Nama Long Jaafar, tidak asing lagi bagi para pengkaji sejarah negara dan sejarah Negeri Perak khususnya. Beliau adalah yang mula-mula menemui bijih timah di Larut dan mengusahakannya pada tahun 1848 dan memajukannya dengan usaha-usaha perlombongan bijih timah.
Di atas usahanya itu, Negeri Perak khususnya daerah Larut semakin terkenal dengan perlombongan bijih timah. Untuk menguatkan kedudukannya, Long Jaafar telah membina sebuah kota di Bukit Gantang dan di dalam kota ini didirikan rumahnya.
Kota ini terletak di atas sebidang tanah seleuas lebih kurang 5 hektar. Kota Long Jaafar ini diperbuat daripada batu-bata dan tanah yang bercampur ketul-ketul batu disusun dengan baik dan sempurna, sesuai dengan tingginya tembok kota yang bergantung kepada kedudukan tapaknya di lereng bukit.
Tembok kota ini tingginya lebih daripada 2 meter, di samping tembok yang rendah kira-kira 1 setengah meter. Pembinaan kota ini memakan masa hampir lima tahun.
Di dalam kota inilah terdapat bekas-bekas gudang tempat menyimpan bijih timah semasa pemerintahan Long Jaafar. Di samping itu juga, terdapat sebuah tasik yang dibina di hadapan kota tersebut.
Walaupun sebahagian besar tembok kota ini telah rosak dan musnah tetapi ia merupakan salah satu kesan sejarah terpenting di Negeri Perak. Long Jaafar telah meningggal dunia pada tahun 1857 dan dikebumikan di dalam kota ini.
Makamnya masih terdapat sehingga kini. Pentadbiran Larut kemudiannya diambil alih oleh anak Long Jaafar, Ngah Ibrahim. Ngah Ibrahim telah mendapat watikah perlantikan daripada Sultan Jaafar dalam tahun 1864 dan diberi gelaran Orang Kaya Menteri. Ngah Ibrahim telah menjalankan usaha-usaha perlombongan bijih timah yang dirintis oleh ayahandanya dahulu. Bagaimanapun Ngah Ibrahim tidak menetap di Bukit Gantang tempat kota ayahandanya tetapi beliau telah membina sebuah kota dan kediaman lain yang lebih besar serta kukuh di Matang dalam tahun 1857.
Apabila bercerita tentang penemuan pertama bijih timah di Larut, semuanya bermula apabila seekor gajah bernama Si Larut milik Long Jaafar yang hilang ditemui semula.
Apabila ditemui semula, Long Jaafar berasa hairan melihat akan kaki gajahnya yang diselaputi lumpur yang keras. Apabila pelik dan hairan dengan kejadian itu, Long Jaafar mengambil keputusan untuk menyiasat perkara tersebut sehinggalah mengetahui hal yang sebenar bahawa ketulan yang menyelaputi kaki gajahnya si Larut itu adalah bijih timah.
Dengan terjumpanya bijih timah dalam tahun 1848 maka berubahlah aliran sejarah negeri itu. Long Jaafar (bapa kepada Ngah Ibrahim), wakil Sultan di daerah itu telah menguruskan atas perbelanjaannya sendiri, usaha membuka lombong bijih di Kelian Pauh dengan mengupah 20 orang Cina puak Chen Seng Hakka (dari daerah Kwantung).
Perusahaan melombong di tempat itu bertambah maju sehingga ramailah pelombong-pelombong Cina bersama-sama kongsi gelap mereka dari Pulau Pinang datang untuk bekerja di situ.
Terdapat beberapa buah kumpulan kongsi gelap yang bermusuhan di Larut yang bergabung dalam dua kumpulan yang besar iaitu kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin.
Permusuhan itu telah menjadikan Larut sebagai “sebuah gelanggang besar di mana pembunuhan, kekerasan dan rompak samun berlaku terus-terusan”. Pada tahun 1871, dianggarkan bahawa jumlah pelombong-pelombong Cina ialah 40,000 itu orang.
Nilai bijih timah yang dihantar ke Pulau Pinang pada tahun itu ialah 1,276,518 ringgit dan kebanyakannya daripada Larut. Pada 24 Februari, 1872, telah berlaku satu pergaduhan besar antara puak-puak Ghee Hin dan Hai San.
Api pergaduhan ini telah bermula sejak awal bulan Februari lagi apabila seorang gadis puak Chen Seng (puak kumpulan Hai San) yang menyintai seorang pemuda puak San Neng (puak kumpulan Ghee Hin) dicederakan dengan teruk oleh orang-orang kumpulan Ghee Hin sebagai satu amaran kepada kumpulan Hai San.
Akibat kejadian itu rasa permusuhan di antara kedua-dua kumpulan itu begitu memuncak dan akhirnya Perang Larut ke 3 (24 Februari, 1872) telah berlaku yang hanya disebabkan oleh pergaduhan kecil mengenai perjudian. Dalam pergaduhan ini pihak Ghee Hin telah menang dan seramai 10,000 orang-orang Hai San terpaksa meninggalkan Larut dan lari ke Pulau Pinang. Ngah Ibrahim yang sentiasa berubah-ubah sokongannya terhadap kedua-dua kumpulan itu tidak dapat mengawal keadaan.
Pergaduhan itu telah menjejaskan perusahaan lombong bijih timah di Larut. Akhirnya, dalam tahun 1872 beliau terpaksa meminta bantuan daripada Leftenan Gabenor Inggeris di Pulau Pinang untuk menghadapi keadaan itu. Kerana bimbang kekacauan itu akan merebak ke Pulau Pinang, Gabenor telah mengarahkan supaya diadakan sekatan senjata dan menghantarkan satu pasukan tentera laut untuk mengawal kemasukan senjata ke Larut.
Dalam tahun 1873 Kerajaan di Pulau Pinang telah membenarkan Ngah Ibrahim mengimport senjata dan membenarkan Capt. Speedy membantu beliau menubuhkan tenteranya sendiri (dari India) untuk menghadapi kekacauan di kawasannya (Larut).
Walaupun kini kedua-dua tokoh tersebut Long Jaafar dan Ngah Ibrahim telah lama pergi, namun keduanya telah mengukir sejarah bangsa yang gemilang dengan kejayaan mereka membuka dan memajukan perusahaan perlombongan bijih timah di Negeri Perak amnya dan di daerah Larut khususnya. Nama Long Jaafar dan anaknya Ngah Ibrahim tetap abadi dalam sejarah negara sebagai anak Melayu yang membangunkan perusahaan bijih timah sehingga mencelikkan masyarakat pendatang termasuk pihak Inggeris untuk turut menceburkan diri dalam perusahaan ini.