Pada tahun 1948, bermulanya peristiwa hitam di Tanah Melayu apabila darurat diisytiharkan oleh pentadbiran British akibat daripada serangan komunis keatas kepentingan dan aset-aset kerajaan, ladang-ladang serta lombong-lombong diserata Tanah Melayu.
Semuanya bermula pada 16 Jun 1948, apabila komunis menyerang dan membunuh 3 pengurus ladang berbangsa eropah di Sungai Siput. Pengurus Estet Elphil, A.E. Walker telah ditembak di meja pejabatnya sendiri pada jam 8.30 pagi. Tiga puluh minit kemudian, Pengurus Estet Phin Soon iaitu John Allison dan pembantunya Ian Christian telah diikat dan dibunuh oleh pihak komunis. Serangan ini membawa kepada pengisytiharan darurat beberapa minggu kemudiannya.

Pada 13 Julai 1950, Inspektor Ralph Lewis Inder dari pasukan Polis Melayu telah diserang oleh pihak pemberontak dan kemudian mati di Hospital Ipoh. Boris Hembry yang merupakan seorang peladang telah menulis buku bertajuk “Malaysian Spymaster: Memoirs Of A Rubber Planter, Bandit Fighter And Spy”, antara lain beliau menulis, “Mereka muncul pada awal pagi tersebut, pengganas komunis telah menakik (merosakkan) banyak pokok getah muda di Estet Dovenby. Ralph kemudian telah keluar untuk menyiasat dan pengganas tersebut sedang menunggu beliau.
Ralph dan pengiringnya seramai dua orang konstabel terpaksa melawan 6 menentang 1, namun mereka mempertahankan diri mereka dengan cekal. Seorang daripada konstabel tersebut terbunuh manakala seorang lagi cedera parah. Pengganas tersebut kemudiannya berundur dengan membawa senjata mereka”.

Serangan komunis kemudiannya terus memuncak dengan pada 4 Februari 1950 di mana seramai 80 pengganas Komunis telah menyerang dan membakar kampung yang mengakibatkan 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Kemudian pada 21 Febuari 1950, seorang pengganas telah berjaya ditembak oleh anggota Polis di Simpang Tiga, Perak. Pada tarikh 21 Januari 1952, seramai 20 orang pengganas komunis telah memasuki Kampung Behrang Ulu dan merampas 6 laras senjata api.
Tanjung Malim terus menjadi kawasan hitam apabila pada hari yang sama, seramai tiga orang komunis berjaya ditumbangkan oleh pasukan keselamatan di kawasan Estat Leonardo yang terletak sejauh dua batu dari pekan Tanjung Malim. Sehari kemudian, seramai 20 orang pengganas telah menyerang sekumpulan pekerja di Jabatan Kerja Raya dan merampas 7 kad pengenalan mereka.
Pengganas turut membakar lori milik Jabatan Kerja Raya dan telah menyebabkan kerugian bernilai $1,600. Pada tarikh 1 Febuari 1952, seramai 20 orang pengganas komunis telah menyerang dan merosakkan Balai Pengawal Polis di Tanjong Malim. Pelbagai kerosakan, kemusnahan harta benda dan korban jiwa berpunca daripada mereka.

Kemuncak kepada malapetaka ini apabila peristiwa terkorbannya Penolong Pegawai Daerah Tanjong Malim bernama Micheal Codner berserta 11 orang awam dan anggota polis pada tarikh 25 Mac 1952. Dengan terkorbannya Micheal Codner, ia secara tidak langsung telah memberi impak yang besar kepada pembangunan Tanjong Malim serta moral penduduknya.
Dalam 3 bulan pertama tahun 1952 terlalu banyak serangan komunis yang dilancarkan keatas Pekan Tanjung Malim antaranya lima serangan hendap dengan lima lagi serangan hendap yang berjaya digagalkan, 10 serangan keatas rondaan tentera dan polis, 7 tunjuk perasaan akibat tekanan keatas pihak buruh, 6000 pokok getah dirosakkan, serangan berterusan terhadap laluan paip air, 8 bas dan lori dibakar, keretapi digelincirkan, 15 peristiwa pembunuhan, 1 serangan keatas sebuah kampung dan banyak lagi perkara yang berlaku pada pekan kecil ini.
Jeneral Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British Malaya telah mengunjungi pekan ini bagi memantau persiapan pertahanan disitu pada 28 Mac 1952. Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk mengenakan hukuman keatas pekan ini atas alasan gagal untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi mengurangkan serangan komunis. Ia juga bagi menjadi pengajaran buat penduduk disini serta tempat lain juga supaya tidak membantu atau membuatkan komunis mudah melakukan keganasan ditempat mereka. Disebabkan itu, Jeneral Templer sendiri mengarahkan pekan ini dikenakan perintah berkurung selama 22 jam tanpa henti. Baki 2 jam lagi dibenarkan kedai untuk dibuka namun tidak ada seorang pun dibenarkan keluar dari pekan ini.

Semua sekolah ditutup, beras hanya boleh dibeli mengikut kadar ditetapkan dan perkhidmatkan bas digantung. Pentadbiran daerah juga distuktur semula bagi memastikan kawalan ketat dipatuhi. Lebih ramai anggota tentera dan polis dikerah ke kawasan ini.
Jeneral Templer menggelar penduduk Tanjung Malim sebagai pengecut yang senyap dan bertanggungjawab penuh keatas serangan serta lain-lain kegiatan keganasan yang berlaku. Tanjung Malim juga seterusnya menjadi kawasan pertama di Tanah Melayu yang diisytiharkan sebagai Kawasan Hitam. Hukuman kolektif ini bertujuan untuk membuatkan penduduk Tanjung Malim lebih membantu pihak berkuasa melawan pihak komunis.

Namun pada 1958, selepas beberapa tahun digelar Kawasan Hitam, kawasan Tanjung Malim akhirnya digelar sebagai Kawasan Putih. Pengisytiharan ini dilakukan oleh Dato Abdullah Bin Noordin selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Ini selepas tiada lagi pergerakan dan aktiviti komunis dikesan disitu.
Pembebasan ini bermakna tiada lagi kawalan yang terlalu ketat dilakukan keatas kawasan Tanjung Malim. Namun Darurat keatas Persekutuan Tanah Melayu hanya benar-benar tamat pada tahun 1960.
Rujukan :
- Tanjong Malim, The Sunday Times Singapore, 30 March 1952
- ‘Silent cowards’ find their hearts at last, The Straits Times 23 November 1958
- Darurat di Tanah Melayu: Peristiwa dan Pengajaran Untuk Generasi Masakini Dalam Konteks Ketahanan Nasional, Zulhilmi bin Paidi & Rohani Hj Ab Ghani.
- Aksi dan Reaksi: Kekejaman Komunis di Tanjung Malim dan tindak balas British, Mac – April 1952 Noor Ain binti Mat Noor dan Azharudin Mohamed Dali.