Istana Singgah adalah istana milik keturunan Raja Reman yang dibina daripada kayu lebih 100 tahun lalu. Istana ini juga pernah dijadikan sebagai tempat persinggahan keturunan Raja Reman untuk melawat ke kawasan jajahan takluknya yang ada di kawasan utara.
Tidak menduga, istana yang berusia lebih 100 tahun itu masih lagi kukuh sehingga ke hari ini. Hari ini terdapat beberapa keluarga yang tinggal di dalam Istana Singgah. Cicit kepada Raja Reman dari keturunan Tuan Lebeh Tuan Jagong bernama Tengku Razman Tuan Syed Ngalam Alwi kini menghuni istana tersebut bersama-sama dengan ahli keluarganya yang lain.
Istana Singgah yang berusia lebih 100 tahun ini terletak di Kampung Selarong, Pengkalan Hulu. Ia adalah aset yang paling berharga buat keturunan Raja Reman dan berkemungkinan, inilah satu-satunya khazanah daripada Raja Reman yang ditinggalkan untuk keturunannya.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, senibina Istana Singgah ini masih seperti yang asal cuma pada bahagian dapur sahaja yang telah diubah suai oleh cucu cicit Raja Reman. Dalam istana ini juga dahulu tersimpannya pelbagai alat kebesaran diraja termasuk cop mohor kebesaran dan tembikar tembaga berharga.
Semua barangan berharga yang menjadi khazanah keluarga keturunan Raja Reman ini sudah banyak diambil saudara-mara dan keturunan mereka yang tinggal di seluruh tanah air Malaysia dan ada juga di Thailand untuk disimpan sebagai kenang-kenangan.
Banyak gambar-gambar lama, selain dokumen perusahaan bijih timah dan pelbagai khazanah berkaitan termasuk surat perjanjian Raja Reman dengan pihak Inggeris. Semuanya dikatakan masih tersimpan baik di dalam sebuah peti besi di rumah ini.
Pada 16 Julai 1909, berlakunya penyerahan Daerah Reman kepada negeri Perak yang diadakan di Kroh (kini dikenali sebagai Pengkalan Hulu) hasil campur tangan Kerajaan Siam dan Inggeris. Kalau tidak, Hulu Perak mungkin sehingga ke hari ini punyai rajanya yang tersendiri dan dibawah pemerintahan kerajaan Reman.
Lebih lanjut berkenaan dengan negeri Reman, baca artikel Pengkalan Hulu Dahulunya Ada Negeri Reman Yang Berdaulat, Bukti Negeri Reman Pernah Menapak Di Gerik, Perak dan Cerita Disebalik Perang Saudara Di Hulu Perak.