Kilang Kicap Hup Teck yang merupakan jenama yang sekian lama menjadi buruan peminatnya terutama daripada keturunan Cina, akhirnya telah mengumumkan akan menutup operasinya pada 28 Januari 2025 nanti.

Pengumuman tersebut disampaikan melalui akaun media sosial Facebook rasmi Hup Teck. Hup Teck mengakui bahawa keputusan ini diambil dengan rasa berat hati. “Ini merupakan keputusan yang sukar dan kami merasa sungguh sedih untuk mengucapkan selamat tinggal setelah 111 tahun. Kami akan menutup pintu pada Selasa, 28 Januari 2025,” tulis Hup Teck.
Hup Teck mula beroperasi pada tahun 1914 di Gopeng, Perak dan telah menjadi sebahagian daripada warisan makanan bagi sebahagian penduduk di Malaysia.

Lebih dari satu abad beroperasi, perusahaan ini terkenal dengan teknik pembuatan kicap secara tradisional yang diwariskan daripada satu generasi ke generasi yang lain.
Disekitar kawasan kilang ini terdapat banyak pasu-pasu tanah liat yang diletakkan di halaman kilang. Ini menunjukkan keaslian dan tradisi dalam pemprosesan kicap jenama Hup Teck.

Walaupun sudah lama beroperasi dan mempunyai pelanggan tetap yang ramai, Hup Teck mengalami cabaran untuk meneruskan perusahaan kicap tradisional ini disebabkan masalah kesihatan pengurusnya yang semakin berusia.
Selain itu, ketiadaan pengganti yang bersedia untuk meneruskan perusahaan keluarga ini juga menjadi alasan utama di sebalik penutupan kilang kicap Hup Teck ini.

Berita tentang penutupan kilang Hup Teck ini mengejutkan dan menyedihkan ramai pelanggan setia kicap ini. Mereka kebanyakkan menceritakan nostalgia berkenaan rasa kicap yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka sejak kecil.
Penutupan kilang kicap Hup Teck ini juga menandakan berakhirnya sebuah ini yang tidak hanya sebuah perniagaan, bahkan identiti budaya terutama buat kaum Cina di Gopeng, Perak.

Perusahaan Hup Teck telah berperanan dalam menjaga tradisi dan seni pembuatan kicap yang asli sejak dari turun temurun. Namun dengan tamatnya perusahaan ini, dibimbangi warisan ini akan hilang akhirnya dilapuk zaman.