Pada tahun 1950an adalah merupakan zaman kegemilangan dan pada waktu itu, terdapat ramai yang bergiat dalam seni lukis komik kerana permintaannya adalah amat tinggi. Oleh kerana tidak banyak sumber hiburan lain yang ada dan situasinya tidak seperti kita pada hari ini, maka hanya komiklah sahaja sumber hiburan buat masyarakat di Malaysia pada satu ketika dahulu yang lebih murah dan senang serta mudah untuk mendapatkannya.
Terdapat banyak penerbitan komik dalam pelbagai genre serta jenis untuk menampung permintaan masyarakat kita pada waktu itu. Antara penerbitan komik yang popular satu ketika dahulu adalah seperti Pustaka Antara, Sinaran Bros, The Sentosa Store Kuala Pilah, Geliga Limited, Melayu Raya Press dan banyak lagi. Tambahan pula dengan kegilaan masyarakat kita pada waktu itu terhadap komik sebenarnya secara tidak langsung telah menyumbang dalam melahirkan bakat-bakat serta melahirkan ramai pelukis komik baru.
Dengan hadirnya bakat-bakat baru yang masing-masing punyai potensi dan kekuatan mereka yang tersendiri. Maka wujudlah pelbagai jenis genre komik yang pelbagai dan kebanyakan darinya punyai jalan cerita yang amat menarik untuk dibaca oleh peminat mereka. Antara nama-nama pelukis komik yang amat digemari pada waktu itu adalah seperti Alias Kulub, Osman Baru, Meor Shahriman Hassan (Mishar), Sulaiman Awang, Hussein Saad, Lat, Samudera Perwira, Shukor Lin, Rahman Bakree, Solihin Hj.Othman, A.Fauzi Yusof dan Hambia E.
Berbalik kepada penceritaan yang ingin diceritakan tentang disebalik pelukis kepada komik Bidan Muda yang amat digemari oleh masyarakat negara kita satu ketika dahulu di pelbagai peringkat umur. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, pelukis komik kepada komik Bidan Muda adalah seorang anak kelahiran Kampung Raban, Lenggong Perak. Beliau adalah seorang pelukis komik disegani yang bernama Abdul Halim Teh.
Abdul Halim Teh dilahirkan di Lenggong pada tarikh keramat 11 Disember 1933. Pada asalnya, beliau mula muncul dalam bidang melukis dan penceritaan berbentuk dalam komik itu sejak pada pertengahan tahun 1950an dan jika anda tidak tahu, Abdul Halim Teh mula muncul dalam bidang seni lukis komik melalui majalah HIBORAN yang diterbitkan oleh Harmy di Singapura.
Apa yang menariknya, Abdul Halim Teh sebenarnya juga pernah bertugas di Pustaka Antara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Sinaran Brother Sdn Bhd dan dengan FELDA sebagai seorang pelukis. Karyanya banyak diterbitkan oleh Pustaka Antara di Kuala Lumpur dan Sinaran Bros yang bertapak di Pulau Pinang. Rezeki beliau, Abdul Halim Teh kemudian muncul sebagai seorang tokoh penting dalam sejarah seni lukis komik Melayu di Malaysia.
Karyanya mendapat tempat di kalangan peminat dan penggemar komik. Siri yang pernah dilukis dan diciptanya yang paling terkenal adalah bertajuk Keris Berpuaka yang diterbitkan dalam 11 siri oleh Sinaran Bros dan beliau terus menjadi popular sejak dari terbitnya komik beliau itu. Komik Bidan Muda ini juga diterbitkan oleh Sinaran Bros dan sungguh tidak disangka apabila siri komik Bidan Muda ada disimpan di perpustakaan Negara Malaysia dalam bentuk 6 mikrofis hitam putih yang mana ia diterbitkan dengan menggunakan ejaan lama dan mengandungi 40 halaman.