Disebalik Kisah Pembinaan Dan Misteri Kellie’s Castle

Batu Gajah pada kurun ke 19 terkenal sebagai kawasan pengeluaran bijih timah serta getah yang utama di negeri Perak dan Tanah Melayu. Disebabkan itu, ramai usahawan dari eropah yang datang ke kawasan ini untuk melabur dan membuka ladang-ladang serta lombong bijih timah disini.

Diantara orang eropah yang datang untuk mencuba nasib menjadi taikun perladangan getah di Batu Gajah ini ialah William Kellie Smith.

Setelah berada lama di Perak, beliau akhirnya memutuskan untuk membina sebuah rumah agam besar yang kaya dengan keindahan seni bina. Rumah agam itu dikenali sebagai Kellie’s Castle.

William Kellie Smith

William Kellie Smith

Kellie’s Castle dibina oleh peladang berbangsa Scottish bernama William Kellie Smith yang berasal dari bandar kecil di Scotland. Dikatakan beliau membina bangunan ini sebagai tanda cinta beliau kepada isterinya, sama seperti Shah Jahan membina Taj Mahal untuk isterinya Mumtaz Mahal.

Namun, kisah cinta antara dua insan ini sangat berbeza. Pada tahun 1890, Kellie Smith yang baru berumur dua puluh tahun telah meninggalkan rumah beliau di Kellas untuk mencuba untuk mengubah nasib dan menambah kekayaan di Tanah Melayu.

Tidak banyak maklumat yang diperoleh mengapa beliau memilih Tanah Melayu untuk tujuan itu. Namun begitu, beliau mudah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan masyarakat yang ada di Tanah Melayu ketika itu.

Beliau telah mencuba beberapa bidang perniagaan dengan harapan untuk mencari bidang manakah yang betul-betul sesuai untuk beliau laksanakan sehingga berjaya, sehinggalah beliau berjumpa dengan pemilik ladang bernama Alma Baker.

Kellie's Castle

Baker telah memperoleh beberapa projek daripada kerajaan untuk membina jalanraya di Hilir Perak dan berjaya mendapatkan konsesi daripada kerajaan negeri untuk membuka 360 hektar hutan di Perak.

Kerjasama antara Baker dan Smith dalam projek-projek ini berjaya mendatangkan hasil yang lumayan. Smith mula terlibat dalam bidang perladangan pokok getah dan berkecimpung dalam industri perlombongan bijih timah.

Pada masa itu, beliau menjadi pemilik Kinta Kellas Estate untuk ladang getah dan Kinta Kellas Tin Dredging Company yang menguasahakan lombong-lombong bijih timah.

Beliau kemudiannya membeli sebidang tanah seluas 960 ekar untuk dijadikan ladang getah dan tapak bagi beliau membina rumah di Batu Gajah. Melalui berbagai usaha perniagaan seperti mengusahakan ladang getah dan industri perlombongan bijih timah telah membuatkan kekayaan Smith semakin bertambah.

Pada tahun 1903, beliau telah pulang ke Scotland untuk mengahwini kekasih hatinya Agnes. Beliau kemudian membawa isterinya ke Tanah Melayu dan beberapa tahun kemudian pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan bernama Helen.

Beliau sayangkan anak perempuan namun sangat ingin untuk mendapatkan anak lelaki sebagai pewaris empayar perniagaan yang beliau telah bina selama ini. Namun, nyata sukar bagi Agnes untuk memperoleh anak kedua.

Hanya selepas sebelas tahun barulah Agnes mengandung semula. Pada tahun 1915, Agnestelah melahirkan seorang bayi lelaki yang dinamakan sebagai Anthony.

Sebagai meraikan kelahiran anak lelaki ini dan Smith mula merancang untuk membina sebuah rumah agam yang besar dan indah. Disebabkan minat beliau kepada negara India dan ajaran Hindu, beliau telah membawa ciri-ciri ini dalam seni bina untuk rumah barunya.

