Sejarah Terusan Teluk Intan Yang Telah Dilupakan

Kawasan sekitar Durian Sebatang dan Teluk Mak Intan sememangnya menjadi tumpuan bagi pihak British sejak dari zaman awal kedatangan mereka ke negeri Perak lagi. Bagi pihak kolonial, kawasan ini sesuai untuk dibangunkan bagi kemudahan pentadbiran dan perdagangan mereka.

Ini disebabkan kedudukan geografi yang berdekatan dengan muara Sungai Perak dan juga Teluk Mak Intan memiliki kawasan perairan yang dalam memudahkan kapal-kapal besar untuk berlabuh.

Dalam coretan kali ini orangperak.com melalui rujukan buku Teluk Anson 100 Tahun karya Prof Khoo Kay Khim, ingin menyentuh mengenai sisi sejarah Teluk Intan yang telah dilupakan iaitu Terusan Teluk Anson (Teluk Intan) yang sangat berjasa kepada penduduk sekitar kawasan Hilir Perak pada ketika itu.

Sejarah Terusan Teluk Intan Yang Telah Dilupakan

Gambar lama Menara Condong Teluk Intan berhadapan dengan terusan lama

Sebagai pengenalan, dikawasan Teluk Intan dahulu terdapat dua buah penempatan penting yang sudah didiami oleh penduduk dari pelbagai bangsa. Penempatan ini ialah Teluk Mak Intan dan juga Durian Sebatang. Durian Sebatang berada di Kuala Sungai Bidor yang bercantum dengan Sungai Perak dan telah menjadi kawasan dibawah jagaan Laksamana Perak sejak berkurun lamanya.

Kawasan ini merupakan tol bagi mengutip cukai perahu oleh Laksamana dan ianya merupakan tempat yang penting bagi ekonomi negeri Perak. Kemudian apabila British mula memerintah negeri Perak, Durian Sebatang telah dijadikan tempat pentadbiran bagi Supritenden Hilir Perak (the seat of Supritendecy of Lower Perak). Jawatan ini serupa dengan jawatan Pegawai Daerah pada masa kini.

Pada bulan September 1881, Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir Frederick A. Weld telah melawat Durian Sebatang dan beliau telah meluluskan pembinaan sebuah terusan dari Durian Sebatang ke Teluk Mak Intan. Pembinaan ini disifatkan beliau sebagai sangat penting untuk merancakkan lagi pembangunan ekonomi dan menjimatkan jarak 8 kilometer berbanding laluan sungai yang asal.

Sejarah Terusan Teluk Intan Yang Telah Dilupakan

Lakaran perlabuhan Teluk Anson, landasan keretapi dan terusan Teluk Anson

Teluk Mak Intan pula seperti yang telah disebut sebelum ini mempunyai kawasan perairan yang dalam. Disebabkan itu, Teluk Mak Intan telah dipilih oleh pihak British untuk dibangunkan sebagai sebuah bandar baru terancang bagi tujuan pentadbiran dan perdagangan.

Bandar baru ini telah dicadangkan diberi nama Teluk Anson oleh Hugh Low yang merupakan Residen Perak ketika Mesyuarat Majlis Negeri pada 15 Mac 1882, sebagai penghargaan kepada General Anson yang melukis pelan pembinaan bandar tersebut. Hugh Low juga berkata bahawa nama Teluk Mak Intan terlalu panjang untuk disebutkan.

Ketika pembinaan terusan ini hendak dijalankan, pihak British telah meminta jasa baik penghulu-penghulu sekitar kawasan Hilir Perak menghantar anak buah mereka untuk berkerja membina terusan tersebut. Pembinaan terusan tersebut bermula pada tahun 1881 dan pihak British membayar upah sebanyak 20 sen sehari kepada mereka terlibat dalam pembinaan tersebut.

Walaubagaimanapun, urusan pembinaan terusan tersebut mengalami pelbagai masalah akibat peruntukan daripada kerajaan yang sering tergendala. Turut dibina dalam masa yang sama ialah jalan-jalan raya, bangunan-bangunan kerajaan dan juga kawasan perniagaan.

Sejarah Terusan Teluk Intan Yang Telah Dilupakan

Lakaran kedudukan Teluk Mak Intan, Durian Sebatang dan terusan yang digali

Menjelang tahun 1884 barulah kerja-kerja pembinaan selesai dan telah banyak memberi faedah kepada penduduk tempatan kerana tidak perlu lagi menjunjung barangan yang hendak dipasarkan. Disebutkan pada ketika itu, terusan tersebut sentiasa sesak dengan perahu, sampan, lading atau sekoci.

Namun begitu, terdapat beberapa orang pegawai tinggi British yang tidak berpuas hati dengan pembinaan terusan tersebut. Swettenham misalnya sewaktu beliau menjadi Pemangku Residen Perak, beliau telah menyatakan dalam laporan kewangan negeri bahawa pembinaan terusan tersebut tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan ianya merupakan satu kegagalan.

Tambahan pula pembinaan terusan tersebut telah menyebabkan Teluk Anson terbahagi kepada dua iaitu kedai-kedai dibahagian utara terusan dan bangunan-bangunan kerajaan serta perlabuhan Teluk Anson di bahagian selatan terusan.

Penggunaan terusan ini kemudiannya semakin merosot apabila laluan keretapi yang menghubungkan Teluk Anson ke Tapah Road dan Ipoh siap pada 1893. Laluan keretapi ini juga telah menjadi medium pengangkutan utama bijih timah dari Kinta ke perlabuhan Teluk Anson.

Sejarah Terusan Teluk Intan Yang Telah Dilupakan

Disinilah dahulunya Terusan Teluk Intan

Kerajaan negeri kemudiannya mengambil keputusan untuk mengambus terusan ini. Dalam laporan Lower Perak Half Yearly Report pada 1896 dinyatakan bahawa 400 meter padu pasir dengan tambahan 1666 meter padu pasir telah digunakan oleh Jabatan Kerja Raya. Kos yang ditanggung untuk menimbus semula terusan ini adalah sebanyak $500,000. Terusan yang ditambak ini telah dijadikan jalan raya dan dinamakan sebagai Canal Road (kini Jalan Selat).

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here