Perkembangan Perlombongan Bijih Timah Di Klian Intan

Klian Intan merupakan salah sebuah kawasan yang dikenali sebagai kawasan perlombongan bijih timah yang terletak di negeri Perak dan boleh dikatakan sebagai tapak perlombongan yang tertua di Perak. Klian Intan pada abad ke-17 masihi sangat dikenali ramai termasulah dalam kalangan para pedagang Portugis yang memiliki penempatan di Melaka.

Kawasan perlombongan tertua ini bergitu kaya dengan hasil bijih timah telah menyebabkan ramai dalam kalangan para pedagang Portugis telah membuat catatan awal bagi mengambarkan mengenai kawasan tersebut sebagai sebuah kawasan yang sangat berkembang pesat melalui aktiviti perdagangan biji timah [1].

Perak semakin terkenal dengan dunia luar sebagai pengeluar bijih timah. Ini terbukti pada era portugis memerintah Melaka [2]. Negeri Perak dibuka sekitar abad ke-16 Masihi dan memiliki peranannya yang tersendiri iaitu sebagai negeri utama yang membekalkan bijih timah kepada pedagang Barat terutamanya para pedagang Portugis yang singgah di pelabuhan Melaka [3].

Perak pada awalnya merupakan sebuah penempatan yang kecil di sepanjang Hulu dan juga Hilir Perak kemudiannya semakin bertambah jumlah penduduknya. Menurut catatan Tome Pires pada tahun 1515 penduduk negeri Perak dianggarkan berjumlah sekitar 200 orang sahaja.

Namun bergitu setelah dibuka sebagai sebuah negeri, laporan Belanda telah menjelaskan bahawa penduduknya semakin meningkat kepada 5000 orang pada tahun 1621.

Perak sering kali dilawati dan merupakan pelabuhan utama untuk perdagangan bijih timah. Disini dijumpai sekitar banjaran gunung yang terdapat lombong-lombong bijih timah yang besar sehingga tiap-tiap tahun lebih daripada 300 bahara* [4] bijih timah dibekalkan pada kapten Melaka dan para saudagar dari negara India [5].

Perkembangan Perlombongan Bijih Timah Di Klian Intan

Pekan Klian Intan juga sememangnya pernah mencuri perhatian akhbar yang telah melaporkan mengenai pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu Chin Peng yang pernah berada di Klian Intan sebelum dibawa ke Baling bagi menghadiri sebuah event yang bersejarah iaitu Peristiwa Baling 1955. Penulis ingin memetik kata-kata Chin Peng sendiri berhubung dengan kenyataan tersebut melalui karya Chin Peng: My Side of History.

Close to the Malayan Frontier, was no more than a two –hour trek from the agreed rendezvous point with the British officer who would escort me to Baling. If we were to reach the outskirts of the disused Gunong Paku tin mine bye the appointed time-10 00 o’clock the following morning – we would have to de-camp and be moving by 8.00 0’clock at the latest [6].

Pada peringkat awal aktiviti melombong bijih timah di Klian Intan hanya dijalankan di lembah-lembah Gunung Paku. Namun bergitu, bahagian atas gunung tersebut boleh dikatakan bahawa tidak pernah diusik walaupun diketahui memiliki banyak biji timah yang belum diterokai [7].

Hal ini berlaku demikian kerana para pekerja lombong bimbang sekiranya mereka menerokai bahagian atas gunung akan menganggu ketenteraman Jin-Jin penunggu gunung (mengikut kepercayaan mereka).

Pada waktu itu kefahaman masyarakat yang beragama Islam secara umum adalah hanya sekadar berkaitan dengan soal ibadah sahaja. Hal ini tidak hairan apabila wujud kepercayaan tersebut [8].

The local hereditary “Pawang” climbed to the top of the hill periodically sacrifice a buffalo to the Jin [9].

