Alat-alat Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan alat-alat yang paling unggul dan dihormati. Alat-alat ini digunakan di dalam Istiadat Pertabalan seseorang Sultan. Di dalam Istiadat atau Upacara Kebesaran di-Raja yang lain, hanya sebahagian sahaja digunakan dan dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Batu Mestika Geliga Embun adalah merupakan salah satu alat kebesaran negeri Perak yang amat penting dalam istiadat pertabalan Sultan Perak yang berlangsung sejak dari dahulu lagi sehingga ke hari ini.
Jika anda masih ingat, azimat ini pernah yang dipersembahkan oleh Toh Seri Nara Diraja iaitu Mohd. Shah Nong Chik kepada Sultan Perak ke 35 iaitu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sewaktu istiadat Tabal Adat di Balairong Seri Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.
Kisah pada asalnya Batu Mestika Geliga Embun ini adalah semasa Almarhum Raja Mudzaffar Shah ditabalkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang pertama pada tahun 1528 di Tanah Abang yang mana Tok Temong juga hadir ke istiadat tersebut.

Kehadiran Tok Temong ke Istiadat Pertabalan tersebut turut diiiringi dengan 77 ekor gajah dari Hulu Perak untuk mempersembahkan Batu Mestika Geliga Embun ini kepada Sultan Perak yang pertama iaitu Almarhum Sultan Mudzaffar Shah.
Sebagai balasan pemberian daripada Tok Temong, Almarhum Sultan Mudzaffar Shah telah mengurniakan kepada beliau sebuah Puan Bujur (bekas sirih). Namun kurniaan daripada Almarhum Sultan Mudzaffar Shah kepada Tok Temong kemudian dipersembahkan kembali kepada baginda dan untuk menjadi alat-alat kebesaran negeri.

Tok Temong juga memohon agar baginda Sultan dapat memperkenankan beliau untuk terus memerintah di sebelah kiri mudik Sungai Perak dan meminta agar generasi Sultan Perak selepas ini menghadkan kawasannya di tebing sebelah kanan mudik Sungai Perak.
Permintaan Tok Temong diperkenankan oleh Almarhum Sultan Mudzaffar Shah sehinggalah adat tradisi ini telah dihentikan semenjak pemerintahan Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Shah I (Sultan Perak ke 28) apabila baginda membina sebuah istana di tebing kiri mudik Sungai Perak.

Batu Mestika Geliga Embun ini memaniÂfestasikan baginda berjaya dan bersama dengan Allah untuk melaksanakan pemerintahan yang adil, ibarat embun daripada air suci di awan malam. Sultan Perak juga hendaklah patuh kepada Allah serta membersihkan diri baÂginda, sama ada zahir dan batin.