23.9 C
Ipoh
Tuesday, 18 February 2025

Seni Unik Masjid Ihsaniah Iskandariah di Padang Rengas, Perak

- Advertisement -
- Advertisement -

Apabila anda sedang memandu melalui jalan di Kampung Kuala Dal, pandangan anda mesti teralih disebabkan dengan keunikan seni bila Masjid Ihsaniah Iskandariah yang amat berbeza dan amat menonjol berbanding dengan bangunan atau masjid lain yang pernah anda lihat sebelum ini.

Apa yang paling jelas dan nyata sekali adalah jenis binaan bumbung yang dikenali sebagai bumbung limas yang mana kebiasaannya dibina untuk pembinaan sebuah surau atau madrasah.

Masjid Ihsaniah Iskandariah terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas. Ia mempunyai jarak kira-kira 15km dengan Kuala Kangsar. Menurut sejarah, Masjid Ihsaniah Iskandariah telah dibina setelah Sultan Iskandar Shah yang merupakan Sultan Perak yang ke 30 (1918-1938) bernazar untuk membina sebuah masjid jika anakanda baginda sembuh daripada gering (bahasa istana) ataupun dalam bahasa Malaysianya adalah sakit.

Masjid Ihsaniah Iskandariah

Kampung Kuala Dal telah dipilih selepas baginda Sultan Iskandar Shah terlihat penduduk kampung tersebut bersolat di sebuah madrasah yang usang ketika dalam perjalanan pulang dari berkelah di Lata Bubu yang terletak tidak jauh dari kawasan tersebut.

peta Kampung Kuala Dal

Jadi, Sultan Iskandar Shah telah membayar nazar dengan memberi sumbangan sebanyak 8,000 pound sterling dan masjid itu dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan bernama Jeragan Abdul Shukur Mohammmad Ali.

Jeragan Abdul Shukor Bin Mohamed Ali dilahirkan semasa pemerintahan Sultan Mohamed Ali Al-Mukamal Inayat Shah,Sultan Perak Yang Ke 24 (1865-1871). Nama Bonda beliau ialah Che Teh Miti yang berasal dari Bota Kiri, Parit Perak.

Jeragan Abdul Shukur Mohammmad Ali

Jeragan Abdul Shukur Mohammmad Ali dibesarkan didalam istana dan berdamping rapat dengan kerabat Diraja yang bermula dari Almarhum Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah, Sultan Perak yang ke 27 (1876-1887), yang dikatakan amat menyayangi beliau.

Beliau banyak berkhidmat dibawah Almarhum Sultan Idris Murshidul Azam Shah,Sultan Perak yang ke 28 (1887-1916) dimana beliau dilantik sebagai Setiausaha Baginda.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1924 dan jenazah beliau disemadikan berhampiran makam diRaja Bukit Chandan Kuala Kangsar. Bersebelahan adalah isteri beliau, Che Teh Doyah yang meninggal dunia pada tahun 1928.

Masjid Ihsaniah Iskandariah

Baginda Sultan telah merasmikan masjid ini pertama kali pada hari Jumaat bersamaan dengan 10 Zulhijjah tahun 1356 Hijrah iaitu 11 Februari 1938. Ia digunakan dengan baik dan kemudian ditinggalkan selama lebih tiga dekad kerana masjid ini pernah terjejas apabila sebahagian struktur bangunannya rosak akibat dihempap dahan pokok durian pada tahun 1976.

Kerana itulah masjid baru dibina bersebelahan dengannya. Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja pemuliharaan untuk membaiki semula kerosakan struktur bangunan Masjid Ihsaniah Iskandariah ini.

Profesor Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid

Menurut Profesor Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid iaitu Pesuruhjaya Warisan Negara. Jabatan Warisan Negara telah menjalankan kerja pemuliharaan dengan membabitkan peruntukan hampir RM900,000 daripada gabungan 3 Kementerian iaitu Kementerian Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kebudayaan.

Pihak warisan negara telah mendapatkan bantuan anyaman buluh dari negeri Perlis untuk menggantikan dinding asal masjid yang telah usang dan terbiar melebihi 30 tahun.

Masjid Ihsaniah Iskandariah usang

Kerja pemuliharaan telah disiapkan sepenuhnya pada Julai 2009 dan Masjid Ihsaniah Iskandariah ini secara rasmi telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan. Kini, Masjid yang penuh dengan warisan kenegerian ini diuruskan oleh kariah Masjid Al-Wahidiah.

Masjid Ihsaniah Iskandariah pemulihan

Antara ciri menarik yang tidak lupa untuk dikongsikan disini adalah bentuk bumbung masjid yang beratapkan zink yang agak landai itu sebenarnya diilhamkan daripada reka bentuk Istana Kenangan, walaupun bentuk asalnya agak tinggi dan curam.

Keistimewaan lain masjid dua tingkat ini boleh dilihat daripada reka bentuknya berupa segi empat bujur atau turut dikenali bujur sangkar burung. Kebiasaannya, tanggapan pertama orang pada masjid ini adalah rumah burung!

Masjid Ihsaniah Iskandariah usang

Ia mempunyai 20 buah tingkap dimana tingkap di bawah dibina lebih tinggi. Setiap tingkap dihiasi dengan ukiran motif insang ikan yu dan pucuk kacang. Pada kepala tingkap diserikan dengan ukiran bulan sabit serta bintang pecah lima.

Setiap sendi kayu dinding tepas daripada anyaman buluh dihiasi dengan ukiran sekuntum bunga tikam seladang sebagai daya penyeri pada hiasan dinding.

perasmian semula masjid ihsaniah iskandariah

Keseluruhan dinding Masjid Ihsaniah Iskandariah diperbuat daripada anyaman buluh yang dikenali sebagai Kelarai Bunga Potong Belian. Ia merupakan salah satu seni bina bagi rumah tradisional Melayu Perak.

Buluh jenis buluh minyak merupakan buluh tebal yang boleh dijadikan anyaman untuk membuat dinding. Oleh itu, tidak hairanlah apabila dinding tepas masjid tersebut berada dalam keadaan baik walaupun sudah berusia lebih 70 tahun dan 30 tahun terbiar usang.

perasmian semula masjid ihsaniah iskandariah

Masjid ini dirasmikan buat kali ke dua oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah setelah proses baik pulih siap sepenuhnya. Pembinaan semula masjid lama ini menjadi lambang kepada keunikan sejarah asal masjid tersebut yang pernah menjadi tempat beribadat masyarakat Islam di situ.

Keunikan seni bina Melayu banyak terdapat di masjid itu. Paling nyata adalah dinding dikenali sebagai tepas yang dibuat daripada anyaman buluh. Alhamdulillah, salah satu khazanah Perak telah berjaya diselamatkan untuk tantapan cucu cicit kita nanti.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here