Anda pernah dengar atau pernah bermain dengan permainan yang bernama Sahibba dan Saidina yang amat popular di negara kita? Sudah pasti ramai masyarakat kita pada hari ini mengenali permainan ini yang mana ia seolah-olah sudah sinonim dengan permainan pendidikan sejak di zaman persekolahan lagi.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, syarikat yang mengeluarkan produk permainan Sahibba dan Saidina yang popular itu adalah Syarikat Permainan Malaysia Sdn. Bhd. (SPM). Syarikat ini yang dikenali dengan nama singkatan SPM adalah merupakan syarikat permainan dalaman yang paling besar di Malaysia dengan hasil jualan tahunannya mencecah 300,000 set setiap tahun.
Ianya nombor yang cukup jelas dalam membuktikan satu pencapaian yang cukup membanggakan dan hari ini, syarikat ini juga berjaya menghasilkan lebih kurang 60 jenis permainan yang berunsurkan pendidikan dan ianya banyak memberikan manfaat kepada pemain.
Syarikat Syarikat Permainan Malaysia Sdn. Bhd. ini ditubuhkan pada 26 Jun 1976 oleh seorang anak kelahiran Perak yang bernama Ting Sie Bing. Penubuhan syarikat ini bermula sejak apabila pengasas kepada syarikat tersebut masih menjadi seorang guru untuk salah sebuah institut latihan industi.
Pada asalnya yang menyebabkan tercetusnya idea untuk menjalankan perniagaan ini sebenarnya punyai jalan ceritanya yang tersendiri. Pada satu hari, Ting Sie Bing terlihat beberapa pelajarnya yang sedang menyusun suku kata dalam Bahasa Melayu dalam permainan Scrabble. Walhal permainan Ting Sie Bing yang dimainkan sepatutnya dimainkan dalam bahasa Inggeris.
Sejak dari detik itulah, Ting Sie Bing mula sedar terdapat beberapa baki jubin abjad dari permainan Scrabble ini setelah permainan tamat dimainkan. Sebagai contoh, huruf A yang muncul tiga kali lebih kerap dalam Bahasa Melayu berbanding Bahasa Inggeris.
Dengan menyedari akan keadaan tersebut, Ting Sie Bing mula mengubah cipta permainan Scrabble ke dalam versi Bahasa Melayu. Sebelum diciptanya Sahibba, Ting Sie Bing mengambil langkah drastik dengan mempelajari kamus Bahasa Melayu untuk menentukan kekerapan sesuatu abjad yang diperlukan bagi menjayakan keluaran produk Sahibba dalam edisi bahasa Melayu sepertimana yang kita dapat lihat hari ini di pasaran.
Jangan anda tidak tahu disebalik permainan Sahibba yang kita dapat lihat hari ini, Ting Sie Bing mengambil masa kira-kira selama 4 tahun untuk melakukan kajian tentang permainan tersebut. Beliau tidak menghiraukan segala kritikan daripada orang ramai yang menganggap kajian beliau sebagai sesuatu yang pelik dan beliau menganggap ini adalah satu cabaran.
Hari ini, pengasas kepada Sahibba dan Saidina ini iaitu Ting Sie Bing yang merupakan kelahiran negeri Perak telah berjaya mempopularkan permainan yang berunsurkan pendidikan yang amat popular di negara kita dan dengan penubuhan kepada syarikat Syarikat Permainan Malaysia Sdn. Bhd. berjaya menarik minat pemain sejak beberapa generasi.