Setelah lebih sembilan tahun diburu, akhirnya satu sindiket yang memburu dan menjual hidupan liar secara haram telah berjaya ditumpaskan setelah empat lelaki termasuk seorang pekerja kontrak Institut Perhutanan Malaysia berjaya ditangkap oleh pasukan polis pada 11 Mac 2018 yang lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) iaitu Datuk Seri Zulkifli Abdullah ada menyatakan bahawa suspek mengaku menjual sepasang gading gajah dengan harga RM12,000. Menurutnya lagi, gading tersebut dijual dengan harga RM200 hingga ke RM400 untuk satu gram mengikut harga pasaran semasa.
Hal tersebut adalah berdasarkan maklumat yang diterima daripada suspek yang melakukan aktiviti tersebut sejak tahun 2009 lagi. Siasatan awal berjaya membawa kepada penemuan beberapa laras senjata api pelbagai jenis di sebuah rumah milik salah seorang suspek di Kampung Padang Jeri, Gerik dalam Ops Gading yang disertai 40 anggota polis bersama Perhilitan.
Terbaru lokasi gajah ditembak mati adalah di dalam kawasan Hutan Piah, Gerik yang mana jaraknya adalah lebih kurang kira-kira 15 kilometer daripada jalan utama. Pihak polis juga menemukan satu bangkai gajah jantan dewasa berusia lingkungan 30 tahun di situ.
Datuk Seri Zulkifli Abdullah Zulkifli selaku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) menyifatkan bahawa sindiket tersebut adalah sangat kejam kerana telah membunuh lebih 20 gajah liar sejak 2009 dan berjaya mengaut keuntungan kira-kira RM800,000 daripada hasil jualan gading haiwan liar tersebut.
Tambah beliau lagi, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian gajah di Hutan Piah adalah kerana luka tembakan pada bahagian kepala disebabkan oleh dua das tembakan dan bahagian punggung kanan haiwan malang itu (satu das).
Suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 40 tahun hingga 49 tahun dan salah seorang suspek memiliki dua rekod jenayah lampau. Seorang lagi daripada mereka memiliki satu rekod lampau manakala dua lagi tiada rekod jenayah lampau.
Ujian air kencing pula mendapati semua suspek negatif dadah. Antara barang rampasan termasuk wang tunai berjumlah RM10,500, empat laras senapang pelbagai jenis serta 255 butir peluru digunakan untuk menembak haiwan liar.
Turut dirampas adalah gergaji berantai dipercayai digunakan untuk memotong kepala gajah serta satu batang tanduk rusa dan tujuh tulang hidupan liar yang dipercayai tulang harimau. Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 12 Mac 2018 hingga 18 Mac 2018 untuk siasatan lanjut.
Mengikut data dikumpul sejak tiga tahun yang lalu iaiut sejak tahun 2015, populasi gajah yang masih hidup di Semenanjung Malaysia adalah sekitar 1,200 hingga 1,500 ekor sahaja manakala bilangan harimau pula hanya ada sekitar 250 hingga 340 ekor sahaja lagi.