25.5 C
Ipoh
Thursday, 23 January 2025

Disebalik Kisah Mendamaikan Perebutan Takhta Sultan Perak

- Advertisement -
- Advertisement -

Menurut sumber dari catatan penulisan Allahyarham Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas iaitu waris kepada Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek bin Uda Katab (Pemerintah Mukim Lambor Sebelum Penjajahan British), ada kisah yang menyatakan tentang terdapat satu usaha untuk mendamaikan perbalahan perebutan takhta Sultan Perak pada waktu itu.

Perbalahan dalam perebutan takhta Sultan Perak ini sebenarnya berlaku sebelum Raja Bendahara Ismail diangkat menjadi Sultan Perak ke 25 lagi dalam tahun 1871. Takhta tersebut direbut antara Raja Muda Abdullah (sebelum menjadi Sultan Perak ke 26) dengan Raja Bendahara Ismail (sebelum menjadi Sultan Perak ke 25).

Jadi, Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek dan Toh Paduka Raja Alang Abu Kassim serta saudara mereka iaitu Toh Seri Nara Diraja Alang Dayan telah berikhtiar untuk mendamaikan perbalahan perebutan takhta untuk Sultan Perak yang telah berlaku pada waktu itu.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, usaha dalam mendamaikan kedua-dua belah pihak yang berkuasa ini amatlah susah. Tambahan lagi kerana perjalanan dari Batak Rabit yang terletak di Hilir Perak iaitu tempat Raja Muda Abdullah bersemayam dengan Sayong, Kuala Kangsar tempat bersemayam Sultan Ismail begitu jauh.

Disebalik Kisah Mendamaikan Perebutan Takhta Sultan Perak

Makam Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek bin Uda Katab

Zaman dahulu manalah ada kenderaan seperti hari ini. Perjalanan dari Sayong ke Batak Rabit mengambil masa hampir seharian dengan menggunakan sampan melalui Sungai Perak. TToh Maharaja Dewa Panjang Ogek terpaksa berulang-alik berkali-kali selama bertahun-tahun sehinggalah akhirnya berjaya melembutkan hati kedua-dua belah pihak untuk berjumpa dan berbincang.

Perjumpaan dikatakan akan diadakan di satu tempat dikawasan mukim Belanja yang mana pada waktu itu dikatakan Sultan Ismail bersetuju untuk menyerahkan takhta Sultan Perak kepada Raja Muda Abdullah serta perkakas kerajaan yang berada di tangan baginda.

Maka berangkatlah kedua-dua pihak menuju ke kawasan yang telah dipersetujui untuk berjumpa. Raja Muda Abdullah berangkat dari Batak Rabit dan Sultan Ismail berangkat dari Sayong. Akan tetapi, Sultan Ismail berlabuh di Kuala Pasir manakala Raja Muda Abdullah pula singgah di Hujung Pasir. Kedua-dua belah pihak masing-masing enggan berangkat ke tengah-tengah kawasan untuk perjumpaan dan ia memakan masa selama beberapa hari.

Oleh kerana itu, Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek terpaksa berulang-alik untuk kedua-dua belah pihak supaya dapat membawa perutusan ke dari satu pihak ke satu pihak yang lain. Namun begitu, kedua-dua belah pihak masih enggan bertemu kerana masing-masing punyai alasannya yang tersendiri.

Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 26)

Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 26)

Alasan sebelah pihak Raja Muda Abdullah mengatakan jika benar pihak Sultan Ismail ingin bersungguh-sungguh menyerahkan kuasa dan perkakas kerajaan, mengapa enggan menemui baginda sedangkan perjalanan dari Sayong ke Belanja memakan masa.

Manakala di pihak Sultan Ismail pula mengatakan bahawa jika benar Raja Muda Abdullah hendak datang mengadap dengan aman untuk mengambil perkakas kerajaan dan beruding dengan baginda, mengapa enggan mudik sedikit sedangkan perjalanan dari Batak Rabit ke Belanja juga memakan masa yang panjang.

Akhirnya di suatu pagi, kelihatan perahu-perahu pihak Sultan Ismail bertolak ke hilir daripada kepala pasir menuju ke arah perahu kenaikan Raja Muda Abdullah sambil ke hilir mengikut arus tanpa menyinggah disitu sementara perahu kenaikan baginda Sultan Ismail melintasi perahu kenaikan Raja Muda Abdullah.

Maka Raja Muda Abdullah pada waktu itu telah terdengar akan Sultan Ismail bertitah sekiranya Raja Muda Abdullah berkehendakkan gelaran Sultan dan perkakas kerajaan maka bolehlah baginda menuntut dihujung laras meriam dan senapang maka dengan ini luputlah sama sekali pintu jalan kedamaian yang diusahakan sekian lama.

Ekoran dari itu, Raja Muda Abdullah telah meminta bantuan dari pihak Inggeris maka terjadinya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 mengangkat Raja Muda Abdullah sebagai Sultan Perak dan Raja Bendahara Ismail bekas Sultan dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda dengan bersara dan dibayar pencen.

Lokasi sebenar J.W.W. Birch dibunuh

Lokasi sebenar J.W.W Birch dibunuh

Waktu itulah pihak Inggeris telah menghantar seorang pegawai Residen Bristish yang pertama di negeri Perak iaitu J.W.W Birch. Berikutan perjanjian ini, pihak Inggeris telah telibat secara langsung dalam pentadbiran negeri Perak dan tidak beberapa lama kemudian, telah berlaku perselisihan faham antara Sultan Abdullah dengan J.W.W Birch sehingga menyebabkan J.W.W Birch dibunuh di Pasir Salak. Rujuk artikel Perincian Kisah Detik Pembunuhan J.W.W. Birch.

Peperangan telah berlaku diantara pihak British dengan pihak Sultan Abdullah dan ekoran dari peperangan itu, pihak British memutuskan Sultan Abdullah, Laksamana Muhammad Amin, Dato’ Syahbandar Uda Maamor, Orang Kaya Menteri Ngah Ibrahim dibuang ke Pulau Seychelles dan Sultan Ismail dibuang negeri ke Skudai, Johor.

Bersama-sama dalam mengiringi baginda Sultan Muda Ismail ke Skudai, Johor ialah kerabat keluarga Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek sendiri iaitu Toh Paduka Raja Alang Abu Kassim yang juga merangkap besan beliau dan saudara mereka Toh Seri Nara Diraja Alang Dayan.

Disebalik Kisah Mendamaikan Perebutan Takhta Sultan Perak

Makam Sultan Ismail di Johor

Sultan Muda Ismail mangkat pada 4 September 1889 dan almarhum baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Baharu serta telah diberi gelaran Marhum Mangkat di Skudai. Anda boleh rujuk artikel orangperak.com yang lalu bertajuk Menjejaki Makam Sultan Perak Ke 25 Di Negeri Johor.

Selepas kemangkatan Sultan Muda Ismail pada tahun 1889, Toh Paduka Raja Alang Abu Kassim bersama dua orang anaknya iaitu Long Jati dan Ngah Kenta pulang semula ke negeri Perak manakala Toh Seri Nara Diraja Alang Dayan tidak sempat pulang ke negeri Perak beliau telah meninggal dunia pada tahun yang sama dan dimakamkan di negeri Johor, tetapi anaknya Mohd Yatim dan isteri beliau Toh Seri Nara Suri Long Madin telah pulang semula ke negeri Perak.

Perkongsian maklumat ini adalah hasil perkongsian daripada saudara Nazrin Suhaimi dari Seri Iskandar yang merupakan cucu cicit dari keturunan Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek bin Uda Katab.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here