Masjid Jamek Ar-Ridzuan Serah Urusan Pembelian Tanah Wakaf kepada MAIPk
Pengurusan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu memilih pendekatan bijak dengan menyerahkan sepenuhnya urusan pembelian tanah wakaf kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi memastikan kelancaran proses penebusan hak milik secara sah dan teratur.
Pengerusi masjid, Yusuf Majid, berkata pihaknya akan mengemukakan surat rasmi kepada MAIPk dalam masa terdekat untuk memohon pengambilalihan sepenuhnya urusan pembelian, termasuk aspek rundingan guaman.
“Kami ingin pastikan segala proses berjalan lancar, mengikut prosedur yang ditetapkan oleh institusi Islam negeri,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut Yusuf, hasil perbincangan awal dengan MAIPk menunjukkan bahawa proses pengambilalihan tanah tersebut boleh dilaksanakan secepat mungkin, bergantung pada penyelesaian urusan teknikal dan undang-undang.
Kutipan Derma Melebihi Sasaran
Berita berkenaan masjid ini mendapat perhatian ramai umat Islam di Malaysia yang akhirnya menyebabkan banyak kempen untuk mendapatkan sumbangan bagi menyelamatkan masjid ini diadakan. Menurut laporan dari Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) semalam, kutipan derma melalui akaun rasmi masjid telah mencecah RM2.1 juta, melebihi harga tawaran asal tanah berkenaan iaitu RM1.8 juta.
“Semua urusan pembayaran dan pengagihan akan mengikut peraturan MAIPk. Sebelum ini, kami tidak membayar sebarang deposit, hanya bergantung pada perjanjian lisan dengan pemilik tanah,” jelas Yusuf.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak masjid telah menyampaikan hasrat mereka kepada pemilik tanah bukan Islam yang memiliki lot bersebelahan masjid dan tanah perkuburan bagi memudahkan proses penebusan hak milik kepada MAIPk.
Langkah ini diharap dapat memastikan tanah wakaf tersebut kekal sebagai milik institusi Islam, sekaligus memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat.
Beliau turut berharap seluruh umat Islam di Malaysia khususnya penduduk Alor Pongsu agar terus mendoakan agar segala urusan pembelian tanah wakaf itu dipermudahkan ALLAH SWT demi memastikan tanah yang menjadi tempat ibadat umat Islam itu akhirnya kembali ke tangan yang berhak.