Nama-nama seperti Aisyah Haji Bohari, Hartina Binti Haji Kamarudin, Azlina Jailani, Siti Fatimah Tan dan banyak lagi mungkin sudah tidak diingati oleh orang Islam yang mana nama mereka begitu popular pada satu ketika dahulu. Walaupun begitu, nama-nama inilah yang sering bermain di bibir masyarakat kita pada hari ini apabila membicarakan tentang isu-isu murtad di kedai kopi.
Gaya hidup yang tidak memberi penekanan hidup beragama telah mendedahkan orang Islam kepada kerapuhan iman. Akhirnya keyakinan terhadap ALLAH itu akan terhakis dari semasa ke semasa. Kemuncak krisis keyakinan terhadap ALLAH ini adalah tindakan seseorang ke arah murtad.
Kisah yang ingin didendangkan di orangperak.com kali ini mungkin akan membangkit isu sensitif buat pembaca bukan beragama Islam, namun kami percaya anda semua sudah cukup dewasa dan matang berfikir untuk menerima yang artikel ini bukanlah bertujuan untuk membangkitkan isu perkauman tetapi ada pengisiannya yang tersendiri dan mampu memberi manfaat.
Berbalik pada kisah kes murtad yang paling sedih di Perak yang ingin didendangkan kepada semua pembaca setia untuk dijadikan sebagai ingatan kali ini adalah berkenaan dengan kisah seorang wanita yang bernama Hartina Binti Haji Kamarudin dan dikatakan berasal dari Kampar, Perak.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Hartina Binti Haji Kamarudin dilahirkan pada 15 Mac 1974 di Kampar, Perak. Beliau mendapat pendidikan peringkat rendah dan menengah di Sekolah Kebangsaan Methodist (ACS) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS) di Kampar, Perak.
Watak utama dalam penceritaan ini iaitu Hartina merupakan anak kedua daripada empat adik beradik. Akan tetapi, yang pertama telah meninggal dunia sejak umur 15 hari lagi. Maka dengan itu, Hartinalah yang menjadi anak sulung dalam keluarga.
Ayahnya iaitu Haji Kamarudin adalah penjual sate di Kampar, Perak. Kisahnya bermula apabila sewaktu Hartina berusia 18 tahun, beliau pergi ke Kuala Lumpur setelah mendapat tawaran kerja di bank di Jalan Klang lama. Namun apa yang berlaku selepas merantau keluar dari negeri Perak, Hartina akhirnya pulang berjumpa bapanya dalam keadaan murtad dan turut membawa teman lelakinya bersama.
Kawan-kawan teman lelakinya juga turut ikut menemani untuk berjaga-jaga jika ada perkara buruk berlaku. Dikatakan pada waktu itu Haji Kamarudin terus marah dan memukul teman lelaki anaknya Hartina lantas selepas itu, Haji Kamarudin pula yang dipukul beramai-ramai oleh kawan kepada teman lelaki Hartina.
Adik lelaki Hartina yang pada masa itu berumur 16 tahun turut dibelasah hanya kerana hendak menyelamatkan akidah kakaknya depan kedai tempat bapanya meniaga. Anda tertanya-tanya apakah reaksi dan tindakan Hartina pada waktu itu? Apa yang Hartina buat amatlah sedih dan mengejutkan.
Tidak wajar seorang anak yang dibela dengan kasih sayang membiarkan bapanya terbaring kesakitan dibelasah. Malah tidak cukup dengan itu, Hartina cuma membantu dan memapah kekasihnya untuk berlalu pergi dari sana. Mereka juga turut membuat laporan polis dengan menyatakan bahawa Haji Kamarudin memukul teman lelakinya.
Hasil tindakan Hartina membuat laporan polis, Haji Kamarudin disumbat ke dalam lokap selama 14 hari bersama-sama dengan anak lelakinya tadi demi mempertahankan akidah anak perempuan kesayangan dan harapan keluarga itu. Hartina juga turut menfailkan saman terhadap bapanya sebanyak RM3 juta.
Bapa mana yang boleh cekal hatinya apabila dilakukan sedemikian oleh anaknya sendiri? Selepas itu, Hartina dikatakan telah berkahwin pada 24 Mac 1996 dengan teman lelakinya selepas itu berpindah ke Australia dan menetap disana mungkin sehingga ke hari ini. Hartina juga turut menukarkan namanya kepada Nivasni Rajeswari.
Buat keluarga Hartina, untuk mengenang kembali peristiwa yang pernah berlaku pada tahun 1996 dahulu memang amat menyakitkan hati. Namun mereka cekal dan menggagahkan hati untuk bercerita kembali hanya untuk sebagai teladan kepaÂda ibu bapa dan anak-anak muda lain diluar sana.
Di Malaysia, undang-undang mengenai murtad terdapat dalam beberapa bentuk iaitu sebagai kesalahan cubaan murtad sebagaimana yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah di beberapa negeri seperti Perak, Melaka, Kelantan, Sabah, dan Negeri Sembilan.
Mahkamah syariah juga diberi bidang kuasa secara spesifik untuk mengisytiharkan seseorang itu tidak lagi beragama Islam. Manakala memurtadkan orang Islam pula telah dijadikan suatu kesalahan di bawah Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam.
Masalah murtad ini perlu ditangani secara bersepadu dan berhemah oleh semua pihak. Pihak berkuasa, keluarga, institusi agama NGO dan masyarakat sekeliling memainkan peranan penting bagi membanteras gejala murtad ini.
Pendekatan yang berhemah dan berterusan juga amat penting bagi keberkesanan dakwah dan mengelakkan orang Islam dari murtad. Pengukuhan aqidah, ibadah dan akhlak boleh diterap kepada umat Islam melalui undang-undang dan pendidikan. Keduanya harus berjalan seiring bagi memastikan keberkesanan dakwah Islam.