● OrangPerak
Utama Berita Jejak Warisan Waktu Solat Cuaca Surprise Me!
Menjelang — --:--:--
Subuh
05:54
Syuruk
06:59
Zohor
13:05
Asar
16:21
Maghrib
19:05
Isyak
20:14
Berita

Jangan Berhenti Merakam Lokasi Kemalangan, Gajah Boleh Muncul Bila-Bila Masa

11 Jun 2025 · 1 min baca · 102 ·Oleh Iskandar Zulqarnain

Jangan Berhenti Merakam Lokasi Kemalangan, Gajah Boleh Muncul Bila-Bila Masa

Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlalu ghairah berhenti untuk merakam lokasi kemalangan bas di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli kerana kawasan tersebut merupakan zon kemunculan gajah liar.

Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff, sekiranya terdapat keperluan untuk berada di lokasi berkenaan, waktu yang paling sesuai adalah pada tengah hari, antara pukul 10 pagi hingga 4 petang.

"Waktu gajah biasanya mula muncul adalah dari lewat petang hingga awal pagi esoknya. Sila berhati-hati. Potensi untuk gajah muncul memang ada. Kalau malam dan awal pagi, jangan berhenti di situ," tegasnya.

Tinjauan di lokasi mendapati terdapat banyak najis gajah di sepanjang jalan menuju ke tempat kejadian kemalangan bas. Malah, lokasi tersebut hanya kira-kira 20 minit dari tempat kejadian anak gajah yang mati dilanggar lori pada awal bulan lalu.

Seorang pemandu kenderaan berat yang berada di lokasi turut mengesahkan bahawa selain gajah, harimau juga kadangkala boleh muncul di kawasan berkenaan.

"Apabila tiba di puncak Titiwangsa ini, kami yang kerap memandu di sini akan berhati-hati terutama pada waktu malam. Malah, ketika kita berhenti dan bercakap di sini pun, mungkin ada haiwan liar yang sedang memerhati," katanya ketika ditemu bual semasa kenderaannya dihentikan bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa membersihkan kawasan kemalangan.

Sejak kejadian kemalangan bas dua hari lalu, banyak kenderaan yang melalui kawasan tersebut dilihat bergerak perlahan untuk melihat lokasi kejadian, malah ada yang tidak melepaskan peluang untuk merakam video atau mengambil gambar.

Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi nasihat yang diberikan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Lihat Profil →

Komen (0)

Tiada komen.

Tinggalkan Komen

maks 2000 aksara
Komen tertakluk kepada semakan sebelum dipaparkan.