Batu Gajah pada hari ini adalah sebuah pekan yang sedang giat membangun dan pada satu ketika dahulu ia pernah menjadi salah satu pusat pentadbiran buat British sewaktu zaman penjajahan British dalam negeri ini.
Lokasi pekan ini cukup strategik dengan pelbagai aktiviti ekonomi yang boleh dijalankan. Hal ini adalah kerana ia terletak berdekatan dengan bandar Ipoh dan punyai akses untuk laluan ke Lumut dan Manjung.
Menariknya, Almarhum Sultan Azlan (Sultan Perak ke 34) telah dilahirkan di Batu Gajah dan baginda almarhum pernah bersekolah di Sekolah Sultan Yussuff yang terletak di dalam pekan ini.
Tidak ketinggalan juga, Batu Gajah termasuk dalam salah satu lokasi cadangan yang cukup menarik untuk dilawati kerana ia pelbagai lokasi yang menarik dan unik serta punyai cerita dan sejarahnya yang tersendiri.
1. Clearwater Sanctuary Golf Resort
Clearwater Sanctuary di pekan ini adalah merupakan salah sebuah lokasi percutian untuk para pelancong dari dalam dan luar negara ataupun ia sesuai untuk mereka yang ada urusan perniagaan.
Apa yang ada di Clearwater Sanctuary Golf Resort? Yang utamanya adalah padang untuk mereka yang meminati sukan golf, chalet yang menarik untuk anda berehat serta santai dan beberapa tempat untuk riadah dan rekriasi bersama-sama dengan keluarga.
- Lokasi : Jalan Changkat Larang, Batu Gajah
- Phone : 05-366 7433
- Laman Web: www.cwsgolf.com.my
2. Istana Kellie
Istana Kellie ialah sebuah bangunan yang tidak siap dibina dan sebenarnya, bangunan tersebut lebih wajar dirujuk sebagai rumah agam dan bukannya dengan menggunakan istilah istana kerana tiada kerabat diraja yang punyai kaitan dengan bangunan tersebut.
Ia telah dibina pada tahun 1905 oleh seorang peladang getah terkemuka Scotland yang bernama William Kellie Smith. Bangunan Istana Kellie ini terletak di tepi Jalan Gopeng melalui jalan ke Batu Gajah.
- Lokasi : Batu 5, Jalan Gopeng, Batu Gajah
- Phone : 05-365 3381
- Bayaran Masuk : RM5.00 (Warganegara) dan RM10.00 (Bukan Warganegara)
Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan penceritaan tentang Istana Kellie, anda boleh rujuk artikel penuh di Disebalik Kisah Pembinaan Dan Misteri Kellie’s Castle yang pernah kami terbitkan.
3. Taman Alam Kinta
Taman Alam Kinta telah diiktirafkan oleh Persatuan Alam Malaysia sebagai kawasan yang menjadi habitat kepada lebih daripada 150 jenis burung air. Ia punyai keluasan sebesar 900 hektar.
Menariknya disana adalah terdapat sebuah menara pemerhati burung yang telah dibina agar pada pelancong atau juru gambar dapat memerhati habitat burung-burung air di Taman Alam Kinta ini.
- Lokasi : 4° 25′ 21.036″ N, 101° 3′ 39.4164″ E
- Phone : 012-500 9400
Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan penceritaan tentang Taman Alam Kinta, anda boleh rujuk artikel penuh di Taman Alam Kinta Adalah Taman Negeri Perak Ke Tiga yang pernah kami terbitkan.
4. Bangunan Kolonial di Batu Gajah
Terdapat beberapa bangunan lama bersejarah yang mula dibina sejak tahun 1800 hingga tahun 1930 yang mana ia telah tersenarai dalam senarai bangunan kolonial British.
- Lokasi : Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Jalan Changkat, Batu Gajah
- Phone : 05-366 1963
Sejarah Batu Gajah
Kawasan ini sebenarnya bermula sebagai sekelompok perkampungan kecil di dalam mukim Sungai Terap yang telah dibangunkan oleh seorang penghulu yang punyai gelaran Sri Amar Diraja semenjak awal kurun ke 19.
Pada asalnya, kawasan petempatan utama buat mereka yang tinggal di dalam kawasan Batu Gajah dicatatkan bermula di sebuah kampung yang dikenali dengan nama sebagai Kampung Sungai Terap.
Mengikut penduduk setempat, Kampung Sungai Terap ini telah diasaskan oleh Toh Panjang Bongkok dan kampung tersebut adalah merupakan kampung yang pertama di kawasan Batu Gajah yang punyai masjid.
Oleh kerana Kampung Sungai Terap ini adalah kampung yang pertama punyai masjid di kawasan mukim Batu Gajah, Kampung Sungai Terap dijadikan sebagai kampung utama dan nama mukim Sungai Terap diambil bersempena dengan nama kampung tersebut.
Sewaktu negeri Perak berada di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke 19) sejak tahun 1806 hingga tahun 1825, Dato Panglima Kinta telah mengurniakan Toh Panjang Bongkok dengan gelaran Sri Amar Diraja.
Dengan gelaran yang diterima oleh Toh Panjang Bongkok sebagai Sri Amar Diraja seterusnya memberikan beliau hak untuk memungut cukai di kawasan Sungai Kinta dan jajahannya.
Apakah besarnya gelaran Sri Amar Diraja ini? Sri Amar Diraja merupakan gelaran yang telah diberikan bermula sejak dari zaman hidup Tun Saban lagi sehinggakan dalam kurun ke 19, ia kemudian diletakkan sebagai salah satu gelaran dari enam belas pembesar-pembesar negeri Perak.
Selepas Toh Panjang Bongkok meninggal dunia, Toh Amar Diraja Pandak Akal kemudian menyambung legasi kepimpinan Toh Panjang Bongkok di sana sehinggalah Pandak Akal meninggal dunia dalam tahun 1859.
Kemudian, ianya diteruskan pula oleh Toh Amar Diraja Naam. Serba sedikit tentang hal Batu Gajah sejak zaman pimpinan Toh Amar Diraja Naam ada dicatatkan oleh J.W.W. Birch dalam diarinya.
Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan penceritaan tentang asal usul nama Batu Gajah pula, anda boleh rujuk artikel penuh di Cerita Rakyat Asal Usul Nama Batu Gajah yang pernah kami terbitkan.