Sultan Alauddin Mughayat Shah (Sultan Perak ke 12)

Dalam tahum 1720, setelah mangkatnya pemerintah negeri Perak yang ke 11 iaitu Sultan Mahmud Iskandar Shah, anak saudara almarhum yang bernama Raja Radin telah diangkat menjadi Sultan Perak yang ke 12.

Raja Radin adalah merupakan putera kepada Raja Mansur dan cucuanda kepada Sultan Mudzaffar Shah II (Sultan Perak ke 10). Baginda telah diangkat menjadi Sultan Perak yang ke 12 dengan gelaran Sultan Alauddin Mughayat Shah.

Geronggong menjadi lokasi tempat bersemayam buat Sultan Alauddin Mughayat Shah. Baginda bersemayam disana bersama dengan adinda baginda bernama Raja Inu yang telah diangkat menjadi Raja Muda.

Dalam sejarah Johor-Riau ada menceritakan tentang sewaktu Sultan Alauddin Mughayat Shah memerintah. Daing Merewah yang bergelar Kelana Jaya Putera, Yamtuan Muda Riau yang pertama telah datang melanggar negeri Perak.

Serangan yang dibuat oleh Daing Merewah itu telah dibantu dengan bantuan orang-orang Bugis di Selangor dalam tahun 1728. Dalam serangan itu telah memberi kesan kacau bilau dan menghuru-harakan pergerakan ekonomi di negeri Perak.

Sungguhpun serangan demi serangan dibuat oleh mereka, namun negeri Perak masih tidak dapat ditawan dan masih berdiri teguh kebal melawan musuh. Ada beberapa pandangan berpendapat bahawa Raja Inu (adinda kepada Sultan Perak) yang asalnya tinggal di Bernam telah membantu Daing Merewah menyerang Perak kerana ingin merebut takhta. Namun tidak ada sumber dan bukti yang sahih.

Sultan Alauddin Mughayat Shah mangkat dalam tahun 1728 dan telah dimakamkan di Geronggong dan baginda telah digelar sebagai Marhum Sulong. Makam almarhum pernah jatuh ke sungai Perak dan telah dipindahkan ke darat serta dibaikpulih sewaktu zaman pemerintahan Sultan Idris II.

Leave a Comment