Tuan H.C. Eckhard, Pembesar Istana Perak Pertama Dari Keturunan Eropah
Pada awal tahun 2020 yang lalu sewaktu kami ahli orang Perak sedang menjalankan aktiviti jelajah kawasan bersejarah di Kuala Kangsar, kami terkejut apabila terlihat sebuah makam orang Islam dengan nama Eropah di sekitar Makam Diraja Al Ghufran, Kuala Kangsar.
Sepertimana yang kita tahu, kawasan makam Al Ghufran cukup terkenal di negeri Perak kerana ia menempatkan makam-makam Sultan Perak dan juga untuk golongan pembesar serta kerabat diraja negeri Perak.
Menambah persoalan lagi adalah pada bahagian kepuk kubur tersebut pula ada dinyatakan bahawa Tuan H.C. Eckhard juga telah dilantik sebagai Pengelola Bijaya Diraja (Comptroller of the Royal Household) oleh Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30).

Ia adalah satu perkara yang cukup menarik untuk dikongsikan kepada semua kerana rupa-rupanya pada waktu itu jawatan pembesar juga boleh dikurniakan oleh Sultan Perak kepada orang bukan Melayu.
Malang sekali, tidak ada sebarang maklumat berkenaan dengan pemilik makam ini dan kami hanya mengambil gambar lantas hanya buat carian maklumat melalui internet apabila aktiviti tamat.
Setelah carian di internet dibuat, akhirnya hanya ada satu-satunya sumber maklumat yang boleh diperoleh dari laman Sembang Kuala yang dikelola oleh waris dan kerabat diraja Sultan Perak.
Tuan Eckhardt yang juga dikenali sebagai H.C. Eckhardt dilahirkan pada tarikh 27 April 1877. Beliau adalah merupakan seorang Inggeris berketurunan Jerman yang mana datuk neneknya berasal dari Frankfurt.

Terdapat dua surat yang diterbitkan dalam akhbar New Straits Times oleh anaknya iaitu Ahmad Aris Eckhardt yang menyatakan bahawa ayahandanya adalah merupakan seorang yang sangat bijak dalam matematik meskipun beliau merupakan sarjana dalam bidang kesusasteraan dari University of Cambridge.
Tuan Eckhardt menjalani kerjaya yang panjang dan menarik di Tanah Melayu. Bermula dalam tahun 1899 di Kajang sebagai Penolong Pegawai Daerah dan majistret kelas kedua.
Sejak dari tahun 1911 sehingga tahun 1928 pula, beliau telah memegang jawatan sebagai Penasihat British untuk negeri Perlis, negeri Kelantan dan negeri Kedah.

Dalam tahun 1924, beliau telah menulis sebuah buku yang bertajuk “Land Administration and Land Laws” di Kedah. Dalam tahun yang sama juga beliau telah berkahwin dengan seorang wanita Melayu Kelantan yang bernama Che Wan Fatimah dan sejak itu, beliau dikenali sebagai Aris bin Abdullah selepas memeluk agama Islam.
Sebelum perlantikannya sebagai Dato Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) dalam tahun 1932, Tuan Eckhardt adalah merupakan Komisioner Perdagangan Dan Kastam serta Pengerusi Suruhanjaya Pemberhentian Kerja bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Jawatan Dato Pengelola Bijaya Diraja Perak “The Comptroller of the Royal Household of Perak” adalah merupakan jawatan baru yang diwujudkan yang mana beliau menjawat jawatan berkenaan sejak bersara dari Perkhidmatan Awam Malaya “Malayan Civil Service” sehingga ke akhir hayatnya.
Beliau telah menyumbang bakti berkhidmat kepada tiga Sultan Perak sepanjang hidupnya iaitu sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30), Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) dan Almarhum Sultan Yusuf Izzudin (Sultan Perak ke 32).
Tugasnya sebagai Dato Pengelola Bijaya Diraja Perak adalah untuk memastikan pentadbiran dan segala urusan di Istana Perak berjalan dalam keadaan lancar dan teratur.

Segala perkara yang melibatkan pendidikan dan kebajikan anakanda Sultan dan keluarga diraja Perak sentiasa dekat di hatinya dan beliau sentiasa memastikan bahawa setiap tugasnya akan dilaksanakan dengan baik.
Tuan Eckhardt terus berkhidmat kepada Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) meskipun selepas Almarhum mangkat dengan kapasiti beliau sebagai Pegawai Tadbir Harta Almarhum Sultan Iskandar.

Beliau telah kembali ke rahmatullah pada tarikh 1 Julai 1955 dan telah diberi penghormatan oleh Sultan Perak untuk dikebumikan di Makam Diraja Al-Ghufran, Kuala Kangsar.
Rujukan:
- Laman Web Sembang Kuala