Serangan komunis di Kampung Bekor berlaku selama dua hari yang berakhir pada tarikh 6 Mac 1946 iaitu selepas hampir sepuluh hari daripada peristiwa orang Melayu membunuh orang Cina. Serangan pertama berlaku pada 5 Mac 1946, hari Selasa dan lebih kurang pada jam 10.00 pagi. Kumpulan ini datang dari arah Klian, Bekor dan Kampung Pauh serta terdiri dengan kekuatan seramai 100 orang. Kumpulan penyerang ini dikatakan datang dari dua arah laluan yang berlainan.
Dalam perjalanan komunis masuk ke kawasan kampung, mereka dikatakan telah bertembung di laluan rumah Abdul Rahman bin Uda Mohamad. Kumpulan parang panjang pada pagi itu diketuai oleh Tuan Haji Salleh bin Abdul Manan. Kumpulan komunis dan orang Melayu berada di kawasan kejadian selama hampir dua jam. Walaupun tidak berlaku pembunuhan, namun dalam serangan pertama pada 5 Mac 1946, sebanyak tujuh buah rumah orang Cina telah dibakar.
Semangat orang Melayu yang tidak mahu menyerah kalah menyebabkan komunis terpaksa berpatah balik dan masuk semula ke kawasan hutan. Tindakan komunis pada pagi itu telah menyebabkan penduduk Kampung Bekor mengadakan mesyuarat tergempar di Masjid Bekor. Mereka membuat keputusan untuk mengadakan pasukan kawalan kampung. Kanak-kanak, kaum wanita dan orang tua dikumpulkan di beberapa buah rumah ulama dan juga ketua kampung. Terdapat juga penduduk yang tidur di pondok padi pada waktu malam kerana takutkan komunis.
Serangan kali pertama lebih kepada tindakan komunis menguji kekuatan dan persediaan orang Melayu di Bekor. Orang Melayu dengan jelas telah menunjukkan reaksi penentangan dan menolak propaganda komunis. Seorang ulama iaitu Tuan Haji Salleh bin Abdul Manan dikatakan telah mendapat petanda bahawa Kampung Bekor akan diserang dalam tempoh beberapa hari lagi. Oleh yang demikian, beliau telah memberikan semangat untuk mempertahankan kampung halaman mereka.
Bagi memberikan keyakinan kepada penduduk kampung, Tuan Haji Salleh bin Abdul Manan telah memberikan Ayat Empat untuk diamalkan oleh barisan parang panjang Kampung Bekor. Antara penduduk kampung yang turut menerima dan mengamalkan ayat tersebut terdiri dari Tuan Haji Shaari bin Haji Amin, Busu Ahmad bin Haji Amin dan Tuan Haji Bashah. Bilangan penduduk kampung yang mengambil dan menghafal ayat tersebut pada malam tersebut dianggarkan seramai tujuh hingga lapan orang sahaja. Walau bagaimanapun, bilangan ini meningkat dari masa ke semasa selepas fatwa jihad fisabilillah dikeluarkan oleh ulama tempatan.
Pada pagi hari Rabu 6 Mac 1946, antara jam 5.00 hingga 5.30 pagi telah berlaku serangan kali kedua yang telah dirancang dengan penuh teliti. Akhbar Majlis melaporkan bahawa bilangan orang Cina yang datang menyerang ialah kira-kira 500 orang dan datang dari daerah Klian. Kumpulan ini telah datang dengan dua puak dan asal tempat kedatangan mereka juga tidak dapat dipastikan, kerana selepas serangan tersebut, mereka telah menghilangkan diri dalam hutan tebal.
Serangan pada 6 Mac 1946 dilakukan pada awal pagi ketika penduduk kampung sedang tidur dan mereka tidak mempunyai kekuatan untuk melawan. Serangan juga dilakukan secara serentak melalui tiga penjuru. Kumpulan pertama menyerang dari arah Kampung Kelang dan Kampung Teruan/Bekor. Kumpulan kedua dari arah Kampung Baru, manakala kumpulan ketiga dari Kampung Kubang Udang. Setiap kawasan simpang dan jalan utama di seluruh kampung dikawal ketat oleh komunis. Saksi menyatakan bahawa serangan ini telah dilakukan oleh orang Cina yang berkebun sayur di pinggir Kampung Bekor dan Manong.
Dalam serangan tersebut terdapat penglibatan penduduk Cina tempatan yang terdiri daripada guru-guru kuntau. Menurut maklumat dan pengalaman Tuan Haji Mohd Ali yang telah disampaikan kepada Abdul Rahman bin Uda Mohd, terdapat seramai 15 hingga 20 komunis telah datang ke Kampung Bekor dan mengajak orang Melayu untuk berlawan. Walau bagaimanapun, dia telah ditangkap dan diikat dengan menggunakan tali.
Beliau mengalami luka kerana ditikam dengan lembing tetapi berjaya melepaskan ikatan dan melarikan diri serta terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri. Keadaan kampung yang ketika itu menjadi kelam-kabut telah menyebabkan beberapa orang penduduk yang berada di Masjid Kampung Bekor mengetuk beduk sebagai isyarat kecemasan. Ketukan beduk bukan sahaja dilakukan oleh orang Melayu, tetapi juga oleh kumpulan komunis.
Kisah Kejam Serangan Komunis Di Bekor (Bahagian 1), Jom baca kesinambungan Kisah Kejam Serangan Komunis Di Bekor ini di :