Klian Intan memainkan perananya yang tersendiri pada satu masa dahulu yang juga mewujudkan pertikaian isu sempadan terutamanya antara penduduk Perak dengan Reman yang bakal dibincangkan pada huraian seterusnya. Sehingga tahun 1963, aktiviti perlombngan biji timah di Klian Intan dipercayai telah berlangsung lebih daripada 100 tahun.

Perkembangan Perlombongan Bijih Timah Di Klian Intan

Menariknya, kewujudan hasil bijih timah ini telah memberikan manfaat kepada penduduk Klian Intan terutamanya melalui Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd yang kekal beroperasi sehingga hari ini.

Antony Werndly pada tanggal 10 September 1770 telah mengemukakan cadangan kepada pihak berkuasa negeri Perak agar mereka mengambil tindakan yang lebih berkesan terhadap kawasan perlombongan yang berperanan untuk membekalkan bijih timah kepada para pedagang.

Antony Werndly merupakan salah seorang wakil Belanda yang sangat memerlukan bahan galian tersebut. Hal ini menyebabkan beliau telah mendesak Paduka Seri Sultan Mahmud supaya bertindak agresif dalam usaha menuntut pertuanan Perak.

Beliau berpendapat bahawa keupayaan pasukan tentera bersenjata perlu dihantar secepat mungkin ke kawasan yang dituntut agar beliau dapat membuktikan hak kedaulatan Perak terhadap kawasan perlombongan berkenaan.

He argued forcibly for stronger action to enforce Perak right’s over the rich tin areas in Kerian and Ulu Perak, pointing out that it was not only the Company which suffered. Sultan Mahmud himself had told Werndly that he had received nether tolls nor taxes from Penghulu Boton. The Ducth envoy found a ready supporter in the Raja Muda, whose opinion of the VOC contract had clearly altered since he had voiced his opposition in the previous reign [10].

Pada bulan November 1768, Seri Bija Diraja telah dihantar ke Patani bagi menyelesaikan masalah pertikaian terhadap kawasan perlombongan Klian Intan bersamanya ialah sepucuk surat yang dialamatkan kepada pembesar Patani.

Surat tersebut juga telah dikirimkan kepada Sultan Mohammad Jiwa (Kedah) berhubung dengan penglibatan rakyatnya dan juga kedudukan Klian Intan, Klian Indah serta Rui (berhampiran negeri Kedah).

Sungguh pun bergitu, sehingga bulan Februari tahun 1769 Perak masih belum menerima sebarang jawapan. Pada bulan oktober 1769 surat jawapan daripada Sultan Mohammad Jiwa telah diterima yang menjelaskan bahawa baginda enggan campur tangan dalam krisis tersebut.

Baginda juga tidak membuat sebarang tuntutan terhadap kawasan perlombongan Klian Intan, Klian Indah dan juga Rui. Persoalannya, bagaimana pula jawapan daripada pemerintah Patani berhubung masalah tersebut?

Pihak Patani terus mengingatkan serta mengulangi pengkriktirafan Paduka Seri Sultan Mahmud Syah sendiri mengenai hak-hak Penghulu Unun yang memiliki kekuasaan di Rui dan juga Klian Indah.

Hal ini sememangnya menimbulkan kemarahan Perak kerana nilai bijih timah semakin meningkat dan menjadi persaingan dalam kalangan para pedagang asing terutamanya Belanda. Situasi ini menyebabkan berlakunya perang antara Perak dan Reman (Sebahagian Patani, kini dalam Thailand).

Peperangan antara kedua-dua pihak ini sangat menarik pada pandangan penulis untuk dibincangkan kerana ia melibatkan sebanyak 3 siri peperangan.

Perang Perak-Reman buat pertama kalinya tercetus pada tahun 1826 yang menyaksikan tentera Perak dibawah pimpinan Dato Seri Maharaja Lela (bukan individu yang terlibat dalam pembunuhan J.W.W Birch).

