23.9 C
Ipoh
Tuesday, 10 December 2024

Air Terjun Lata Iskandar Yang Terbit Dari Pergunungan

- Advertisement -
- Advertisement -

Ramai yang menuju ke Cameron Highland melalui jalan Tapah semestinya tidak akan terlepas pandang akan kewujudan air terjun yang disebut sebagai air terjun Lata Iskandar.

Namun ramai yang menyangka ianya berada di dalam daerah Cameron Highland, Pahang. Buat pengetahuan semua, air terjun Lata Iskandar ini berada di dalam daerah Batang Padang, Perak. Dalam artikel kali ini orangperak.com akan menyentuh sedikit sebanyak tarikan yang ada di air terjun Lata Iskandar ini.

Air Terjun Lata Iskandar merupakan salah sebuah kawasan rekreasi air terjun yang menarik dengan alam semulajadinya yang mengagumkan dan mudah untuk dikunjungi.

Berada dibawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Perak Daerah Batang Padang, air terjun ini terletak di pertengahan jalan dari Tapah ke Cameron Highland iaitu 15 km dari Pekan Tapah melalui jalan raya Tapah serta 85 km dari bandaraya Ipoh.

Pengunjung yang ingin ke air terjun ini boleh menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam seperti bas atau teksi dari Pekan Tapah. Antara aktiviti yang boleh dijalankan di sini adalah bersiar-siar, berenang dan jungle tracking.

Dikelilingi dengan tumbuhan hijau melata, pokok-pokok hutan menambahkan lagi kesejukan yang menyengat isi dan tulang kita sewaktu berada dikawasan ini.

Lata ini mempunyai kolam-kolam takungan di setiap hujung barisnya, menyediakan satu tempat mandi yang sesuai untuk seisi keluarga. Pengunjung boleh mengambil peluang untuk bermandi-manda di dalam airnya yang sejuk dan segar, yang terbit dari kawasan pergunungan.

air terjun lata iskandar

Bagi pencinta alam pula, sedikit masa yang diluang melalui denai-denai hutan yang telah disediakan akan membawa anda kepada keseronokan dan kekayaan flora dan fauna di sekeliling air terjun ini.

Bagi anda yang berkunjung ke sini bersama keluarga, apa kata bawa bekalan untuk berkelah, makan di sudut tepi air terjun sambil dihembus dengan percikan debu jernih airnya pasti tidak akan luput dari ingatan setiap orang.

air terjun lata iskandar

Di bahagian bawah air terjun ini, terdapat bazar-bazar kraftangan yang menawarkan pelbagai hasil kraftangan yang boleh dibeli mengikut citarasa masing-masing.

Terdapat juga kedai seni kreatif disini seperti ukiran dan lain-lain. Setiap ukiran yang dipertontonkan membuahkan makna tersendiri. Warna dan coraknya masih mengekalkan keaslian yang artistik dan tidak kurang menariknya apabila labu yang diukir boleh dijadikan untuk pelbagai fungsi. Lokasi kedai ini adalah kawasan deretan kedai-kedai menjual pelbagai barangan hiasan.

air terjun lata iskandar

Jangan ketinggalan untuk memiliki sendiri barangan kraftangan dengan harga yang murah dan anda pasti akan berpuas hati dengan kualitinya. Hasil-hasil kraftangan di sini sangat bermutu tinggi terutamanya hasil-hasil kraftangan yang dibuat oleh orang asli.

Deretan gerai-gerai juga telah didirikan berhampiran kawasan air terjun dengan menyediakan jualan minuman dan makanan ringan untuk keselesaan orang ramai yang singgah untuk menikmati keindahan Lata Iskandar.

Turut dijual disini ialah herba serta akar-akar kayu seperti tongkat ali, kacip fatimah dan lain-lain lagi untuk tujuan perubatan dan penjagaan kesihatan.

Antara kemudahan yang terdapat disini ialah tandas awam dan pondok wakaf untuk pengunjung berehat sebelum menyambung perjalanan ke Cameron Highland mahupun turun ke pekan Tapah.

Andainya anda ada merancang untuk ke Cameron Highland, moh singgah dan nikmatilah keindahan di Lata Iskandar serta abadikan dalam foto kenangan percutian anda.

- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here