Sejarah dan Seni Bina

- Advertisement -
- Advertisement -

Orang Perak yang tinggal di kawasan Ipoh pasti tahu akan Menara Jam Memorial Birch (Birch Memorial Clock Tower) yang terletak berhampiran dengan Dewan Bandaran Ipoh (Ipoh Town Hall). Memorial ini dibina sebagai satu peringatan untuk Residen Inggeris pertama di Perak sekitar 1870-an iaitu JWW Birch yang mati dibunuh oleh pejuang tempatan di Pasir Salak. Memorial ini diilhamkan pembinaannya oleh Residen Inggeris yang kelapan, EW Birch (iaitu anak kepada JWW Birch) dan telah dirasmikan pembukaannya pada 8 Disember 1909 oleh Pesuruhjaya Tinggi (H.E. High Commissioner) ketika itu, Sir John Anderson.

Menara Jam Memorial Birch di Ipoh. Gambar kiri menunjukkan dinding menara yang menghadap selatan, manakala gambar kanan menunjukkan dinding menara yang menghadap utara.

Menara jam ini berdiri tinggi berukuran lebih 20 meter memaparkan gaya seni bina Renaissance (sinonim dengan pembinaan era kolonial di Tanah Melayu) dan mempunyai empat sisi, di mana tiap satu sisinya dipasangkan jam analog. Pada setiap sisi dinding juga terdapat panel hiasan (painted faience frieze) yang memaparkan lukisan individu atau tokoh yang mewakili peredaran ketamadunan manusia. Empat panel hiasan pada setiap sisi menara masing-masing menghadap ke empat arah mata angin utama: Panel A menghadap utara, Panel B menghadap barat, Panel C menghadap selatan, dan Panel D menghadap timur. Panel A dan B memaparkan individu dan tokoh dari zaman prasejarah sehingga ke zaman kedatangan Christ, manakala Panel C dan D memaparkan individu dan tokoh dari zaman kedatangan Christ sehingga ke zaman abad ke-19 (era ketika menara jam ini disiapkan).

Di samping itu, terdapat empat patung ukiran terracotta di bahagian atas menara yang masing-masing menghadap ke luar penjuru menara tersebut. Panel hiasan dan patung ukiran ini direka bentuk oleh Tetuan Doulton dan Co. dari London (Messrs. Doulton and Co.). Empat patung ini mewakili empat sifat penting yang menghadap ke arah penjuru yang berbeza iaitu: (1) Kesetiaan (Loyalty) yang menghadap timur laut, (2) Keadilan (Justice) menghadap barat laut, (3) Ketabahan (Fortitude) menghadap barat daya, dan (4) Kesabaran (Patience) menghadap tenggara.

Patung ukiran terracotta di Menara Jam Memorial Birch. Dari kiri: Kesetiaan (Loyalty) digambarkan dengan ukiran yang memegang pedang dan perisai, Keadilan (Justice) yang memakai penutup mata serta memegang pedang dan penimbang, Ketabahan (Fortitude) yang mempunyai lembing, dan Kesabaran (Patience) yang tidak memegang sebarang senjata.
Panel A. Dari kiri: Tiga individu dari Zaman Batu (lelaki pemburu, lelaki pengail ikan, dan wanita menggunakan alat pemintal), dua individu dari Zaman Besi (wanita menyusu bayi sambil membelai seekor haiwan, dan lelaki yang memegang busur dan panah), enam individu yang menggambarkan ketamaduan purba yang pelbagai (seorang Nubian memegang emas dan gading gajah, seorang ahli nujum Chaldean, seorang wanita membuat tembikar, dan tiga orang masing-masing dari tamadun Mesir, Assyria, dan Parsi).
Panel B. Dari kiri: Empat tokoh/individu dari sekitar Timur Mediterranean (Moses, David, lelaki Phoenician, dan wanita dari tamadun Aegean), tiga tokoh dari Far East (Confucius, Buddha, dan Lao Tzu), empat individu/tokoh dari peradaban Greek-Rom (seorang wanita yang sedang meneliti tembikar ukiran kesenian Greek, Alexander the Great, Plato, dan Augustus).
Panel C. Dari kiri: Constantine the Great dari Empayar Byzantine, Nabi Muhammad SAW dari zaman peradaban Islam (lukisan ini dihilangkan pada 16 Julai 1958 selepas menerima bantahan daripada organisasi bukan kerajaan), seorang Crusader berbaju besi dari zaman Chivalry, St. Clara, seorang biskop memegang model kecil sebuah katedral (mewakili kesenian Gothic), empat tokoh pelbagai bidang dari zaman Renaissance (Galileo dalam bidang Sains, Michel Angelo dalam bidang Kesenian, Victoria Colonna dalam bidang Sastera, dan Columbus dalam bidang Perusahaan), Luther dari zaman Reformation, dan Shakespeare dari zaman Elizabethan.
Panel D: Dari kiri: Newton yang mewakili bidang Sains, Kesenian dan Khidmat Sosial, serta Fizik, Harvey yang mewakili bidang Perubatan, Watt iaitu pelopor penggunaan stim, seorang penyulam wanita yang mewakili Kesenian, Beethoven yang mewakili bidang Muzik, Stephenson yang mewakili bidang Kejuruteraan, Daguerre iaitu pelopor teknik fotografi, Nightingale mewakili bidang Khidmat Sosial, Darwin yang mewakili bidang Sains Semula Jadi, Edison yang mewakili bidang Elektrik, dan Lister iaitu pelopor teknik pembedahan.

