Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak Ke 15)

Baginda Sultan Iskandar Zulkarnain adalah merupakan putera kepada almarhum Sultan Muhammad Shah (Sultan Perak ke 14). Sewaktu ayahanda dan bapa saudara baginda iaitu almarhum Sultan Muzaffar Shah III (Sultan Perak ke 13) menjadi sultan Perak, baginda Sultan Iskandar Zulkarnain diangkat menjadi Raja Muda dan bersemayam di Pulau Tiga.

Dalam tahun 1756 setelah mangkatnya Sultan Muzaffar Shah III, Raja Iskandar telah diangkat dan ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 15 dengan gelaran Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak ke 15). Isteri baginda Sultan Iskandar Zulkarnain bernama Raja Budak Rasul diangkat menjadi Raja Perempuan Perak dan adinda baginda yang bernama Raja Kimas diangkat menjadi Raja Muda Perak.

Seorang lagi isteri baginda Sultan Iskandar Zulkarnain dari orang kebanyakan yang bernama Cik Puteh Selamah Binti Panglima Kinta Tok Paloh digelar sebagai Paduka Maha Dewi. Panglima Kinta Tok Paloh ini kemudiannya telah dikurniakan dengan gelaran Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja.

Bekas Raja Perempuan Perak yang merupakan balu kepada Almarhum Sultan Muzaffar Shah III kemudian digelar sebagai Yang Dipertuan Tua dan Tun Hamat dijadikan sebagai Bentara dengan gelaran Seri Nara Diraja. Sultan Iskandar Zulkarnain dikatakan telah ditabalkan di Berahman Indera (kini dikenali sebagai Bota).

Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak Ke 15)

Tidak lama selepas ditabalkan menjadi Sultan Perak, baginda kemudian berpindah tempat bersemayam ke Pulau Cempaka Sari di tepi sungai Perak berdekatan dengan Kuala Sungai Kinta. Pulau Cempaka Sari kemudian ditukarkan namanya kepada Pulau Indera Sakti oleh baginda.

Sewaktu zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain, bermulalah lembaran baru dalam sejarah negeri Perak yang masa berakhirnya keturunan daripada Megat Abdullah (Bendahara Garang) yang berasal dari keturunan Megat Terawis dalam menyandang pangkat bendahara di negeri Perak.

Sultan Iskandar Zulkarnain (Sultan Perak Ke 15)

Megat Abu Kasim yang menjadi bendahara sewaktu zaman pemerintahan baginda Sultan Iskandar Zulkarnain telah meletakkan jawatan dengan persetujuan baginda dengan alasan kerana sultan tidak puas hati dengan keadaan istana baginda yang dibina bawah kelolaan bendahara di Pulau Indera Sakti.

Dua orang besar lain turut bersama-sama Megat Abu Kasim untuk memohon perletakan jawatan iaitu Temenggong Tan Bantan dan Orang Kaya Menteri (Sharif Husain). Setelah Megat Abu Kasim meletakkan jawatannya, baginda Sultan Iskandar Zulkarnain telah meletakkan Sharif Abu Bakar Bin Sharif Jalaluddin (Tok Tambak, Pulau Pisang) untuk mengisi jawatan bendahara yang kosong.

Tidak lama kemudian, Sharif Abu Bakar telah meletakkan jawatan lalu Sultan Iskandar Zulkarnain telah mengangkat adinda baginda iaitu Raja Alauddin untuk menjadi bendahara negeri Perak dengan gelaran Raja Bendahara Paduka Seri Maharaja Wazirul-Kabir. Raja bendahara yang baru ini juga turut dikenali sebagai Bendahara Penyengat Hitam.

Dalam lembaran sejarah negeri Perak, inilah kali pertama setelah lama bersultan untuk negeri Perak mempunyai seorang bendahara dari keturunan kerabat diraja. Sejak itu, lebih 200 tahun lamanya jawatan bendahara dipegang oleh kerabat diraja negeri Perak sehingga akhirnya dijawat oleh Raja Abdul Rashid ibni Almarhum Sultan Idris.

Kisah zaman kegemilangan pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain di negeri Perak ada banyak diceritakan dalam buku Misa Melayu yang dikarang oleh Raja Chulan sewaktu zaman hidupnya. Baginda Sultan Iskandar Zulkarnain telah memerintah negeri Perak selama 14 tahun iaitu sejak tahun 1756 hingga tahun 1770.

Rujukan:

  • Sejarah Perak, Buyung Adil, m/s 33

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here