Raja Billah adalah seorang kerabat Diraja Mandailing merupakan seorang yang berpengaruh dan kaya. Beliau telah membina sebuah rumah agam yang dikenali sebagai Istana Billah. Rumah agam tersebut kini masih berdiri gah di Papan, Perak.
Istana Billah mempunyai reka bentuk sebuah rumah agam papan yang amat mengagumkan. Dekoratif seni reka dalaman menarik juga kemas adalah satu tanda kesinambungan seni reka rumah besar raja masyarakat Mandailing ataupun Bagas Godang.
Istana ini terletak di atas sebuah bukit dan tersergam indah. Ia amat mempersonakan serta menunjukkan keagungan Raja Billah sebagai bangsawan Diraja yang berketurunan Sumatera.
Raja Billah membuat rumahnya di Perak adalah sebagai tempat untuk menghabiskan saki baki kehidupannya yang terakhir. Pembinaan istana ini siap sepenuhnya pada tahun 1896. Sehingga kini, rumah agam ini dilihat sebagai bangunan yang paling besar di Pekan Papan, Perak.
Oleh kerana Raja Billah ini adalah penghulu di Papan pada ketika itu, rumah Raja Billah ini juga berfungsi seperti Sapo Godang iaitu rumah untuk para bangsawan bersidang.
Dari segi sejarah, ia telah digunakan untuk majlis perkahwinan, menyambut perayaan dan sambutan majlis lain. Namun yang paling penting, motif utama pembinaan Istana Billah ini adalah sebagai pusat musyawarah dan pertemuan bagi masyarakat Mandailing dan kaum Muslim dari wilayah Kinta Barat.
Kebanyakkan dari mereka akan bertemu dengan Raja Billah bagi membincangkan masalah yang dihadapi dan mengutarakan cadangan-cadangan pembangunan khususnya selepas Solat Jumaat di Masjid Lama Papan.
Penduduk di sekitar Istana Billah ini sebilangan daripadanya menganggap rumah ini mempunyai pelbagai misteri dan fenomena yang aneh, ini dibuktikan dengan usia rumah ini yang begitu lama, usang dan jarang diurus dengan baik oleh waris-waris keturunan Raja Billah, masyarakat Mandailing ataupun pihak berkuasa.
Kini, terdapat pintu zink dan berpagar berkunci yang mengelilingi halaman rumah agar orang luar tidak mencerobohinya dari melakukan aktiviti tidak bermoral.
Istana Billah juga cukup terkenal dengan fenomena paranormal dan kewujudan makhluk halus seperti yang pernah digembar-gembur menerusi penghasilan drama produksi televisyen Warkah Terakhir dan juga filem dokumentari Penunggu Istana yang mendapat tayangan meluas di panggung wayang di seluruh Malaysia.
Jika anda ada info tambahan atau pembetulan berkenaan info yang diberi diatas, bolehlah komen dibawah agar segala ralat dapat diperbetulkan dan info tambahan dapat dikemas kini.
Rumah agam indah tesergam,
Dimakan usia semakin usang.
Warisan lama harus digengam,
Jangan dilupa pusaka moyang.