Nakhoda Mohamad Taib, Pemerintahan Di Jajahan Dinding

Nama Nakhoda Mohamad Taib tidak dapat dipisahkan daripada sejarah jajahan Dinding kerana beliau adalah individu yang meneroka dan seterusnya telah memajukan kawasan Kuala Sepit.

Selain itu, Nakhoda Mohamad Taib bersama-sama dengan pengikutnya juga giat berusaha dengan gigih dalam menghapuskan pergerakan lanun-lanun yang semakin banyak di sekitar kawasan sana.

Menurut buku tulisan Othman Mohd. Yatim bertajuk Dinding Jajahan Istimewa Perak, kedatangan Nakhoda Mohamad Taib ini dikatakan selang beberapa tahun selepas kedatangan dan kegagalan Raja Engku Busu dalam usaha untuk menghapuskan pergerakan lanun di sana.

Merujuk kepada surat kuasa yang diterima oleh Nakhoda Mohamad Taib oleh Sultan Ja’afar Safiuddin Mu’azzam Shah (Sultan Perak ke 23), tahun kedatangan beliau ke kawasan tersebut adalah dalam tahun 1857.

Nakhoda Mohamad Taib, Pemerintahan Di Jajahan Dinding

Sebelum Nakhoda Mohamad Taib membuka kawasan Kuala Sepit, beliau sebenarnya telah beberapa kali datang ke negeri Perak atas urusan perniagaan. Lantaran selepas itu, Nakhoda Mohamad Taib menjadi terkenal dikalangan Sultan dan pembesar-pembesar di negeri Perak melalui hadiah-hadiah yang telah dipersembahkannya.

Kisahnya diceritakan penduduk tempatan sejak turun temurun, Nakhoda Mohamad Taib adalah seorang saudagar dan ahli pelayaran yang cukup terkenal di Batu Bahara yang terletak di Pantai Timur Sumatera.

Dari Batu Bahara, Nakhoda Mohamad Taib bersama-sama dengan pengikutnya telah mudik ke Sungai Perak sehingga ke Pasir Panjang Indera Mulia di mana terletaknya tempat Sultan Ja’afar Safiuddin Mu’azzam Shah bersemayam.

Sewaktu bertemu dengan Sultan Ja’afar Safiuddin Mu’azzam Shah, Nakhoda Mohamad Taib telah menyatakan hasrat beliau kepada baginda untuk membuka kawasan baru di sebelah laut dalam Sungai Dinding.

Baginda Almarhum Sultan Ja’afar Safiuddin Mu’azzam Shah telah memperkenankan dan menyambut baik hasrat Nakhoda Mohamad Taib dengan harapan Negeri Perak akan bertambah maju dan makmur.

Nakhoda Mohamad Taib juga turut dikurniakan satu surat kuasa dan istiadat penyampaian telah diadakan di Istana Pasir Panjang Indera Mulia. Kemudian, Nakhoda Mohamad Taib terus belayar ke Kuala Sungai Perak untuk pergi ke Sungai Dinding.

Nakhoda Mohamad Taib bersama-sama dengan pengikutnya telah meneroka dan membuka satu kawasan yang bernama Kuala Sepit. Lokasi Kuala Sepit cukup strategik kedudukannya sehinggakan telah menjadi pusat perlabuhan.

Kuala Sepit seringkali disinggah oleh pelbagai kapal-kapal dagang dari seluruh pelusuk Nusantara sehinggakan kawasan tersebut menjadi semakin maju dengan terkumpulnya pelbagai barangan keluaran hutan seperti rotan, damar dan banyak lagi.

Kegiatan lanun disekitar kawasan Dinding juga berjaya dilumpuhkan oleh Nakhoda Mohamad Taib kerana beliau telah menggunakan meriam-meriam untuk bertempur dengan pihak lanun.

Nakhoda Mohamad Taib, Pemerintahan Di Jajahan Dinding

Setelah memerintah kawasan Jajahan Dinding selama 16 tahun, Nakhoda Mohamad Taib telah meninggal dunia dalam tahun 1873 dan jasad beliau telah dikebumikan di Kuala Sepit.

Nakhoda Mohamad Taib, Pemerintahan Di Jajahan Dinding

Nakhoda Mohamad Ariff iaitu anak kepada Nakhoda Mohamad Taib telah menggantikan tempat bapanya untuk memerintah Jajahan Dinding namun pemerintahan beliau tidak lama kerana terpaksa kembali ke Batu Bahara dan kemudian adiknya pula meninggal dunia.

Lantas selepas itu, Penghulu Besar Mohamad Nordin telah mengambil alih dengan menggantikan tempat Nakhoda Mohamad Ariff untuk memacu dan mentadbir sekitar kawasan Jajahan Dinding.

Sewaktu termanterainya Perjanjian Pangkor dalam tahun 1874, kegemilangan Kerajaan Melayu Kuala Sepit semakin merudum jatuh apabila Jajahan Dinding kemudian telah diserahkan kepada pihak Inggeris.

Oleh yang demikian, Penghulu Besar Mohamad Nordin tidak dapat membaharui surat kuasanya lagi daripada baginda Almarhum Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah (Sultan Perak ke 25) kerana pada waktu itu Jajahan Dinding bukan lagi terletak di bawah kekuasaan Sultan Perak.

Walaupun Jajahan Dinding yang pada waktu itu ditadbir oleh Negeri-Negeri Selat, Penghulu Besar Mohamad Nordin masih lagi sah sebagai pemerintahnya walaupun beliau tidak dapat memperbaharui surat kuasanya itu.

Penduduk Kuala Sepit sebenarnya terasa amat kecewa dengan Perjanjian Pangkor dan mereka enggan untuk menerima panjajahan Inggeris. Oleh yang demikian, mereka telah berpindah beramai-ramai meninggalkan Kuala Sepit.

Rujukan:

  • Dinding Jajahan Istimewa Perak, Othman Mohd. Yatim

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here