Manjoi ialah sebuah kampung di timur laut dari bandaraya Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Dalam Pelan Perancangan Bandaraya Ipoh 1985, Kampung Manjoi dikeluarkan dari pelan tersebut kerana ramai penduduknya tidak bersetuju terutama sekali untuk bayaran cukai pintu, cukai tanah, yuran kutipan sampah dan sebagainya. Lantaran itu Kampung Manjoi kekal terbiar lebih 20 tahun berbanding dengan kemajuan bandar Ipoh.
Kampung ini telah diasaskan oleh Uda Kidan pada tahun 1900. Uda Kidan berasal dari Bota, Perak. Dia bersama-sama dengan beberapa sahabatnya telah membuka tanah di luar Ipoh ini untuk memulakan kehidupan yang baru.
Menurut penduduk disana, Perkataan Manjoi diambil sempena nama Datuk kepada Uda Kidan yang bernama Tok Manjoi. Beliau dikatakan adalah seorang yang amat warak dan alim.
Uda Kidan dikatakan sangat rapat dengan datuknya itu. Tok Manjoi pernah berpesan kepada cucunya itu supaya menjaga tanah di sini dan memastikan pendudukan tidak bertelagah sesama sendiri.
Ada juga cerita yang menyatakan nama Manjoi ini diambil dari nama isteri Uda Kidan, yang digelar Manja. Perkataan manja apabila disebut dengan dialek Parit, bunyinya pekat manje’ dan lama-kelamaan akhirnya perkataan tersebut menjadi Manjoi.
Tidak lama kemudian, ramai penduduk, terutamanya dari Parit dan Bota berhijrah ke sini. Kampung Manjoi menjadi bertambah besar dan mula dikenali sebagai penempatan Melayu di Ipoh.
Apabila jumlah penduduknya bertambah, terutamanya selepas kerajaan bersetuju untuk memberi hakmilik sementara kepada penduduknya, lebih banyak kampung dibuka di sini.
Sehingga kini, Gugusan Manjoi adalah penempatan Melayu di bandar yang paling besar di Perak dan juga di Malaysia. Gugusan Manjoi kini didiami oleh lebih 40,000 penduduk yang meliputi kawasan seluas hampir 600 hektar.
Gugusan yang meliputi Kampung Manjoi, Kampung Tengku Hussein, Kampung Sungai Tapah, Kampung Dato’ Ahmad Said dan Kampung Jelapang Baru ini sedang mengalami proses perubahan wajah.