Pernahkah anda dengar tentang Senoi Praaq? Sebenarnya Senoi Praaq adalah unit yang unik dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM). Senoi membawa makna orang manakala Praaq pula bermaksud perang dalam bahasa Semai.
Sejak awal penubuhan unit ini ditubuhkan, ianya diletakan dibawah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan pemilihan anggota diambil 100% daripada suku kaum orang asli yang terdiri dari suku Temiar, Semelai, Temuan dan Semai.
Sebagai permulaan unit ini ditubuhkan, ia beroperasi Platun Komander dan juru semboyan yang terdiri daripada Pegawai dan anggota SAS British. Kemudiannya kakitangan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang terdiri daripada orang melayu dan pelbagai suku orang asli ditawarkan jawatan dalam pasukan Senoi Praaq. Oleh kerana kejayaaan yang dicapai bergitu baik dan memberangsangkan sebelum SAS meninggalkan Tanah Melayu, SAS telah menganugerahkan bere merun mereka kepada unit ini.
Pasukan Senoi Praaq kemudian diserapkan kedalam Jabatan KDN/KA Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dikenali sebagai Batalion ke 19 PPH Senoi Praaq. Batalion ke 19 PPH ini berpengkalan di Pengkalan Hulu yang mana dahulu dikenali dengan nama Keroh di Perak.
Oleh kerana unit ini berjaya dalam menjalankan tugas dan perang saraf yang baik dan berkesan dalam memenangi hati dan pemikiran orang asli dikawasan pendalaman maka Batalion kedua ditubuhkan. Batalion ini dikenali sebagai Batalion ke 20 PPH dan berpengkalan di Bidor Perak.
Lambang pasukan elit ini adalah senjata yang biasa digunakan oleh orang asli dikawasan pendalaman. Bagi Batalion ke 19 PPH, buluh sumpit digunakan sebagai lambangan batalion manakala Batalion ke 20 PPH menggunakan beliung sebagai lambang Batalion. Kedua-dua batalion Senoi Praaq ini telah diberikan kawasan operasi yang khas yang dikenali sebagai kawasan OPS BAMBOO yang merangkumi pendalaman Perak dan Kelantan.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, anggota Senoi Praaq ini adalah anggota dari skim tertutup. Ini bermakna mereka hanya boleh bertugas samada di Batalion ke 19, Batalion ke 20 atau menyertai Komando 69 PPH. Mereka tidak dibenarkan bertugas sebagai Anggota Tugas Am di Balai Polis.
Unit ini amat mahir dan berpengalaman dalam selok-belok perperangan di dalam hutan yang mana memang kemahiran mereka orang asli amat pakar kerana dilatih sejak kecil. Keupayaan mereka dalam mengesan dan menjejak Parti Komunis Malaya (PKM) yang bergiat dihutan amat digeruni oleh musuh. Banyak Treker di 69 PPH berasal daripada Batalion Senoi Praaq dan antara yang paling kerap disebut adalah SM Apot.
Oleh kerana kebolehan mereka ini digeruni, pernah satu ketika yang mana sekumpulan anggota Senoi Praaq yang sedang bercuti di kampung mereka dikawasan pendalaman telah diculik oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Ada juga yang berjaya melarikan diri dan kemudiannya meneruskan khidmat dengan unit ini. Namun selebihnya yang tidak berjaya melarikan diri tinggal disana sehinggalah berlakunya peristiwa perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya (PKM) sebelum dibenarkan kembali ke kampung halaman mereka.
Banyak pengalaman dan pahit manis unit ini yang tidak diketahui umum. Kejayaan mereka seolah-olah dilupakan sebaik sahaja Parti Komunis Malaya (PKM) menamatkan perjuangan bersenjata mereka untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara komunis. Malahan bere merun kebangaan mereka pernah juga ditarik balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ini sedikit sebanyak menyebabkan mereka merasa terpinggir dan menyedihkan kepada mereka yang pernah berkhidmat dengan batalion ini. Atas keprihatinan pemimpin negara, bere ini kemudiannya diserahkan kembali kepada kedua-dua batalion Senoi Praaq. Batalion ke 19 PPH kini dikenali sebagai batalion 3 PGA dan batalion 20 PPH dikenali sebagai batalion 18 PGA.
Apa yang membanggakan, Senoi Praaq juga digelar sebagai The Silent Killer oleh pihak CIA dan mereka pernah digunakan secara rahsia di Laos. Apabila Amerika Syarikat keluar dari Laos, mereka ini ditinggalkan begitu sahaja (mungkin dengan harapan bahawa rahsia ini akan terkubur di Laos) namun siapa sangka, unit Senoi Praaq berjaya kembali ke Malaysia sambil bertempur dengan elemen-elemen musuh di sepanjang jalan sewaktu pulang. Ramai juga yang kecundang dalam perjalanan balik. Peristiwa ini telah dibukukan dan bertajuk “Death Waits in the Dark: the Senoi Praaq, Malaysia’s Killer Elite”.
Taraf elite dan kehebatan kaum asli sebagai Silent Killer ini berjaya mendapat perhatian istimewa dari kerajaan khususnya pihak polis yang mana penyertaan dari kaum Senoi yang memohon masuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak perlu menjalani latihan asas 9 bulan di PULAPOL. Mereka dibenarkan terus diserap ke unit Senoi Praaq. Proses pengambilan yang unik berbanding pengambilan unit lain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Unit elite Senoi Praq seringkali digerakkan dalam sesuatu kawasan yang memerlukan kepakaran bagi mengesan jejak selain berbagai operasi lain. Dikatakan juga Senoi Praq lebih suka bergerak dengan berkaki ayam untuk memudahkan pergerakan mereka selain mengelakkan dari dikesan musuh namun tidak diketahui kesahihannya.
Selain kepakaran dihutan Senoi Praq juga diberi latihan Public Order Reserve Unit (PORU). Public Order Reserve Unit (PORU) mempunyai arahan yang lebih khusus dan terperinci dimana mereka dibenarkan menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan ancaman yang bersifat lebih kritikal.
Sumber dan Rujukan Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA)