Berpindah sudah lazim dengan kehidupan harian kita hari ini yang mana apabila terpaksa berpindah ke kawasan lain kerana hal-hal pekerjaan dan faktor lain.
Secara lazimnya, apabila berpindah rumah, segala perkakas di dalam rumah juga akan dipindahkan dengan menyewa lori tidak kira jauh atau pun dekat lokasi baru tersebut.
Namun hakikatnya pada hari ini, sebenarnya ramai yang lupa dan mungkin langsung tidak tahu dengan amalan usung rumah untuk berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi yang baru.
Amalan usung rumah ini sebenarnya menjadi salah satu budaya masyarakat Melayu yang bukan sahaja boleh dilihat di negara kita, malah di seluruh pelusuk Nusantara.
Amalan pindahkan rumah jika anda tidak tahu bermaksud adalah aktiviti orang ramai bersama-sama berganding bahu membantu tuan rumah untuk berpindah. Mereka akan beramai-ramai mengangkat dan mengusung rumah yang hendak dipindahkan dengan menggunakan kudrat manusia ke satu lokasi yang baru terutamanya di kawasan kampung-kampung dan tidak jauh dari lokasi yang lama.
Sejak zaman penjajahan lagi boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu akan kelihatan masyarakat Melayu bergotong-royong melangsungkan amalam tradisi usung rumah yang mana pada hari ini amat sukar untuk kita lihat kerana ianya hampir lenyap akibat arus modenisasi.
Oleh kerana kewujudan perumahan moden dan pembinaan rumah-rumah konkrit di kawasan kampung menjadi faktor kegiatan usung rumah semakin lenyap meskipun semangat gotong-royong masih segar. Lagipun kegiatan usung rumah hanya membabitkan rumah papan yang bertiang dan tidak boleh dilakukan bagi rumah batu dan konkrit.
Antara persiapan penting sebelum rumah diusung ke satu lokasi yang baru adalah mereka harus menyediakan pengalas usungan yang kebiasaannya ia diperbuat daripada buluh. Kegunaan buluh usungan itu adalah untuk memudahkan kerja-kerja mengusung rumah.
Pada mulanya, buluh-buluh akan ditebang secara bergotong-royong dan kemudian akan diikat ke setiap pelusuk rumah. Jumlah buluh yang digunakan adalah bergantung kepada saiz rumah yang ingin dipindahkan. Rumah yang bakal diusung juga perlu dikosongkan daripada segala perabot dan barangan supaya dapat mengurangkan beban mereka yang mengusungnya nanti.
Individu yang penting dalam hal mengusung rumah selain sekumpulan pengusung adalah individu yang diangkat sebagai ketua dan ianya digelar sebagai tekong.
Tekong memainkan peranan yang penting dalam menunjuk arah. Beliau juga bertanggung-jawab dalam memastikan rumah yang diusung tidak melanggar pokok atau halangan lain.
Tekong perlu prihatin dalam segala hal dan individu yang dipertanggung-jawabkan sebagai ketua itu perlu memaklumkan kepada pengusung jika terdapat halangan di hadapan termasuk bonggol, tunggul pokok atau kubang dan parit supaya para pengusung lebih berhati-hati.
Selepas berakhir kegiatan usung rumah, para peserta gotong-royong biasanya akan dijamu dengan bubur kacang atau bihun goreng selain minuman kopi. Kepuasan dapat dirasakan oleh para pengusung dan tuan rumah selepas melihat rumah yang diusung dengan penyatuan kudrat, kerjasama dan toleransi itu tiba di tapak baharu dengan sempurna.
Aktiviti berpindah rumah gaya Nusantara ini hari ini sudah jarang sekali dapat dilihat hari ini. Jika di Sulawesi, ia digelar dengan nama mappalette bola, manakala jika di jawa pula aktiviti ini dikenali dengan nama boyongan.
Di Tanah Melayu pula lain gelaran untuk aktiviti tersebut. Jika di Perlis ia dipanggil alih rumah, jika di Perak ia digelar pindah rumah dan jika di Kelantan ia digelar usung rumah.
Walau apa pun gelaran yang diberi untuk aktiviti tersebut, ianya harus diingati masyarakat kita hari ini kerana untuk jalankan aktiviti pindah rumah ini amat memerlukan semangat, kerjasama dan perpaduan yang amat tinggi.