Biarlah buta IT (Information Technology) tapi jangan sesekali buta sejarah. Amat kecewa sehingga menitis air mata, inilah perasaan seorang warga tua yang merupakan bekas perajuit tanah air apabila melihat generasi muda hari ini semasa editor orangperak.com bersembang dengan beliau di sebuah gerai cendol di pekan Parit, Perak.
Generasi pada hari ini tidak tahu erti penderitaan hidup pada zaman komunis. Kita semua selaku generasi yang hidup selesa pada hari ini hanya mendengar cerita daripada datuk dan nenek dan tidak pernah membayangkan bagaimana situasinya berada pada zaman tersebut.
Apa yang sedihnya, ada segelintir daripada mereka yang menyatakan hal itu adalah mitos dan cerita yang dibuat-buat untuk mainan politik semata-mata. Hal ini seharusnya dibendung agar sikap patriotisme dalam individu dapat disemat di dalam hati agar negara kita sentiasa aman, makmur dan sentosa.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, sikap pengganas komunis yang terdesak untuk mendapatkan tanah melayu sebagai negara republik dibawah naungan mereka ini terselit dengan kekejaman dan penindasan terhadap orang awam yang tidak bersalah. Antara kekejaman yang pernah berlaku adalah:
Tubuh manusia dihiris sedalam setengah inci dengan menggunakan pisau yang tajam dan kemudian, bahagian hirisan tersebut akan dijirus dengan air garam. Maka tersiksalah mangsa yang dihiris menahan kepedihan yang teramat pada luka yang dalam.
Cukup terkenal dengan sikap yang tidak menghormati ajaran agama orang lain. Inilah faktor utama mengapa pengganas komunis disebut sebagai ateis iaitu orang yang tidak percaya akan tuhan. Habis semua Al-Quran yang ada di sura dan masjid akan dikoyakkan, dipijak-pijak dan dilumur dengan najis kemudian dibakar.
Kerap juga berlaku dengan membakar rumah orang awam dengan penghuninya sekali. Jika penghuni cuba keluar dari rumah yang terbakar itu, mereka akan dibunuh serta merta tidak kira anak kecil ataupun sesiapa sahaja. Inilah antara salah satu sikap pengganas komunis yang tidak berhati perut.
Membakar manusia hidup-hidup adalah siksaan kegemaran pengganas komunis pada orang awam di tanah melayu. Warga emas kebiasaannya akan dimasukkan ke dalam guni sebelum dicampak ke dalam api yang sedang marak manakala kanak-kanak pula dicampak terus ke dalam api dengan begitu sahaja.
Mana-mana wanita yang bertudung akan dirogol dan mereka yang warak dalam agama Islam iaitu ustaz, imam, bilal akan dipaksa makan daging babi yang mana mereka tahu ianya haram buat penganut agama Islam. Setelah dipaksa makan daging babi, mereka ini akan ditembak mati agar dakwah agama Islam dapat dihentikan.
Ada juga yang disuruh minum air sabun sehingga kembung perut dan kemudian dipijak-pijak perutnya sehingga mati. Ianya adalah sejenis siksaan yang dibuat kepada orang awam dan untuk menakut-nakutkan orang awam agar sentiasa mendengar tunjuk arah mereka sahaja.
Ini cuma beberapa contoh dan gambaran tentang kekejaman pengganas komunis dan mengapa orang lama di negara kita sangat bencikan mereka. Warga emas yang pernah merasa hidup di zaman tersebut tidak mungkin akan dapat melupakan keganasan yang dilakukan oleh pengganas komunis.
“Janganlah anak muda lupa pengorbanan kami pertahankan negara. Kami tersiksa dahulu, anak-anak semua senang sekarang”, kata-kata dari bekas perajuit tanah air yang pernah mempertahankan negara dan kini tinggal di pekan Parit, Perak menghabiskan sisa baki hidup.