Tentera Perak yang terdiri daripada penduduk Hilir dan juga Rantau Ulu Perak telah menyerbu dan merampas kawasan perlombongan yang terletak di Selatan Reman. Mereka juga telah berjaya untuk menduduki kawasan-kawasan tertentu seperti Klian Intan, Keroh, Kuala Kepayang hingga Kapeh (Kini Betong, Thailand).

Arahan dikeluarkan oleh pemerintah Reman agar para tentera mereka menduduki Selatan Reman dan menguasai semula kawasan-kawasan seperti Klian Intan, Kapeh dan juga Keroh.

Namun bergitu, mereka gagal menguasai kubu Kuala Kepayang. Hal ini menyebabkan Raja Shahid masih bertahan di Kuala Kepayang dan beliau ditugaskan untuk mengutip cukai bijih timah dan juga beras yang dibawa mudik melewati Kuala Kepayang dan juga Sungai Rui sebagai sumber pendapatan Perak. Kawasan perlombongan Klian Intan, Keroh, dan juga Kapeh jatuh ke tangan pihak lawan dikuasai oleh Tok Nang Sikuat (Anak perempuan Raja Reman).

Tentera Perak buat kali kedua menyerang pihak musuh telah memaksa Tok Nang Sikuat mengumpul kekuatan ketenteraan dalam kalangan penduduk Reman yang dipimpin oleh Menkong* Deleha [11].

Namun bergitu, tentera Perak terperangkap dalam sebuah serangan hendap yang berlaku di Lepang (berhampiran sempadan Perak- Selatan Thailand). Situasi tersebut telah menyebabkan ramai tentera Perak bawah pimpinan Andika Raja Meor Abdullah terkorban dan menyebabkan Perak sekali lagi tewas dalam pertempuran.

Perak bagi menghadapi siri peperangan ketiga bawah pimpinan Sultan Abdullah Muhammad Syah telah bertindak lebih bersedia dengan membina kubu-kubu perlindungan di Sepanjang lembah sempit di sekitar kawasan Kuala Kua.

Sungguh pun bergitu, strategi daripada pihak Patani lebih licik iaitu mereka menyerang daripada arah lereng bukit dan melemahkan angkatan tentera Perak.

Perak melakukan serangan balas dengan menyerang tentera Reman ketika mereka sedang tidur di Jambai. Ramai dalam kalangan tentera musuh terbunuh dan terdapat dalam kalangan mereka yang menyorok dalam hutan serta mengambil keputusan menyerah diri akibat dikepung oleh tentera Perak.

Mengkong Deleha mengalami kecederaan yang parah dan akhirnya meninggal dunia [12] (dikebumikan di Betong) . Justeru, berakhirnya siri peperangan antara Perak dan Reman yang bermula pada tahun 1826 hingga tahun 1856.

Namun, Reman masih menguasai kawasan-kawasan penting yang pernah direbuti melalui perang Perak-Reman. Perjanjian bersejarah yang dikenali sebagai perjanjian Bangkok telah ditandatangani pada 10 Mac 1909 antara Menteri Laur Siam, Putera Devawongse Varoprkar dan juga Jens I. Westengrad (Pihak Siam) bersama Ralph Paget (Pihak British).

Salah satu syarat perjanjian ini ialah negeri-negeri Melayu Utara, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pulau Langkawi, Selatan Lengeh dan juga Selatan Reman akan diserahkan kepada pentadbiran Britsih di Tanah Melayu.

Campur tangan Inggeris secara rasmi di Negeri-negeri Melayu Tidak bersekutu bermula dengan negeri Kelantan setelah berlakunya Perjanjian Inggeris–Siam. Ia kemudiannya diikuti oleh negeri-negeri lain [13].

Berlaku perubahan sempadan pada tahun 1884 hingga ke kawasan Gerik telah menyebabkan daerah Hulu Perak menjadi lebih luas dengan memasukkan lembah Lenggong yang meliputi Kota Tampan dan juga Temelong.

