Sebuah kubu perlindungan yang ada di bawah tanah telah ditemui oleh Malaya Historical Group ketika sedang buat kajian sejarah di sekitar kawasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) pada 27 Disember 2017 yang lalu.
Berdasarkan kajian awal, kubu perlindungan bawah tanah yang ditemui oleh Malaya Historical Group ini dijangka yang ianya dibina sekitar tahun 1940 dan 1941 oleh kontraktor dari negara China. Pembinaan kubu perlindungan bawah tanah ini dibina untuk membolehkan tentera British berlindung daripada serangan udara sewaktu pendudukan tentera Jepun.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, kubu perlindungan bawah tanah yang ditemui ini berkeluasan kira-kira 9 x 9 meter lebar dengan ketinggian 2.5 meter. Sekilas pandang, ianya dianggarkan boleh memuatkan seramai antara 30 hingga 40 orang dalam satu masa.
Penemuan yang didedahkan Malaya Historical Group (MHG) ini adalah yang pertama ditemui di negara kita Malaysia dengan struktur binaan yang masih kukuh. Struktur binaannya seperti tiang, dinding konkrit serta laluan udara masih utuh dan kukuh sehingga ke hari ini.
Kebiasaannya, kubu bawah tanah yang berusia puluhan tahun akan musnah diamah usia ataupun musnah disebabkan kena serangan bom mortar. Jadi agak menarik sebenarnya keadaan kubu perlindungan bawah tanah yang ditemui di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).
Menurut Shaharom Ahmad iaitu Ketua Penyelidik Malaya Historical Group, “Penemuan ini satu peristiwa sejarah yang sangat bermakna. Dengannya kita boleh lakukan kajian lebih terperinci dari segi pembinaan dan kegunaan kubu, kerajaan serta pihak berkepentingan lain juga boleh merancang pembangunan yang sesuai agar ia terpelihara dan dijadikan satu tarikan pelancong bersifat sejarah ketenteraan”.
Sebelum ini, tiga objek peninggalan perang telah dijumpai di sekitar kawasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) berdekatan dengan kawasan penemuan kubu perlindungan bawah tanah yang dijumpai ini iaitu sebuah bangka dan dua kubu kebal yang masih berada dalam kajian Malaya Historical Group.
Diolah dan kredit kepada suaraperak.com