Apabila kita bercerita tentang adat dan budaya, kadangkala ia amat sensitif buat masyarakat kita pada hari ini kerana adat dan budaya yang ada selama ini kebanyakannya tidak digandingkan bersama-sama dengan tuntutan agama Islam, agama rasmi negara kita Malaysia.
Konsep adat dan budaya untuk satu masyarakat pada asasnya adalah satu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan yang tertentu dan meliputi sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam dan kadangkala ada juga yang dikaitkan dengan sikap serta nilai.
Berbalik kepada topik asal yang ingin diketengahkan dalam artikel orangperak.com pada kali ini adalah berkaitan dengan susunan adat dan budaya perkahwinan orang di negeri Perak sejak dari dahulu lagi dan apa yang membanggakan, masih ramai lagi yang masih meneruskan adat dan budaya ini sehingga ke hari ini.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, secara asasnya mengikut adat dan budaya terdapat lapan langkah yang perlu dilakukan oleh si teruna mempelai untuk menikahi gadis anak dara orang negeri Perak. Namun perkara ini tidaklah wajib dilakukan dan rata-rata masyarakat kini hari ini tidak kisah dengannya lagi.
1. Merisik – kredit gambar nida-razak.blogspot.my
Merisik adalah langkah pertama yang wajar dilakukan oleh si teruna untuk menikahi gadis anak dara orang negeri Perak. Tujuannya adat ini sebenarnya adalah untuk memastikan gadis yang dihajati untuk dijadikan isteri itu masih belum berpunya atau tidak. Adat merisik ini juga sebenarnya memberi ruang kepada bakal besan untuk berkenalan dan mengenali bakal menantu mereka sendiri.
2. Rombongan Meminang – kredit gambar irosli63.blogspot.my
Apabila pasangan mencapai kata sepakat dan keluarga ingin menyatukan si teruna dan dara dalam tempoh masa yang tertentu, si teruna haruslah membawa rombongan untuk meminang pasangannya. Langkah ini disebut sebagai rombongan meminang yang dijalankan oleh keluarga terdekat sebelah lelaki. Pada waktu meminang inilah perbincangan dan rundingan berkenaan dengan adat bertunang pula.
Ramai masyarakat kita pada zaman sekarang terus mengadakan adat bertunang dalam rombongan meminang kerana mungkin faktor jarak yang jauh kedua-dua belah pihak untuk berulang-alik berkali-kali dalam mengikat tali persaudaraan yang baru menjadi satu hal dan menyumbang pada orang kita pada hari ini untuk masukkan adat bertunang dalam rombongan meminang.
3. Adat Bertunang – kredit gambar ikahwin.my
Langkah seterusnya adalah adat bertunang. Setelah perbincangan dan rundingan dijalankan dalam rombongan meminang sebelum ini, maka adat untuk bertunang pun berjalanlah dengan cincin tanda yang diwakili oleh keluarga lelaki (selalunya ibu) dengan menyarungkan cincin tunang pada jari si dara anak Perak.
Hantaran untuk majlis bertunang kebiasaannya adalah bergantung pada hasil perbincangan dalam rombongan meminang. Kebiasaannya untuk orang Perak, apabila hantaran dibuat dan bertukar-tukar untuk majlis bertunang, maka waktu bernikah nanti tidak perlu lagi hantaran. Namun, ia tidak menjadi satu masalah jika ingin membawa hantaran lagi dan bergantung pada persetujuan keluarga dan mempelai sendiri.
4. Menghantar Belanja
Langkah ke empat untuk menikahi gadis anak Perak setelah semua langkah diatas berjalan dengan lancar adalah perlu menghantar belanja. Sebagai contoh lagi sebulan majlis pernikahan dan sanding akan berjalan, maka wakil dari pihak lelaki harus datang dan berikan wang belanja kahwin sepertimana nilai yang telah dipersetujui dalam perbincangan dan rundingan meminang dahulu.
5. Malam Berinai
Malam berinai adalah langkah seterusnya yang kebiasaannya dilakukan dalam dua hari sebelum kedua mempelai bernikah. Pengantin perempuan akan memakai inai pada kesemua jari tangan dan kaki termasuklah pada tapak tangan. Sebaliknya, pengantin lelaki hanya memakai inai pada jari kelingking, jari manis dan jari hantu pada sebelah tangan sahaja.
6. Nikah
Saat yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Langkah seterusnya adalah tuntutan agama yang wajib dijalankan.
Bernikah kebiasaannya dijalankan pada sebelah malam selepas solat Isyak untuk orang Perak. Jangan terkejut jika ada kenduri kecil yang akan diadakan pada waktu malam selepas nikah untuk meraikan secara kecil-kecilan dahulu sebelum acara kemuncak majlis kahwin yang bakal diadakan.
7. Majlis kahwin dan adat bersanding – kredit gambar shamsuriyadi.com
Pasangan mempelai akan bersanding seumpana raja dan permaisuri. Pengantin diraikan bagai raja sehari di atas pelamin dan dalam masa yang sama, majlis kahwin akan berjalan pada waktu ini serta tetamu yang datang akan manjamah makanan yang disediakan. Inilah dia majlis kahwin dengan adat bersanding.
8. Adat Bertandang – kredit gambar homestay-info.blogspot.my
Yang terakhir iaitu adat bertandang. Hari ini lebih dikenali dengan nama majlis menyambut menantu. Apabila selesai majlis di sebelah perempuan, maka akan dihantar anaknya orang Perak yang telah menjadi isteri orang itu ke rumah ibu bapa lelaki untuk majlis disebelah sana pula.
Secara kasarnya, adat dan budaya ini hampir dan seakan-akan sama dengan negeri-negeri lain yang ada di negara kita, Malaysia. Namun inilah penceritaan secara kasar untuk anda pembaca setia orangperak.com kenal dengan adat dan budaya untuk menikahi gadis kelahiran negeri Perak.