Ferdinando Carlo Bozzolo merupakan salah seorang individu yang dilantik menjadi pemungut Cukai dan juga Hakim bagi mentadbir daerah Hulu Perak yang baharu pada 1 Januari tahun 1885.

Sehubungan dengan itu, beliau merupakan bangsa Eropah pertama yang menjawat jawatan pegawai tinggi British yang berkuasa di kawasan Hulu Perak.

Hal ini menyebabkan fungsi pentadbiran awal kolonial British di Perak dapat dipenuhi dengan baik. Persoalannya adakah setelah berlakunya peluasan kawasan ni memberikan keuntungan kepada pihak Kolonial British? Hakikatnya kawasan ini tidak memberikan sebarang keuntungan pada peringkat awal kerana kawasan tersebut dipenuhi oleh hutan rimba.

Terdapat sebuah syarikat perlombongan milik Helms (bangsa Denmark) iaitu The Ulu Temelong Hydraulic Tin yang diuruskan oleh Mackie namun tidak lama beroperasi syarikat tersebut terpaksa ditutup.

Hulu Perak telah mengalami peluasan kawasan buat kali kedua yang dikenali juga sebagai perubahan batu perenggannya sehingga ke kampung Gerik kecuali kawasan Kerunai.

Pada ketika ini aktiviti perlombongan bijih timah di Klian Intan diusahakan oleh dua buah syarikat yang memajak kawasan Gunung Paku sejak tahun 1903 iaitu syarikat Rahman Tin (pengurusnya Cecil Pearse) dan juga syarikat Rahman Hydraulic Tin (pengurusnya J.D. Kemp).

Menariknya, kedua-dua syarikat ini telah bergabung menjadi Rahman Hydraulic Tin Limited bebekalkan modal permulaan sebanyak $2 juta yang memiliki kawasan seluas 1.327 ekar [14].

“The Rahman Hydraulic Mine, Mr. Pearce, Manager has about 600 acres of land all around Mr. Kemp’s hill top. There is a considerable area of land to be worked, and the output for the next twelve months is estimated at 4.000 pikuls. Tin and tin ore is exported via Becha Deradap to Baling in Kedah, where its is taken in boats down the Kuala Ketil and Muda rivers to Kuala Muda, and thence to Peneng” [15].

Justeru kemasukan Selatan Reman yang sememangnya kaya dengan hasil galian dan juga sumber perhutanan telah menambahkan satu pertiga keluasan jajahan takluk negeri Perak.

Kewujudan sempadan antarabangsa Tanah Melayu-Siam (Malaysia-Thailand) telah menyebabkan masalah-masalah seperti hak pertuanan dan juga perebutan kuasa berjaya diselesaikan [16].

Kehadiran British ke Klian Intan sememangnya telah mengubah kaedah perlombongan bijih timah dengan menggunakan jentera berbeza dengan kaedah lama yang menggunakan Pawang bagi mengetahui lokasi keberadaan bijih timah.

Kaedah yang digunakan British menurut Frank Swettenham melalui karyanya iaitu British Malaya (Terjemahan Khairul Asraf Shah) menjelaskan bahawa British mengetahui kehadiran keberadaan bijih timah melalui aktiviti mengorek, melalui rupa permukaan yang berdekatan dengan lombong yang telah wujud [17].

Pada tahun 1930-an, kawasan perlombongan Klian Intan ini merupakan salah sebuah kawasan perlombongan yang paling lengkap di Tanah Melayu. Memiliki kemudahan yang cukup sebagai pusat pengeluaran tenaga elektrik sendiri bagi menjalankan jentera-jentera pengangkut bijih timah tergantung dengan menggunakan aerial ropeways.

