Kisah Penubuhan Kumpulan Parang Panjang Di Kampung Bekor, Perak

satu program percuma khas oleh orangperak.com

Dalam usaha untuk mempertahankan orang Melayu, golongan ulama, pemimpin agama dan tokoh tempatan dikatakan memiliki kelebihan luar biasa pada waktu itu. Terdapat dua individu yang sering kali dikaitkan dengan amalan mistik dalam masyarakat Melayu iaitu pawang dan bomoh. Terdapat golongan ulama, pemimpin agama dan tempatan telah memainkan peranan penting dan sebagai tempat rujukan bagi mendapatkan pandangan.

Golongan pemimpin agama telah memainkan peranan penting dalam menyatupadukan orang Melayu yang terdiri daripada pelbagai suku bangsa. Hal ini bertambah mudah kerana ulama pada peringkat awal terdiri dari pelbagai latar belakang. Terdapat ulama yang berasal dari India, Arab dan juga Indonesia yang berperanan sebagai pencetus semangat juang dalam tempoh masa orang Melayu menghadapi tekanan dan kekejaman komunis.

Kesedaran gerakan nasionalisme, kezaliman komunis dan ketidak seimbangan perencanaan ekonomi, menyebabkan orang Melayu mencari alternatif bagi menyelamatkan nyawa. Hal ini turut ditambah dengan kehilangan kuasa politik sultan dan pembunuhan beberapa orang ulama oleh pihak komunis. British turut melaporkan bahawa amalan ilmu kebal telah bermula pada November 1945 di Negeri Sembilan. Amalan ini tersebar luas ke seluruh Tanah Melayu termasuk di Singapura. Terdapat laporan dari War Office Record turut mengiktiraf bahawa sabilillah telah berjaya menyatukan orang Melayu ketika menghadapi tekanan Bintang Tiga.

Kumpulan Parang Panjang

Gangguan dan kezaliman komunis telah menyebabkan penduduk Melayu Kampung Bekor menubuhkan kumpulan parang panjang. Mereka juga mempelajari ilmu mempertahankan diri seperti pencak silat. Antara tokoh yang menjadi tumpuan dalam mempelajari ilmu pencak silat ialah Ibrahim dan Shaharuddin bin Yeop Abdul Hamid. Orang Cina juga tidak terkecuali mempelajari kuntau. Ramai guru kuntau yang dikatakan bermastautin di Bekor. Masjid dan surau menjadi tempat penting berkumpul dalam menyatukan penduduk Melayu Kampung Bekor. Antara pemimpin tempatan yang berpengaruh dalam menyatukan orang Melayu di Kampung Bekor ialah Harun bin Uda Hassan. Harun bin Uda Hassan telah mengumpulkan penduduk kampung di surau dan masjid serta memberikan peringatan agar tidak bekerjasama dengan komunis.

Penglibatan beberapa orang ulama tempatan seperti Tuan Haji Salleh bin Abdul Manan, Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdul Manan dan Tuan Haji Shahbudin bin Lebai Sulaiman Bakul telah berjaya menyatukan penduduk Melayu di Kampung Bekor.

Terdapat juga penglibatan beberapa orang syeikh dari Bagan Serai seperti Tuan Syeikh Osman. Ketika orang Melayu berada dalam keadaan tertekan, seorang syeikh di Bekor telah membawa ilmu cincin kebal dan telah berperanan sebagai penyampai fatwa dalam barisan parang panjang.

Terdapat juga orang Melayu yang menjual gelang lengan kebal bagi melindungi nyawa di kawasan Manong dan Bekor. Selendang merah digunakan bagi meningkatkan semangat perjuangan. Dalam menjana tenaga dalaman pengamal ilmu kebal, Al-Quran telah menjadi tunjang utama.

