Kisah sambungan dari Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 1). Jika anda tertinggal bahagian 1, anda boleh klik pada pautan ini untuk membaca Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 1).
Kemurkaan Raja Aceh tidak dapat dibawa bincang lagi dan tanpa sebarang perkhabaran, Aceh pun pergi menyerang Perak dengan tanpa sebarang amaran. Bendahara Perak tidak ada di Kota Geronggong pada masa ketika Perak diserang tentera Aceh kerana sedang berubat di Ulu Kinta. Oleh kerana tidak ada persediaan untuk menghadapi peperangan, maka Perak pun kalah. Sultan Perak ditawan dan dibawa ke Aceh untuk dipenjarakan.
Setelah tentera Aceh beredar dari Perak untuk pulang ke Aceh, pembesar Perak seperti Bana, Tok Ribut, Tok Gagah dan Tok Bidara terus mengadakan mesyuarat untuk memberitahu perkhabaran berita tentng apa yang berlaku pada sultan ke bendahara yang berada di Ulu Kinta. Kata putus mesyuarat menyatakan bahawa Bana dan Tok Gagah yang akan pergi ke Ulu Kinta bertemu dengan bendahara demi menyampaikan perkhabaran sedih tersebut.
Maka pergilah Tok Gagah dan Bana ke Ulu Kinta menemui bendahara dan menceritakan segala yang berlaku sewaktu bendahara tiada di Kota Geronggong. Lalu berlinang air mata bendahara rasa sedih mendengar perkhabaran dari Bana dan Tok Gagah berkenaan hal tersebut. Seminggu selepas itu, bendahara kembali sihat dan sembuh dari penyakitnya. Kemudian, bendahara menemui orang yang mengubatnya iaitu penghulu orang asli untuk menyatakan rasa syukur dan berterima kasih.
Bendahara pun pulang ke Kota Geronggong dan tidak lama kemudian bendahara terus berangkat ke Singapura kerana hendak membeli jin. Apabila sampai di Singapura, bendahara pun naik ke darat dan bertemu dengan seorang orang tua yang sedang duduk termenung. Dihadapan orang tua tersebut ada empat ekor burung serindit lalu bendahara memberi salam dan terus bertanyakan pada orang tua tersebut sama ada ingin menjual empat ekor burung miliknya itu.
Setelah mendapat sambut balas dari orang tua tersebut dan menyatakan ianya untuk dijual, maka bendahara pun bersetuju untuk membelinya dan membayar dengan nilai yang dipersetujui. Tanpa melengahkan masa, bendahara terus membawa empat ekor burung tersebut dengan kapal layarnya menuju ke Pulau Sembilan. Apabila bendahara sampai ke Pulau Sembilan, bendahara terus melepaskan seekor burung serinditnya disitu dan terus memudik kapalnya sehinggalah ke Pasir Garam di Pulau Bangka.
Apabila bendahara sampai ke Pasir Garam, dilepaskan seekor lagi burung serinditnya disitu pula. Dan 2 ekor burung serindit yang terakhirnya dilepaskan di sebelah hulu Perak di kawasan Temong. Ada yang katakan, bahawa empat ekor burung serendit inilah sebenarnya empat ekor jin yang dipelihara oleh bendahara untuk bersama-sama mempertahankan negeri Perak. Nama jin-jin tersebut adalah Bintang Kemabur, Perkaka, Gagak Sura dan Pulikat.
Setelah selesai melepaskan kesemua burung serendit yang dikatakan jelmaan jin itu, maka bendahara pun pulang ke Kota Geronggong dan bersiap siaga dengan alat peperangan untuk menyerang semula Aceh dan menuntut semula sultan Perak yang telah dipenjarakan di sana. Tentera Perak pun berhimpun di Kota Geronggong yang datang dari serata Perak untuk belayar menuju ke Aceh. Turut ada di dalam angkatan perang adalah Bana dan Tok Gagah yang begitu berani menentang musuh.
Tentera Perak kalah apabila menyerang Aceh kerana pada waktu itu kuasa Raja Aceh sangat gagah dan digeruni. Bendahara dan dua orang pembesar iaitu Bana dan Tok Gagah pun ditangkap, dipenjarakan lalu mereka bertiga akan menghukum bunuh. Berita tentang hal hukuman bunuh bendahara dan pembesar Perak itu telah sampai ke telinga Raja Permaisuri Aceh dan baginda Raja Permaisuri mempertikaikan akan hukuman yang bakal dikenakan pada Raja Aceh.
Baginda Raja Permaisuri Aceh terus memberitahu tentang baginda sedang hamil dan ingin meletakkan syarat pada Raja Aceh tentang hal hukuman pada bendahara dan pembesar Perak. Baginda nyatakan sedang mengidamkan buah durian Gangga Puri yang ada di anjung istana. Baginda Raja Permaisuri Aceh mencadangkan bahawa arahkan bendahara mengambil buah durian Gangga Puri itu dan jika dia tidak berupaya mengambilnya, maka barulah jatuhkan hukuman bunuh. Memandangkan Raja Permaisuri Aceh sedang mengandung, maka Raja Aceh yang gembira itu bersetuju sahaja.
Bersambung ke Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 3). Sila klik di pautan ini untuk membaca kesinambungan Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 3).