25 C
Ipoh
Saturday, 5 October 2024

Siapa Pawang Ana Dalam Sejarah Perak?

- Advertisement -
- Advertisement -

Sama seperti negeri Melayu lain di Malaysia, negeri Perak juga cukup kaya dengan pelbagai cerita rakyat serta sejarah yang perlu diperturunkan kepada generasi baru untuk dikenang dan dijadikan tauladan.

Individu yang bernama Pawang Ana dalam sejarah Perak cukup terkenal pada satu ketika dahulu dalam penghujung abad ke 19 yang berkait dengan tokoh penceritaan tradisi cerita lipur lara.

Asasnya sudah menjadi kelaziman buat penglipur lara untuk tidak menyatakan nama dan identiti sebenar mereka apabila hendak bercerita. Jadi, identiti Pawang Ana ini masih belum dapat dikesan dengan tepat sehingga ke hari ini.

Inilah yang menyebabkan satu nama yang cukup terkenal pada penghujung abad ke 19 dahulu semakin dilupakan apabila mereka sudah tiada. Apa yang diketahui, Pawang Ana ini adalah berketurunan Rawa dari Sumatera.

Beliau dikatakan tinggal menetap di Kampung Pulai di Gopeng, Perak. Sudah pasti menjadi persoalan, apakah beliau seorang bomoh atau dukun kerana pangkal nama yang diberi ini adalah Pawang atau ia hanya sekadar nama penanya?

Siapa Pawang Ana Dalam Sejarah Perak?

Lakaran Pawang Ana dalam Malayan Memories, 1916

Ada juga yang mendakwa bahawa Pawang Ana mahir dalam ilmu perubatan, bomoh dan dukun. Berkemungkinan rawatan yang diberikan oleh Pawang Ana menggunakan ilmu perubatan tradisional Islam.

Salah satu kisah yang menggambarkan cerita Pawang Ana ini ada dalam catatan R.O. Winstedt yang menyatakan bahawa Pawang Ana telah menggunakan kepakarannya untuk menemukan mayat J.W.W. Birch yang telah hilang dihanyut sungai selepas 3 hari 3 malam.

Siapa Pawang Ana Dalam Sejarah Perak?

Sebagai seorang penglipur lara, Pawang Ana cukup banyak menghafal cerita rakyat yang diwarisi oleh generasi terdahulu. Kerjaya beliau sebagai seorang penglipur lara bukanlah sekadar penghibur jalanan yang biasa, tetapi sehingga dijemput ke istana dan kampung-kampung untuk menghiburkan rakyat sewaktu meraikan satu majlis.

Menghayati sebuah kisah cerita rakyat dari seorang penglipur lara sebenarnya banyak memberi impak positif kepada masyarakat. Hal ini kerana pengisian cerita rakyat dalam alam Melayu ini banyak memberikan pengajaran positif yang perlu diambil dan dipelajari.

Dari pelbagai cerita rakyat yang pernah didendangkan oleh Pawang Ana, didapati bahawa pengisian yang cuba disampaikan oleh beliau sebenarnya cukup bermakna dan mendalam.

Boleh dijangkakan bahawa Pawang Ana adalah seorang yang amat patriotik. Dengan bekalan ilmu serta pengetahuan tentang sejarah bangsanya, beliau seringkali menceritakan tentang perjuangan orang-orang Melayu. Berikut adalah cerita-cerita daripada Pawang Ana.

  • Hikayat Awang Sulong Merah Muda, suntingan A.J. Sturrock, terbitan Singapura (1908) .Versi lain dalam Journal Strait Branch Royal Asiatic Society (JSBRAS), 1909, hlm. 31-95.
  • Hikayat Malim Deman, suntingan A.J. Sturrock, diterbitkan di Singapura (1908). Edisi kedua tahun 1954 dan ketiga tahun 1960.
  • Hikayat Anggun Che Tunggal, diterbitkan di Singapura,(1914) dan edisi kedua tahun 1960.
  • Hikayat Raja Muda, diterbitkan di Singapura, (1914) dan edisi kedua tahun 1960.
  • Hikayat Malim Dewa diterbitkan di Singapura, tahun 1908.

Apa yang diketahui, Pawang Ana mempunyai seorang menantu yang bernama Mir Hassan dari Kampar, Perak. Beliau mempunyai minat dan kemahiran yang sama seperti Pawang Ana sebagai seorang penglipur lara.

Selepas zaman kegemilangan Pawang Ana berakhir, Mir Hassan pula telah menggantikan tempat ayah mertuanya sebagai seorang penglipur lara yang masyur dan disegani di negeri Perak.

Rujukan:

  • Malayan Memories, 1916 R.O. Winstedt
- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here