32 C
Ipoh
Friday, 13 September 2024

Sejarah Dan Kisah Awal Pembukaan Zoo Taiping

- Advertisement -
- Advertisement -

Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Zoo Taiping adalah antara Zoo yang terawal di negara kita, negara Malaysia dan tidak sah jika anda tidak singgah ke Zoo Taiping jika anda datang berkunjung ke Taiping.

Zoo Taiping adalah salah satu tarikan utama di bandar tua yang merupakan bekas pusat pentadbiran Inggeris pada satu ketika dahulu. Kewujudan Zoo Taiping ini berada sebaris dengan 10 binaan dan kemudahan awam pertama Malaysia yang terdapat di Taiping antaranya landasan kereta api, muzium, hospital, penjara dan bangunan telegraf.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, pada asalnya Zoo Taiping dikenali dengan nama Taman Mergastua Sultan Idris Shah. Taman Mergastua Sultan Idris Shah atau Zoo Taiping ini adalah merupakan satu-satunya zoo yang terletak di sebelah utara Semenanjung Malaysia. Ia dirasmikan pada 7 Mac 1964 dan tujuan pembukaannya adalah untuk dijadikan sebagai pusat pengumpulan spesimen haiwan-haiwan yang terancam.

Antara tujuan lain adalah untuk meningkatkan kesedaran umum tentang ancaman kepupusan haiwan akibat pemburuan haram. Zoo Taiping telah dibangunkan di atas tapak hutan seluas 13.7 hektar dan ia mempunyai populasi kira-kira 1,000 hingga 1,500 ekor haiwan daripada kira-kira 100 hingga 200 spesies yang berbeza. Kehadiran anda di sana akan disajikan dengan pengalaman untuk melihat hidupan liar yang terbaik di negara ini.

Tan Sri Saw Huat Lye

Tan Sri Saw Huat Lye

Taman Mergastua Sultan Idris Shah telah diilhamkan oleh Tan Sri Saw Huat Lye yang pada ketika itu memegang jawatan Pengerusi Majlis Bandaran Taiping.

Pelan jangka masa panjang beliau pada waktu itu adalah untuk menghidupkan sebuah taman haiwan yang mampu menjadi tarikan kepada orang ramai sekali gus menjadi penyumbang pendapatan kepada Lembaga Pengurusan Kerajaan Tempatan dan kini kita dapat lihat hasilnya selepas berpuluh tahun.

Datuk Shaari Shafie

Datuk Shaari Shafie

Berbalik pada kisahnya tadi, selepas cadangan pembinaannya diluluskan oleh bekas Menteri Besar Perak iaitu Datuk Shaari Shafie yang merupakan Menteri Besar Perak ke 2 pada April 1962, projek Taman Mergastua Sultan Idris Shah telah menerima peruntukan pembinaan pertama berjumlah RM70,000.

Untuk menjayakan projek ini, sebuah jawatan kuasa zoo iaitu Jawatankuasa Taman Binatang ditubuhkan bagi melaksanakan tanggungjawab dalam pengurusan dan antara tugas-tugas terawal adalah untuk mengisi taman tersebut dengan haiwan-haiwan liar dan juga domestik.

awang majlis dan zimbo

Awang Majlis dan Zimbo

Antara usaha pertama yang dilakukan adalah permohonan untuk mendapatkan dua ekor gajah dari Gerik kepada kerajaan negeri. Anda boleh baca kisah penuh berkenaan hal ini di artikel yang bertajuk Kisah Penjaga Gajah Sultan Idris II yang mana telah dikongsikan oleh waris kepada pembaca setia orangperak.com untuk pengetahuan bersama.

Selain itu, pihak Majlis Bandaran Taiping juga turut berusaha mendapatkan dua ekor Orang Utan dari Kerajaan Singapura yang dirampas atas kesalahan pemeliharaan secara haram oleh rakyat negara itu.

Pada 31 Mei 1962 pula, Majlis Bandaran Taiping meneruskan usaha menambah koleksi haiwan di taman berkenaan dengan membuat permohonan bagi mendapatkan sepasang rusa dari Penolong Pegawai Jajahan Selama, Perak.

peta zoo taiping

Seterusnya pada Jun 1962, permohonan turut dibuat kepada Raja Muda Perak untuk mendapatkan sepasang angsa hitam dan putih daripada Pesuruhjaya Tinggi Australia.

Pada peringkat awal penubuhannya, taman haiwan tersebut menempatkan kira-kira 20 sangkar yang berukuran 10 meter panjang dan lima meter lebar bagi menempatkan rusa, landak, ikan, ular, burung dan babi hutan. Dua tahun selepas pembinaan, taman haiwan itu dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 7 Mac 1964 dengan nama Taman Mergastua Sultan Idris Shah.

Sultan Idris II

Sultan Idris II

Majlis perasmian disempurnakan oleh Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah Sultan Iskandar Shah Kadasallah dan sejak pembukaan Taman Mergastua Sultan Idris Shah, ia mendapat sambutan yang hangat dan menggalakkan.

Bayaran masuk yang dikenakan pada waktu itu adalah 30 sen untuk dewasa, 20 sen untuk kanak-kanak dan 10 sen untuk pelajar sekolah. Pada 1965, penantian pihak pengurusan zoo untuk mendapatkan dua ekor gajah beserta dua orang penggembala berakhir.

pengembala gajah

Sekali lagi kami ingatkan, anda perlu membaca artikel ini Kisah Penjaga Gajah Sultan Idris II kerana ianya berkaitan sepenuhnya. Dua ekor gajah dari Gerik iaitu Awang Majlis dan Zimbo melangkah masuk sebagai penghuni tetap di Taman Mergastua Sultan Idris Shah sekali gus menjadi tarikan utama kepada pengunjung.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here