25 C
Ipoh
Thursday, 5 December 2024

Hari Buruh Pertama Malaya Disambut Di Ipoh

- Advertisement -
- Advertisement -

Sebut sahaja tentang Hari Buruh, boleh dikatakan semua rakyat Malaysia tahu bahawa Hari Buruh merupakan hari cuti umum bagi semua pekerja di Malaysia. Namun tahukah anda tentang sejarah atau asal-usul Hari Buruh ini? Untuk makluman pembaca setia orangperak.com, pada asalnya Hari Buruh yang disambut di negara kita sehingga kini dipanggil dengan nama May Day. Pasti ramai pembaca-pembaca orangperak.com yang masih belum mengetahui tentang sejarah dan asal usul May Day ini.

Justeru itu, dalam artikel kali ini, orangperak.com akan mengupas mengenai sejarah dan asal-usul May Day di Malaysia. Hari Buruh atau May Day yang kita sambut pada 1 Mei setiap tahun sebenarnya telah disambut buat pertama kali di Malaya pada tahun 1921 oleh golongan anarkis di Ipoh, Perak. Perhimpunan besar May Day pertama dalam sejarah Malaya itu telah dihadiri oleh para pekerja dan pelajar di Ipoh.

Dalam sejarah negara kita, kelompok anarkis dari China sudah mula bertapak di Malaya seawal tahun 1908 lagi. Bagi para pembaca orangperak.com yang tidak mengetahui apa itu anarkis, anarkis adalah istilah untuk orang-orang yang menganut fahaman anarkisme. Anarkisme adalah sebuah teori politik yang bertujuan untuk menciptakan masyarakat tanpa hierarki baik dalam politik, ekonomi, dan juga sosial. Para Anarkis berusaha mempertahankan bahwaa anarki, ketiadaan aturan-aturan, adalah sebuah format yang dapat diterapkan dalam sistem sosial dan dapat menciptakan kebebasan individu dan kebersamaan sosial. Para anarkis melihat bahawa tujuan akhir dari kebebasan dan kebersamaan sebagai sebuah kerjasama yang saling membangun antara satu dengan yang lainnya.

Di bawah ini merupakan empat contoh keyakinan kaum anarkis:

  1. Anarkisme adalah sebuah sistem sosialis tanpa pemerintahan. Ia dimulai di antara manusia, dan akan mempertahankan vitaliti dan kreativitinya selama merupakan pergerakan dari manusia (Peter Kropotkin).
  2. Penghapusan eksploitasi dan penindasan manusia hanya boleh dilakukan melalui penghapusan kapitalisme yang rakus dan pemerintahan yang menindas (Errico Malatesta).
  3. Kebebasan tanpa sosialisme adalah ketidakadilan, dan sosialisme tanpa kebebasan adalah perbudakan dan kebrutalan (Mikhail Bakunin).
  4. Kami tidak perlu merangkul dan menggantungkan hidup kepada pengusaha kaya sebab di penghujungnya mereka untung dan kami buntung. Tanpa mereka, kami tetap boleh mengorganisasikan pertunjukan, acara, demonstrasi, menerbitkan buku dan majalah, menerbitkan rakaman, membahagikan sastera dan semua produk kami, mengadakan boikot, dan mengambil bahagian dalam aktiviti politik. Dan kami dapat melakukan semua itu dengan baik (O’Hara).

Hari Buruh Pertama Malaya Disambut Di Ipoh

Pada tahun 1918, kolektif anarkis Chan-she dari Truth Society mula ditubuhkan di Singapura, Kuala Lumpur dan Ipoh untuk menyebarkan karya-karya, buku-buku dan risalah-risalah tentang anarkisme. Berikut merupakan antara tajuk-tajuk buku anarkis yang telah diterbitkan di Malaya dalam bahasa Cina pada masa tu:

  • Anarchism and Socialism
  • The Philosophy and Ideas of Anarchism
  • Simple Explanations of Anarchism
  • Conversations Regarding Anarchism for Working Men
  • The Principle of Working Men’s Unions

Golongan anarkis juga turut menerbitkan akhbar berbahasa Cina yang pertama di Kuala Lumpur, iaitu suratkhabar Yik Khuan Poh yang bermaksud ‘to benefit the masses’ yang mula diterbitkan pada bulan Mac 1919. Untuk makluman pembaca setia orangperak.com, akhbar Yik Khuan Poh ini telah diiktiraf sebagai suratkhabar paling radikal di Malaya pada ketika itu. Editor akhbar ini merupakan seorang anarkis yang bernama Goh Tun-ban. Beliau rajin menyebarkan idea-idea mengenai anarkisme di dalam akhbar Yik Khuan Poh.

Pada tarikh 1 Mei 1919, Goh Tun-ban telah menerbitkan sebuah rencana khas di dalam ruangan akhbar Yik Khuan Poh tentang gerakan buruh di seluruh dunia, khas untuk menyambut May Day pada tahun itu. Penyebaran idea-idea anarkisme yang semakin meluas mula membuat penjajah British khuatir dan bimbang bahawa idealogi ini boleh menggugat kedudukan mereka. Disebabkan itu, pada bulan Julai 1919 pihak British telah menangkap Goh Tun-ban. Goh Tun-ban dipenjarakan di penjara Pudu dan kemudiannya dihukum buang negeri pada bulan November 1919 kerana aktiviti anarkisme tersebut.

Pada tahun 1919 juga, kolektif-kolektif anarkis dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Seremban dan Singapura telah menubuhkan jaringan Malayan Anarchist Federation (MAF) untuk tujuan menyebarkan idea-idea anarkisme di seluruh Malaya. Salah satu objektif MAF ialah untuk menerbitkan risalah-risalah May Day pada Hari Buruh yang jatuh pada tarikh 1 Mei setiap tahun. Antara risalah yang mereka terbitkan bertajuk “The Power of the Proletariat”.

Hari Buruh Pertama Malaya Disambut Di Ipoh

Pada tanggal 1 Mei 1921, di Ipoh, Perak, golongan anarkis telah berjaya menganjurkan perhimpunan Hari Buruh ‘May Day’ yang pertama dalam sejarah Malaya. Inilah salah satu sumbangan besar golongan anarkis dalam sejarah negara kita yang tidak patut dilupakan. Malah terdapat satu lagi legasi kesan daripada gerakan anarkis di Malaya iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Penjajah British yang merasa tergugat dengan risalah-risalah, akhbar-akhbar dan buku-buku anarkis pada masa itu telah menggubal akta undang-undang ‘Printing Presses Ordinance 1920’ sebagai salah satu cara dan senjata untuk menyekat penerbitan dan penyebaran idea-idea anarkisme.

Ordinan tahun 1920 ni kemudian diubah menjadi ‘Printing Presses Act 1948’ dan seterusnya digubal lagi sekali kepada ‘Printing Presses and Publications Act 1984’. Dalam bahasa melayunya, ‘Printing Presses and Publications Act 1984’ ini bermaksud Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Sehingga kini, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 masih diguna pakai oleh pihak pemerintah untuk menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara di Malaysia.

Akhir kata dari orangperak.com, marilah kita sama-sama memperingati sumbangan golongan anarkis dalam melahirkan dan mempelopori tradisi gerakan kiri dan gerakan buruh di Malaysia sehingga berjaya menjadikan tarikh 1 Mei pada setiap tahun sebagai hari cuti umum yang dapat dinikmati oleh semua rakyat seluruh Malaysia pada masa kini.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here