Pada awal abad yang ke 16 iaitu bersamaan dengan dalam lingkungan tahun 1500 hingga tahun 1600, lahirlah sebuah negeri yang berdaulat dan hebatnya masih kekal sehingga ke hari ini iaitu negeri Perak.
Untuk tahun yang lebih tepat lagi adalah sewaktu negeri Perak dapat sultan yang pertama pada tahun 1528. Disebalik sebuah negeri yang berdaulat terdapat seorang sultan yang hebat!
Kisah penceritaan terbitan kali ini adalah berkisahkan tentang seorang individu yang warak dalam agama dan yang telah diangkat menjadi sebagai penasihat agama Islam buat Sultan Perak yang pertama iaitu Sultan Muzzafar Shah I.
Penasihat agama Islam yang pertama buat Sultan Perak ini tidak lain tidak bukan adalah seorang ulama yang bernama Syed Husain Al Faradz Jamalullail.
Syed Husain Al Faradz Jamalullail adalah seorang ulama dan ilmuwan yang ada gelaran al-Alawiyyin. Tahukah anda apakah maksud buat gelaran al-Alawiyyin? Al-Alawiyyin ialah gelaran kepada mereka yang memiliki keturunan dan pertalian darah dengan Rasul Allah SWT yang ke 25 dan yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW.
Ulama yang bernama Syed Husain Al Faradz Jamalullail datang dari sebuah lembah di negeri Yaman yang mana lembah ini adalah yang paling subur jika dibandingkan dengan kawasan Yaman lain yang kebanyakannya terdiri dari padang pasir.
Kawasan lembah asal usul penasihat agama pertama Sultan Perak ini dikenali dengan nama Hadramaut yang mana disana juga adalah merupakan negara asal dan tempat tinggal buat Nabi Hud dan Nabi Saleh.
Beliau yang berasal dari kawasan dan berketurunan hebat ini datang ke dunia melayu nusantara pada awal abad ke 16 dengan bertujuan untuk mengembangkan ajaran agama Islam.
Pada waktu itu, negeri Perak sudah menjadi negeri yang berdaulat dengan pemerintahan Sultan Muzzafar Shah I sebagai Sultan Perak yang pertama. Syed Husain Al Faradz Jamalullail telah diberi penghormatan dengan lantikan sebagai Orang Kaya Menteri, dan Penasihat Agama kepada baginda Sultan Muzzafar Shah I, Sultan Perak pertama.
Dengan kedudukan, jawatan dan penghormatan yang diberi oleh Sultan Perak yang pertama kepadanya, beliau boleh menjalankan usaha-usaha dakwah menyebarkan agama Islam di kawasan nusantara terutamanya di negeri Perak dengan lebih berkesan dan beliau juga mempunyai peranan yang penting dalam pentadbiran negeri Perak berlandaskan undang-undang mengikut ajaran agama Islam.
Antara pembaharuan yang dibawa oleh ulama hebat ini ke dalam negeri Perak pada waktu itu adalah pengenalan beberapa prinsip keadilan yang terkemudian dijadikan sebagai Undang-undang 99 negeri Perak.
Undang-undang ini mengandungi ilmu yang dibawa dari luar negeri tetapi telah diubahsuai mengikut keadaan tempatan semasa itu. Untuk rujukan anda, undang-undang ini bukanlah satu kanun undang-undang yang komprehensif, tetapi di zaman itu merupakan usaha awal meningkatkan tahap tadbir urus yang baik dalam pemerintahan kerajaan di Perak.
Undang-undang 99 negeri Perak digunakan sejak dari zaman tersebut sehinggalah digantikan dengan undang-undang yang di bawa oleh British pada awal abad 20. Sepanjang zaman penggunaan undang-undang 99 negeri Perak, ianya sentiasa digubal mengikut kesesuaian masa dan penerimaan masyarakat. Hal ini kerana masyarakat melayu pada waktu itu juga masih berpegang kuat pada adat.
Setiap yang hidup, pasti akan meninggal dunia. Sedih satu negeri Perak pada waktu Syed Husain Al Faradz Jamalullail meninggal dunia menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam lingkungan tahun 1580.
Pada waktu itu, ianya adalah pada waktu zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Shah (Sultan Perak yang ke 3). Jika anda ingin menziarah Kubur Syed Husain Al Faradz Jamalullail, anda bolehlah ke pekan kecil Kota Bharu yang terletak di Gopeng, Perak.
Makam beliau terletak di dalam kawasan lombong bijih timah di Tebing Tinggi, Kuala Teja. Agak sukar untuk menuju dan menziarah ke kawasan makam Syed Husain Al Faradz Jamalullail dan anda dinasihatkan untuk rujuk dan bertanyakan kepada penduduk setempat (Kampung Lalang, Kota Bharu di Gopeng) untuk ke sana.
Keturunan Syed Husain Al Faradz Jamalullail yang telah lama menapak di negeri Perak melebihi 500 tahun lamanya dan kini ianya adalah melebihi 17 generasi. Keluarga besar Syed Husain Al Faradz Jamalullail Perak hari ini yang mengandungi keturunan Syed, Meor, Wan dan lain-lain merupakan antara keluarga yang paling tua dan paling besar di dalam negeri Perak.