Satu loceng besar dan empat loceng kecil juga telah dipasang pada bahagian atas menara yang dibekalkan oleh Tetuan Gillet dan Johnson dari Croydon (Messrs. Gillet and Johnson), yang turut membekalkan jam-jam di menara tersebut. Loceng-loceng ini bercirikan bunyi Westminster (Westminster chimes). Pada bahagian dinding utara menara memorial tersebut, terdapat satu sudut relungan lekuk yang diletakkan patung gangsa kecil (bronze portrait bust) JWW Birch serta plak penerangan yang kini telah tiada dan tidak dapat dikesan lokasinya. Patung gangsa ini disiapkan oleh pengarca yang bernama Hamo Thornycroft.

Pada masa kini menara memorial berada di kawasan Medan Selera Dato’ Sagor di seberang jalan raya dengan Masjid Negeri (Masjid Sultan Idris Shah II). Alamat menara ini adalah pada Post Office Road sebelum dikemaskini menjadi Jalan Dato’ Sagor. Secara ironinya, Dato’ Sagor merupakan salah seorang pejuang yang telah ditangkap dan dihukum gantung akibat penglibatannya dalam kematian JWW Birch. Menara memorial ini juga telah dijadikan sebahagian daripada Ipoh Heritage Walk yang merupakan tarikan pelancong di kawasan sekitar Ipoh.

Selain daripada di Ipoh, terdapat juga sebuah Batu Peringatan Birch (Birch Memorial) yang dibangunkan di Pasir Salak pada ketika awal 1900-an juga, ketika EW Birch menjadi Residen Inggeris di Perak. Pada masa kini, Batu Peringatan Birch Pasir Salak ini menjadi sebahagian daripada Kompleks Sejarah Pasir Salak, di mana bersebelahannya didirikan sebuah masjid dan di hadapannya sebuah tugu pahlawan Perak Darul Ridzuan.

Batu Peringatan Birch yang dibangunkan di Pasir Salak. Monumen yang lebih kecil berbanding memorial Birch di Ipoh ini kini berada di dalam kawasan Kompleks Sejarah Pasir Salak, Perak.

Pengekalan monumen peninggalan era kolonial merupakan salah satu topik perbincangan masyarakat seluruh dunia termasuk Malaysia. Banyak pandangan berbelah bahagi yang telah dilontarkan berkenaan kewajaran pengekalan monumen seperti ini. Negeri Perak merupakan salah satu negeri yang mempunyai sejarah yang panjang dan dibayangi era yang pelbagai. Monumen peninggalan era Inggeris di Negeri Perak merupakan salah satu elemen yang membentuk latar belakang pembentukan sejarah kebangsaan. Sumber ilmu dan maklumat daripada catatan terdahulu sedikit sebanyak dapat memperjelaskan lipatan sejarah yang agak rumit dan berwarna-warni. Rakyat Malaysia terutamanya komuniti tempatan wajar memperdengarkannya agar dapat belajarlah segala yang baik dan buruk daripada sejarah, syahadan peristiwa yang tidak elok dapat dielakkan pada masa yang mendatang.

Rujukan:

• Cetakan imbas akhbar. 16 Disember 1909 (halaman 5). Birch Memorial. Sir John Anderson Welcomed at Ipoh. Description of the Clock Tower. The Straits Budget. https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/article/straitsbudget19091216-1.2.8?qt=%22clock%20tower%22,%20kangsar&q=%22Clock%20tower%22%20%2B%20Kangsar
• Cetakan imbas akhbar. 17 Julai 1958 (halaman 6). Workman Obliterates Painting of Prophet. The Straits Times. https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/article/straitstimes19580717-1.2.56
• The Birch Clock Tower, A Memorial to JWW Birch, The First British Resident of Perak. https://db.ipohworld.org/view/id/1037
• A Young Man Takes A Rest With JWW Birch. https://db.ipohworld.org/view.php?type=id&id=9114
• Pasir Salak Historical Complex. https://visitperak.com.my/museums-and-art-galleries-pasir-salak-historical-complex/

- Advertisement -
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here