Pelbagai cara telah digunakan oleh orang Melayu bagi mempertahankan kelangsungan survival bangsa. Amalan kebal orang Melayu disertai dengan penggunaan beberapa objek seperti tangkal dan susuk jarum emas. Susuk jarum emas pula akan dimasukkan ke dalam pembuluh darah setiap pengamal. Cincin, gelang dan rantai digunakan sebagai azimat pelindung diri ketika menentang komunis. Laporan perisikan British membuktikan bahawa tangkal azimat bagi tujuan perlindungan diri telah dijual oleh orang Melayu di Manong-Bekor.

Cincin tersebut diperbuat daripada gelung tembaga dan dipakai bagi tujuan melindungi diri. Cincin kebal ini digunakan secara berleluasa di lokasi berlakunya pergaduhan antara Melayu dengan Cina khususnya di Perak. Oleh kerana ulama ini mempunyai ilmu yang tinggi, mereka dengan mudah telah diterima oleh penduduk Kampung Bekor. Pembelajaran ilmu kebal sedikit sebanyak telah menambahkan keyakinan orang Melayu untuk menghadapi tindakan zalim komunis. Ulama, guru agama dan pemimpin di peringkat tempatan dilaporkan memainkan peranan penting dalam menyebarkan semangat anti Cina.

Pada pertengahan abad ke 20, ilmu kebal dan kongsi gelap telah digunakan oleh orang Melayu untuk mempertahankan diri. Bilangan pengamal ilmu kebal ketika tempoh masa itu dianggarkan mencecah angka ribuan orang. British yang gagal mengawal keadaan, menganggap amalan ilmu kebal orang Melayu mengganggu kestabilan dan keamanan masyarakat. Hal ini kerana kebergantungan orang Melayu kepada sultan dan juga mufti beralih kepada golongan ulama dan pengamal ilmu kebal.

Sumbangan ulama, pemimpin agama dan pemimpin di peringkat tempatan tidak dapat dinafikan dalam memimpin serta menyedarkan masyarakat Melayu ketika diancam oleh komunis. Bilangan mereka tidak dapat dipastikan secara jelas kerana sudah menjadi tradisi dan prinsip ulama silam yang tidak meninggi diri. Oleh yang demikian, ilmu mereka hanya tersebar dalam cakupan ruang yang agak terhad dan di peringkat tempatan.

Dalam tempoh enam bulan pertama selepas Jepun menyerah kalah sudah wujud prasangka negatif dalam kalangan Melayu dan Cina. Hal ini kerana, ketika berlaku pergaduhan antara Melayu dengan Cina di Sungai Manik, ramai di antara orang Cina dari Bekor yang membantu komunis di lokasi berkenaan. Peristiwa permusuhan dan penyerangan ke atas orang Melayu telah menyebabkan orang Melayu terus bertindak.

Kumpulan Parang Panjang

Tambahan pula apabila ulama, pemimpin agama dan pemimpin tempatan Kampung Bekor telah menanamkan semangat jihad serta fisabilillah. Mereka telah mengeluarkan fatwa jihad, di mana sudah menjadi kewajipan orang Islam mempertahankan kampung halaman mereka sekiranya dicerobohi oleh musuh Islam. Hal seumpama ini telah menyebabkan jiwa masyarakat Melayu menjadi kental dan sebati dengan semangat perjuangan. Hubungan kaum di kawasan Bekor dan Kelian telah mula menjadi renggang. Boleh dikatakan hampir setiap malam kedengaran bunyi tetuang yang digunakan oleh orang Cina untuk berlatih kuntau.

Bibit pergaduhan antara Melayu dengan Cina telah bermula pada 2 Januari 1946 yang mengakibatkan seorang Cina terbunuh dan empat yang lain hilang di Bekor. Civil Adviser Officer (CAO) Kuala Kangsar melawat ke tempat kejadian pada 4 Mac 1946 dan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Melayu serta Cina. Pada malam yang sama, enam buah rumah orang Cina dibakar termasuk Sekolah Cina Bekor. Orang Cina melarikan diri dan mencari perlindungan di Estet Ban Sin Loong.

Dalam satu peristiwa lain, seramai 100 orang Cina telah lari bertempiaran apabila dikejar oleh orang Melayu kerana telah merosakkan tanaman orang Melayu ketika kerja membina jalan kampung selebar enam kaki. Kerja pembinaan tersebut juga telah dijalankan tanpa kebenaran daripada penduduk kampung. Penduduk Melayu berkejar ke tempat kejadian dengan membawa parang panjang dan mengusir pekerja tersebut.

Walau bagaimanapun, terdapat usaha ke arah perdamaian yang telah dilakukan oleh wakil orang Melayu dan Cina. Satu mesyuarat telah diadakan di Manong dengan dihadiri oleh wakil ulama dan pemimpin Cina. Sebanyak tiga tuntutan telah dikemukakan oleh orang Melayu.

Tuntutan pertama ialah memulangkan semula orang Melayu yang telah ditangkap dan dibawa ke dalam hutan. Sekiranya mereka ini telah dibunuh, orang Melayu memohon agar ditunjukkan kubur, agar mereka boleh dikebumikan semula mengikut tuntutan agama Islam. Mereka juga menuntut kembali harta milik orang Melayu yang telah dirampas oleh komunis. Tuntutan ketiga ialah menyerahkan semua senjata seperti senapang yang berada dalam simpanan mereka kepada pihak kerajaan.

Beberapa mesyuarat di peringkat tempatan juga telah diadakan di antara Ketua Kampung Bekor iaitu Tuan Haji Muhammad Ali dengan wakil orang Cina di Bekor yang dikenali sebagai Ah Foi. Mesyuarat ini telah diadakan atas inisiatif Tuan Seedwell dan Tuan Catchfold. Punca serangan pada 5 Mac 1946 adalah disebabkan oleh peristiwa pembunuhan seorang Cina. Beberapa orang penduduk Kampung Bekor dikatakan telah menggunakan kesempatan membunuh orang Cina ketika mereka membawa guni padi dari Klian ke Manong.

Kumpulan Parang Panjang

Dalam satu peristiwa yang lain pula beberapa orang penduduk kampung menetak dua orang Cina yang membawa padi ke pekan Manong. Salah seorang daripada mereka terjun ke dalam Sungai Perak yang berhampiran.

Manakala seorang lagi sempat melarikan diri. Terdapat juga sumber yang menyatakan bahawa asal mula pergaduhan ialah apabila berlakunya pembunuhan ke atas seorang penduduk Cina yang sedang mengandar ayam di Kampung Bekor. Pembunuhan tersebut dilakukan oleh Kassim bin Alang Mat Yasin.

Mayat peniaga tersebut dicampakkan ke dalam sungai dan tersangkut di Sungai Perak. Mayat ini telah dijumpai oleh orang Cina dan mereka mengandar mayat tersebut melalui laluan Kampung Bekor.

Pada hari ini di zaman yang moden, ramai yang menganggap kisah ini sebagai mitos dan khayalan orang melayu lama semata-mata. Oleh kerana tiada bukti kukuh yang dapat diberikan melainkan penceritaan kasar daripada orang-orang lama yang diturunkan kepada keluarga melalui lisan sahaja. Ilmu-ilmu tersebut juga dikatakan tidak diperturunkan pada waris-waris dan kini hampir hilang sepenuhnya ditelan arus zaman.

Namun, kisah ini patut dibaca oleh semua demi memperingati perjuangan orang-orang melayu pada satu ketika dahulu dalam mempertahankan hak-hak mereka dan agar tidak lupa tentang sejarah yang kita pernah dijajah teruk pada zaman nenek moyang kita pada satu ketika dahulu.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Pengasas orangperak.com dan pencinta sejarah tempatan negeri Perak
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.