Sempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke 62, seramai 10 perenang cilik termasuk yang mengalami masalah autism dan disleksia telah mencatat rekod dalam lembaran sejarah Malaysia setelah berjaya berenang merentasi lautan Selat Dinding sejauh 10 kilometer.
Rokiah Mat selaku Naib Presiden dan Setiausaha Kehormat Pertubuhan Anak Perak menyatakan bahawa program tersebut telah dijalankan untuk menyemarakkan lagi kemeriahan sambutan kemerdekaan kali ini.
Program ini turut melibatkan seramai 45 orang pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas dalam mengiringi kesemua perenang cilik berkenaan dalam merentasi Selat Dinding.
Selat Dinding dipilih sebagai lokasi program kerana ia adalah sebagai simbolik kembalinya Selat Dinding kepada negeri Perak atas perjuangan Almarhum Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke 30).
Peristiwa yang berlaku dalam tahun 1935 itu cukup bersejarah apabila pentadbiran Selat Dinding telah bertukar tangan di antara penjajah selama 109 tahun penjajahan di Perak. Anda boleh rujuk artikel Kisah Daerah Dinding Yang Terpisah 109 Tahun Dari Perak untuk lebih lanjut berkenaan dengan kisah tersebut.
Program ini juga adalah merupakan salah satu cara untuk menzahirkan penghargaan dan kecintaan yang mendalam terhadap negara selain erti kemerdekaan termasuk membawa mesej menjaga kehidupan marin.
Program renang merentasi Selat Dinding ini bermula dari Jeti Pulau Pangkor dan berakhir di Jeti Weldzone di Lumut dan mengambil masa kira-kira 3 jam hingga 4 jam untuk berenang merentasinya.
Tahniah kepada semua para perenang yang terlibat dalam program ini dan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam mengusahakan program yang cukup bersejarah ini.