Bangunan rumah Residen Perak yang diceritakan dalam artikel kali ini terletak di atas Bukit Kerajaan, Kuala Kangsar Perak. Sebelum ini dikenali dengan nama Changkat Residen dan sebelum itu juga, bukit tersebut dikenali dengan nama Bukit Cik Midah.
Nama bukit Cik Midah adalah diambil sempena nama seorang janda kepada Ngah Lamat yang kemudiannya berkahwin pula dengan Almarhum Sultan Yusof (Sultan Perak ke 27). Kemudian Cik Midah sekali lagi berkahwin dengan Nakhoda Terang.
Tapak asal sebelum dibangunkan rumah kediaman Residen British di Kuala Kangsar ini sebenarnya adalah tapak rumah Cik Midah. Dalam tahun 1876, rumah Cik Midah diambil oleh penjajah British dan kemudian pada tahun 1877, rumah asal Cik Midah dirobohkan.
Rumah asal Cik Midah dirobohkan oleh pihak British kerana bertujuan untuk mendirikan rumah kediaman untuk Residen British yang pertama buat Selangor untuk berkhidmat di negeri Perak sebagai Residen British di Perak yang ke tiga iaitu J.G. Davidson. Namun J.G. Davidson tidak sempat menduduki rumah yang dibina untuknya itu kerana beliau telah meletak jawatan sebelum rumah tersebut siap dibina.
Cik Midah dan suaminya Nakhoda Terang
Akhirnya, rumah kediaman Residen British tersebut diduduki oleh Residen British yang ke empat iaitu Sir Hugh Low dalam tahun 1905. Rumah residen yang mula-mula dibangunkan tidak kelihatan seperti hari ini yang mana ia pernah dirobohkan dan dibangunkan semula dengan binaan daripada batu.
Rumah Residen British yang berdiri teguh di Bukit Kerajaan, Kuala Kangsar Perak ini juga dikenali dengan nama King Pavilion. Dalam tahun 1909, King Pavilion didiami pula oleh residen British Perak yang ke lapan iaitu Ernest Woodford Birch dan beliau adalah merupakan anak kepada J.W.W. Bich yang dibunuh oleh Sepuntum di Pasir Salak pada tarikh 2 November 1875.
Setelah Ernest Woodford Birch (Residen British Perak ke 8) berhenti berkhidmat sebagai seorang residen British di negeri Perak, rumah residen ini didiami pula oleh Sir Reginald George Watson sebagai Residen British Perak ke 12.
Dalam tahun 1960, rumah kediaman residen British ini akhirnya dijadikan sebuah sekolah yang mana hari ini dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom. Nama Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom diambil sempena nama bonda kepada Almarhum Sultan Idris II (Sultan Perak ke 33).
Anak tangga ke rumah Residen yang menunjukkan kedudukan banjir mengikut tahun
Menurut tulisan Anthony Burgess dalam buku Little Wilson and Big God, terdapat beberapa sebab-sebab tertentu yang berkaitan dengan pelbagai kisah gangguan hantu dan makhluk halus yang menyebabkan ramai residen British di negeri Perak menolak dan tidak berani untuk mendiami kediaman yang disediakan ini.
Itulah punca kenapa tidak ramai Residen British di Perak yang menggantikan residen British sebelumnya tinggal di kediaman rasmi ini. Bangunan ini cukup cantik dan struktur bangunan tersebut direka bentuk dari zaman Victoria tambahan lagi ia punya permandangan yang cukup indah dari atas sana.
Sumber dan rujukan:
- Laman Web Rasmi SMKRPK
- Perak and the Malays: Sarong and Kris
- Tempat-Tempat Bersejarah Perak – N.A. Halim (m/s 188)
- Little Wilson and Big God – Anthony Burgess