Semasa Jepun menyerang Malaya, RHTL tidak beroperasi dan hal ini telah menyebabkan para pekerja syarikat tersebut telah kehilangan kerja. Namun bergitu, tidak lama kemudian Jepun telah bertindak mengumpulkan semua pekerja lombong di bangunan pentadbiran RHTL. Mereka diarahkan berhimpun dan mendengar ucapan yang disampaikan oleh pihak Jepun.

“British telah pergi dari sini. Sekarang Jepun akan ambil alih. Jepun mahu kawasan lombong ini berjalan seperti biasa. Awak semua tidak perlu takut kerana kami adalah syarikat yang diarahkan oleh Jepun untuk datang ke Klian Intan dan jalankan semula operasi lombong. Pekerja semua boleh bekerja seperti biasa kerana kalau awak tidak bekerja hidup awak akan menjadi susah” [18].

Disebalik frasa “berjalan seperti biasa” sebenarnya terdapat lombong- lombong Cina yang pernah memihak kepada kerajaan China telah dirampas oleh Jepun.

Hal ini berlaku demikian kerana perasaan tidak senang Jepun terhadap orang-orang Cina apabila mereka pernah berperang dengan China. Jepun juga melakukan kezaliman terhadap penduduk China sehingga menyebabkan wujudnya perasaan dendam dalam hati mereka (Anti-Jepun) dalam kalangan orang-orang Cina.

Salah satu peristiwa yang mengambarkan kekejaman tersebut ialah Rape of Nanking

“When the city fell on December 13th 1937, Japanese soldiers began an orgy of cruelty seldom if ever matched in world history. Tens of thousands of young men were rounded up and herded to the outer areas of the city, where they were mowed down by machine guns, used for bayonet practice, or soaked with gasoline and burned alive” [19].

Walaupun pada peringkat awal pemerintahan Jepun mereka telah berjaya meningkatkan hasil pengeluaran bijih timah. Namun bergitu, menjelang tahun 1944, jumlah pengeluaran bijih timah hanya sebanyak 2,373 pikul.

“Masa pemerintahan Jepun semua orang hidup susah. Mau makan pun susah. Orang Cina masuk hutan pergi tanam beras. Orang lelaki, perempuan semua pergi tanam. Tak tanam susah mau hidup. Sayur pun tanam sendiri juga. Masa tu semua orang pun susah nak dapat makan” [20].

Akibat daripada berkembangnya aktiviti penanaman pada maka sekali gus menyebabkan meningkatnya penggunaan tanah daripada 113 530 ekar pada tahun 1941 kepada 143 498 ekar pada tahun 1942 [21].

Jepun menyerah kalah pada tanggal 15 Ogos 1945. Hal ini menyebabkan syarikat–syarikat perlombongan British bertindak menempatkan semula kedudukan masing-masing di Tanah Melayu untuk kembali beroperasi.

Mereka bertindak untuk memulihkan industri tersebut agar dapat memastikan faedah kewangan syarikat-syarikat tersebut diperoleh kembali. Hal ini secara tak langsung mampu memulihkan semula ekonomi di Klian Intan. Terdapat beberapa pembaharuan yang dilakukan oleh British antaranya ialah

  1. Jawatankuasa Pemeriksaan Timah telah mengkelaskan kapal korek milik eropah kepada empat kategori yang berbeza bergantung kepada masa yang diperlukan untuk pemulihan semula.
  2. British mengadakan kerjasama dengan Jabatan Tanah dan Galian pada tahun 1950. Hasil kerjasama tersebut telah menyebabkan mereka yang layak mendapat lessen untuk membeli bijih timah [22].

Klian Intan pada hari ini masih bertahan sebagai salah satu kawasan perlombongan di Perak. Sejarah telah mencatatkan kehadiran beramai-ramai para pelombong daripada pelbagai tempat terutamanya orang-orang Melayu dari Patani, Perak, dan Kedah.