Batu-bata dan kebanyakkan bahan bina telah diimport daripada India. Bahkan beliau membawa 70 pekerja mahir daripada Madras, Selatan India untuk pembinaan rumah agam tersebut.

spanish flu

Gambaran pesakit wabak Spanish Flu

Malangnya, beliau seperti terkena sumpahan. Pembinaan rumah agam yang menjadi keutamaan hidup beliau tidak berjaya mengikut jadual yang ditetapkan. Ini kerana pada awal tahun 1920, ramai daripada pekerja kontrak telah menghidap penyakit Spanish Flu dan meninggal dunia.

Kemudian sebuah kuil sempena dewa Mariamman telah dibina dalam jarak 1500 meter daripada tapak rumah agam tersebut. Ada yang menyatakan bahawa Kellie membina kuil tersebut untuk melindungi mereka yang tinggal di tanah milik beliau.

Ada pula yang berkata Kellie membina kuil tersebut sebagai tanda terima kasih kepada Dewa Mariamman kerana mengurniakan anak lelaki kepada beliau. Kuil yang dibina oleh Kellie masih lagi berfungsi sebagai pusat ajaran Hindu sehingga hari ini.

Pembinaan Kellie’s Castle mencatatkan sejarah sebagai bangunan pertama di Tanah Melayu yang memiliki lif. Lif ini berfungsi daripada tingkat atas sehingga terowong bawah tanah di rumah agam tersebut.

Beliau juga merancang untuk membina tapak tenis dalam bangunan. Kawasan atas bumbung pula dikhaskan untuk upacara keraian bersama usahawan atau orang-orang kenamaan.

Walau bagaimanapun, Perang Dunia Pertama telah menambahkan lagi kelewatan proses pembinaan rumah agam tersebut dan akhirnya, Kellie’s Castle tidak berjaya disiapkan sehingga hari ini.

Kellie's Castle

Smith membuat lawatan ringas ke Britain pada tahun 1926 bersama anak perempuannya. Tidak dapat dipastikan mengapa beliau kemudiannya membuat persinggahan di Lisbon, Portugal.

Ada yang menyatakan bahawa beliau ke Portugal untuk mengambil lif bagi rumah agam yang sedang beliau bina. Pada Disember 1926, beliau telah menghidap penyakit pneumonia dan meninggal dunia pada usia 56.

Agnes kemudiannya pulang ke Scotland bersama dengan anak-anaknya. Beliau telah menjual rumah agam tersebut kepada syarikat British bernama Harrisons and Crossfield.

Anthony Kellie Smith pula telah maut dalam Perang Dunia Kedua dan Helen tidak pernah pulang Kellie’s Castle. Tinggalan yang ada pada rumah pertama milik Smith yang berada di belakang rumah agam yang tidak siap hanyalah laluan pejalan kaki, dan beberapa bahagian dinding yang sudah runtuh.

Kellie’s Castle telah dibaikpulih dan kelihatan seperti tidak pernah diusik semenjak dari dahulu. Rumah agam tersebut juga pernah digunakan dalam filem tahun 1999 iaitu filem Anna and the King.

Kellie's Castle

Penduduk tempatan di kawasan sekitar rumah agam tersebut mempercayai bahawa rumah tersebut dihantui oleh keluarga Kellie Smith. Dikatakan lembaga menyerupai William pernah kelihatan pada waktu malam di koridor di tingkat dua rumah tersebut.

Ada juga yang mendakwa terlihat lembaga yang menyerupai Helen yang mempunyai rambut kerinting dan memakai blouse putih di bilik tidur lama beliau.

Bau-bau wangi dan lembaga juga didkawa pernah dilihat di kandang kuda. Menambahkan lagi misteri Kellie’s Castle ini, ada juga yang percaya bahawa semangat yang tinggal di rumah agam tersebut mendiami bilik-bilik tersembunyi dan terowong rahsia yang terdapat di bawah rumah agam tersebut.

Leave a Comment