Bazar Cross Street Jadi Tumpuan Warga Taiping Pada Malam Hujung Minggu

Warga Taiping pastinya tidak pernah melepaskan peluang bersantai di Bazar Cross Street dan Dataran Warisan pada hujung minggu. Bukan sahaja warga tempatan, Bazar Cross Street juga turut menarik pelancong untuk singgah dan menikmati suasana malam di Taiping, Bandar Warisan.

jalan alang ahmad

Bazar Cross Street ini terletak di Jalan Alang Ahmad berhadapan dengan Wisma Majlis Perbandaran Taiping. Bazar ini telah mula beroperasi pada November 2014. Jalan Alang Ahmad ini ditutup khas untuk memberi laluan kepada Bazar Cross Street yang beroperasi pada setiap hujung minggu iaitu hari Jumaat sehingga hari Ahad. Waktu operasi bazar bermula jam 6 petang sehingga 12 tengah malam.

Terdapat banyak gerai yang menarik di sini. Antaranya menjual tudung, baju, seluar, kosmetik, tali pinggang, pomade, dan pelbagai lagi. Pengunjung juga boleh membeli pelbagai makanan dan minuman yang dijual di sini. Antara menu yang menarik adalah aiskrim gulung yang diinspirasikan daripada makanan jalanan Thailand dan juga teh ais cincau.

gerai pomade

Terdapat juga gerai yang menjual kraftangan dan cenderahati berkaitan Bandar Taiping. Pengunjung boleh mencuba mencanting batik di salah satu gerai dan membawa pulang hasil cantingan anda. Pelancong daripada Jepun juga turut pernah cuba mencanting dan mewarnakan kain yang disediakan khas sempena lawatan mereka.

gerai batik

Kepada pengunjung, anda boleh menyewa kasut roda dan kereta kawalan jauh yang boleh dinaiki oleh anak-anak kecil.

kasut roda

Pengunjung juga boleh membeli makanan dan minuman sambil berehat di sekitar Dataran Warisan. Pengunjung digalakkan untuk tidak meninggalkan sebarang sampah untuk menjaga kebersihan kawasan tersebut. Untuk makluman, tong sampah telah disediakan di tapak dataran bersebelahan dengan Pejabat Tanah dan Daerah.

dataran

Pada waktu tertentu, terdapat pameran khas diadakan di sini. Antara yang pernah diadakan adalah pameran kelab kereta yang diubahsuai, pameran aksi motor, kereta mini kawalan jauh, ukiran ais oleh pengukir terkemuka, pameran pembuatan kuih tradisional, dan baru-baru ini pameran membaca. Selain itu, jika berkesempatan, anda dapat mendengar lagu daripada band dan busking. Kepada yang berminat untuk karaoke, terdapat sebuah gerai yang menyediakan aktivit tersebut.

poster

Antara program yang pernah diadakan di bazar ini adalah pemberian lemang percuma kepada orang ramai sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri selama dua tahun berturut-turut semenjak tahun 2015. Selain itu, pemberian limau percuma turut diberikan kepada pengunjung dan peniaga sempena sambutan Tahun Baru Cina. Jadi, sempena Tahun Melawat Perak 2017, semua dijemput ke Bazar Cross Street untuk memeriahkan lagi aktiviti di bazar ini pada setiap hujung minggu.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.