Anak kelahiran Changkat Jering dari Taiping, Perak ini bukan budak sebarangan. Walaupun beliau punyai karekter yang sama seperti anak-anak lain yang sebaya dengannya namun namanya sahaja cukup digeruni dalam arena Muay Thai di persada antarabangsa.
Siapa sangka remaja ini telah mula melibatkan diri dalam Muay Thai sejak berusia 4 tahun lagi. Atas dorongan dan sokongan penuh dari ibu bapa dan keluarga, beliau mula berkecimpung dalam sukan Muay Thai dengan mendapat latihan daripada bapanya sendiri.
Amat membanggakan negeri Perak serta juga negara pada tahun 2016 yang mana pada waktu itu beliau berumur 12 tahun dan siapa sangka beliau telah berjaya menjuarai kejohanan seni mempertahankan diri Muay Thai peringkat dunia dalam kategori 12 tahun di Bangkok, Thailand.
Iskandar Zulqarnain Mohamad Ezry A’Zamin atau lebih mesra dengan nama panggilan Khuntab Iskandar sewaktu menjuari kejohanan seni mempertahankan diri Muay Thai peringkat dunia adalah merupakan salah seorang pelajar tahun enam di Sekolah Kebangsaan Changkat Jering dan hari ini beliau telah menyambung pendidikannya ke peringkat menengah.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Khuntab Iskandar berjaya muncul sebagai juara selepas berjaya menewaskan peserta tuan rumah yang bernama Tannapon Pennikorn yang merupakan tiga kali juara dunia.
Bapa kepada Khuntab Iskandar iaitu Mohamad Ezry A’Zamin Abdul Wahab rasa tidak percaya setelah anak sulungnya itu berjaya menumbangkan lawannya yang memiliki kelebihan fizikal lebih tinggi daripada Khuntab Iskandar.
Kejayaan Khuntab Iskandar dalam merangkul gelaran dunia pastinya dapat menyuntik semangat dirinya untuk terus kembangkan bakat dalam sukan tempur terbabit dan membuka mata orang ramai untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan itu.
Ibu bapa kepada Khuntab Iskandar bijak aturkan jadual harian untuk anak sulung mereka itu dalam membahagi masa untuk latihan Muay Thai dan penekanan dalam akademik juga tidak pernah diketepikan. Khuntab Iskandar akan mulakan latihan Muay Thai setiap hari selepas pulang dari sekolah.
Selepas habis berlatih Muay Thai, Khuntab Iskandar akan belajar dan menyiapkan tugasan sekolah. Pada sebelah petang pula, beliau akan keluar bermain bersama-sama rakan sebaya. Pada waktu malam, Khuntab Iskandar akan sambung belajar.
Khuntab Iskandar adalah kebanggaan seluruh anak Perak dan seluruh rakyat Malaysia. Semoga impian anak ini untuk terus menjadi seorang peninju Muay Thai professional tercapai dan kami semua disini sentiasa mendoakan kejayaan anda. Jutaan tahniah diucapkan!