Situasi ini juga berlaku dalam kalangan orang-orang Cina mereka juga berusaha gigih tanpa mengira penat lelah dalam mencari rezeki melalui aktiviti perlombongan bijih timah di Klian Intan.

Terutamanya orang-orang British sanggup datang bagi merealisasikan hasrat mereka iaitu menguasai sumber terpenting tersebut. Portugis pula lebih awal sampai di Klian Intan bagi menjalankan aktiviti perdagangan bijih timah. Tidak ketinggalan juga VOC bertindak menggantikan Portugis bagi memonopoli perdagangan bijih timah di bumi Klian Intan.

Penulis sangat kagum dengan keupayaan RHTL memiliki stesen hidroelektriknya sendiri. Adalah sangat unik apabila sesebuah kawasan perlombongan di negara kita sekiranya memiiki keupayaan tersebut pada ketika itu (Pertenggahan abad ke-20).

Stesen hidroelektrik ini juga tidak hanya berfungsi dalam aktiviti perlombongan malah ia juga turut mendatangkan faedah kepada penduduk sekitarnya.

Pada tahun 1954 kerajaan mula mengambil alih peranan yang dimainkan oleh RHTL iaitu membekalkan tenaga elektrik terhadap penduduk secara terus di mukim Kroh.

Nota Kaki :

  1. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2017, hlm.24.
  2. Adnan Hj Nawang, Perak: dahulu dan sekarang, Persatuan Muzium Malaysia,Kuala Lumpur,1988,hlm.36.
  3. Talib Samat, Tengku Menteri: Kisah Tokoh Korporat Bijih Timah Melayu Terulung Long Jaafar dan Ngah Ibrahim Pengasas Taiping Bandar Warisan 1790 hingga 1895, PTS AKADEMIA, Selangor, 2014, hlm.32.
  4. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2017, hlm.25.
  5. Chin Peng,My Side of History, Media Masters Publishing Sdn Bhd, Ipoh, 2003,hlm.368.
  6. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2017, hlm.83.
  7. Ishak Saat, Radikalisme Melayu Perak 1945-1970, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2014, hlm. 72.
  8. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2017, hlm.101.
  9. Ibid,hlm 36.
  10. Mengkong (Setaraf dengan jawatan penghulu)
  11. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2017, hlm.50.
  12. Zaini Nasohah, Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia: Sebelum dan Menjelang Merdeka, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Selangor, 2004, hlm.29.
  13. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, 2017, hlm.65-70.
  14. Ibid hlm.70.
  15. Ibid,hlm.72.
  16. Khairul Asraf Shah, Terjemahan British Malaya karya Frank Swettenham, Geroda Merah Press, Kuantan,2018,hlm. 287.
  17. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2017, hlm.89.
  18. Iris Chang, The Rape of Nanking: The Forgotten Holocaust of World War
  19. II, Basic Book, New York, 1991, hlm.2.
  20. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, 2017, Pulau Pinang hlm.90-91.
  21. Ibid, hlm.91.
  22. Ibid,hlm.94.

Rujukan:

  • Adnan Hj Nawang.1988. Perak : Dahulu dan Sekarang. Kuala Kumpur: Persatuan Muzium Malaysia
  • Chin Peng. 2003. My Side of History. Ipoh: Media Masters Publishing Sdn Bhd
  • Ishak Saat. 2014. Redikalisme Melayu Perak 1945-1970. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia
  • Iris Chang.1991. The Rape of Nanking: The Forgotten Holocaust of World War II. New York: Basic Book
  • Khairul Asraf Syah.2018. Tejemahan British Malaya karya Frank Swettenham. Kuantan: Geroda Press
  • Mohamad Rasidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain.2017. Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
  • Talib Samat.2014. Tengku Menteri: Kisah Tokoh Koporat Bijih Timah Melayu Terulung Long Jaafar. Selangor: PTS Akademia
  • Zaini Nasolah.2004. Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia: Sebelum dan Menjelang Merdeka. Selangor: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here