Sultan Nazrin Shah Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Behrang Stesen

Keakraban antara payung kedaulatan dan rakyat jelata jelas terpancar apabila Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al-Maghfur-Lah, berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Masjid Raja Muda Musa II, hari ini.
Keberangkatan Baginda pada 12 Ramadan 1447 Hijrah ini merupakan detik bersejarah bagi penduduk setempat memandangkan ia merupakan lokasi pertama dalam siri jelajah program berbuka puasa DYMM Sultan Perak bagi tahun ini.
Ketibaan Baginda disambut dengan penuh hormat oleh YDH Toh Paduka Setia Dato’ Dr. Safry Kamal Bin Hj. Ahmad, Orang Besar Jajahan Muallim merangkap Pengerusi Masjid Raja Muda Musa II. Turut menyerikan majlis ialah barisan kepimpinan negeri termasuk YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen (B) Dato’ Seri Diraja Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Bin Hj. Zainudin, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad, Orang Besar Negeri Perak serta barisan pegawai kanan kerajaan.

Majlis yang berlangsung di Masjid Raja Muda Musa II ini bukan sekadar pertemuan biasa, malah ia menghidupkan kembali nostalgia sebuah institusi ibadah yang penuh nilai sejarah. Masjid yang sedia ada ini mempunyai sejarah yang unik, di mana binaan asalnya pada tahun 1930 menggunakan kayu sepenuhnya sebelum Perang Dunia Kedua dan terletak berhampiran Stesen Keretapi Behrang sebelum berpindah ke tapak sekarang pada tahun 1950.
Melalui usaha gigih masyarakat setempat dan bantuan Pejabat Agama Islam Daerah Batang Padang, bangunan baharu telah siap dibina pada tahun 1967 dan dirasmikan oleh YM Raja Muda Musa II Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz. Masjid yang mampu memuatkan 500 jemaah ini tetap gah mempertahankan 25 tiang kayu yang unik serta ciri seni bina tradisional yang menjadi mercu tanda kebanggaan penduduk.

Program “Sinar Ramadan” antara institusi diraja dengan rakyat merupakan agenda yang sentiasa dinantikan bagi menzahirkan keakraban baginda yang sering menziarahi dan menyantuni rakyat di kawasan luar bandar. Dalam erti kata lain, sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, atas nama semangat dan nilai ukhuwah, umat Islam secara langsung bersama-sama menghidupkan syiar Islam dengan menunaikan ibadah berbuka puasa serta mendirikan solat Maghrib, Isyak, dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Keadaan ini sekaligus memperlihatkan pembentukan hubungan harmoni dengan Allah SWT dan sesama manusia, dengan harapan agar Masjid Raja Muda Musa II ini terus berdiri kukuh sebagai pusat pengembangan syiar Islam di Behrang Stesen.

Keberangkatan DYMM Sultan Perak ke majlis ini telah memberi makna yang positif serta mendalam kepada masyarakat setempat menerusi nilai keprihatinan dan kasih sayang Baginda terhadap rakyat. Semoga program seumpama ini dapat dikekalkan dan diteruskan sebagai ruang yang relevan bagi mendekatkan golongan pemerintah dengan rakyat.
Usaha murni ini secara tidak langsung dapat memastikan nilai perpaduan sesama umat Islam terus diperkukuh demi kesejahteraan negeri dan negara secara keseluruhannya.
Laporan Ringkas oleh Saiful Rezal

