Menurut kisah dari orang lama, nama asal bagi Sungkai ialah Kampung Kelompong. Terdapat banyak versi mengenai asal usul nama Sungkai. Mengikut sejarah, nama Sungkai diambil bersempena dengan nama sejenis pokok liar yang tumbuh di kawasan kampung dan sekitar Sungai Sungkai iaitu Pokok Sesungkai. Secara fizikalnya, teras batang pokok ini lembut seperti pokok ubi dan daunnya pula seperti daun pokok mengkudu.
Selain itu, orang tua-tua dahulu amat gemar mengambil batang pokok Sesungkai ini untuk dibuat tiang jambo (pondok kecil yang biasanya dibuat di dusun durian atau kebun) kerana tiang tersebut boleh bertahan lama.
Kampung Kelompong merupakan salah sebuah kampung lama yang terdapat di Sungkai selain Kampung Tiang Bertarah, Kampung Changkat Sulaiman, Kampung Perlok, Kampung Buluh Telor dan lain-lain.
Pohon yang banyak dijumpai ini bernama Pokok Sesungkai. Oleh kerana batangnya yang lurus, kayu pohon ini sering dijadikan kayu penahan tebing sungai daripada roboh. Dengan ini, air sungai dapat mengalir terus.
Versi lain pula menyatakan bahawa nama Sungkai mungkin lahir daripada perkataan Sungkai yang bermaksud Berbuka Puasa yang merupakan bahasa suku kaum dari Sumatera.
Dikatakan mereka ini telah tiba ke kampung tersebut dalam bulan puasa ketika sedang hendak berbuka puasa. Kehadiran orang-orang dari Sumatera dipertengahan abad ke didorong akibat kekerasan pemerintahan Belanda.
Terdapat juga yang mengatakan kawasan Sungkai dibuka oleh Tok Bikam yang berasal dari Kampar, Sumatera. Kedatangan orang-orang Sumatera ini melalui sungai-sungai yang berkuala di Teluk Mak Intan. Pelayaran dari Teluk Mak Intan ke Kampung Tiang Bertarah menggunakan sampan Ketiap memakan masa hampir 3 hari.
Perhubungan kepulauan Sumatera dan Sungkai serta tempat-tempat lain di negeri ini terjalin melalui dengan aktiviti perdagangan. Barangan dari kepulauan tersebut, terutamanya dari Sumatera ialah tembakau, kopi, nila, ikn masin, ikan masin (ikan peda) dan ditukarkan dengan barangan tempatan dari hutan seperti rotan, damar, atap, gambir dan sebagainya.
Kemudian kedatangan orang-orang Cina dan India menjadikan Sungkai sebagai penempatan yang majmuk. Juga versi akhir mengenai asal nama Sungkai ialah ianya berasal daripada perkataan Cina yang bermaksud kayu ayam.
Seorang peniaga Cina yang datang membeli ayam di kawasan ini telah mengandar ayam dengan kayu. Sung dalam bahasa Cina ialah kay’ dan Kai ialah ayam.
Antara sejarah penting yang berlaku disini ialah perkampungan baharu dibuka untuk kaum Cina sewaktu zaman darurat berlansung. Kaum india pula ditempatkan di ladang-ladang getah pada awal abad ke 20.
Kampung-kampung dalam kawasan Sungkai seperti Kampung Perlok, Menderang, Changkat Sulaiman dan Kampung Buluh Telur mempunyai kisah-kisah yang tersendiri. Kampung Perlok dikatakan berasal dari perkataan golok emas (perkataan orang Asli).
Kampung Buluh Telur pula mendapat nama daripada sejenis pohon buluh. Kampung Tiang Bertarah pula masyhur dengan kisah pokok asam gelugor yang ditarah untuk membuat tiang rumah tiba-tiba hilang tertanam.
Kononnya, ia mempunyai hubungan dengan Sultan Perak. Kampung Changkat Sulaiman pula sempena nama Datok Sulaiman yang datang membuka kampung tersebut. Hingga kini, masih terdapat kuburnya disitu.
Sungkai mempunyai sejarahnya yang tersendiri kerana mengikut cerita orang tua-tua dahulu, di Sungkai ini dahulunya raja Perak dikatakan mempunyai kaitan dengan Puteri Buih kerana sultan Perak telah mengahwinkan anaknya dengan Puteri Buih yang dikatakan datang daripada golongan orang bunian. Oleh hal yang demikian, sebagai tanda kebesaran Puteri Buih itu, maka perjanjian telah dibuat di antara pihak Panglima Hitam dengan pihak sultan dan dua syarat telah ditetapkan iaitu 7 keturunan cucu cicit Puteri Buih ini dilarang memijak tanah Sungkai tanpa adat istiadat diraja yang beralaskan kain kuning dan tidak boleh meminum air yang berpunca daripada Sungai di Mukim Sungkai.
Sekiranya perkara ini dilanggar, maka sesuatu bencana atau malapetaka akan menimpa tanah Sungkai. Hal ini tidak tidak diketahui sejauhmana kesahihannya sehinggalah membawa kepada satu peristiwa pada 15 tahun lepas apabila Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah datang ke Sungkai untuk merasmikan masjid jamek di salah sebuah kampung di Sungkai.
Sesudah baginda sampai di Sungkai, dan memijak tanah Sungkai dengan tidak semena-mena telah berlakunya ribut dan angin yang sangat kuat di tanah Sungkai sehingga menyebabkan 20 buah rumah di beberapa kampung di Sungkai mengalami kerosakan yang serius.
Selain itu, kejadian yang mengukuhkan lagi fahaman terhadap sumpahan Puteri Buih terhadap keturunan raja Perak ini berlaku sekali lagi sewaktu Raja Muda Perak iaitu Raja Dr Nazrin Syah (kini Sultan) datang berbuka puasa di Masjid Sungkai pada tarikh 12 Ogos 2012.
Dikatakan pada ketika itu baginda telah membawa air sendiri dari istana baginda untuk dibuat air bagi mengambil wuduk. Hendak ditakdirkan, selepas sahaja baginda berangkat pulang dari Sungkai tidak kurang dalam sepuluh minit selepas keberangkatan pulang baginda itu, tanah Sungkai sekali lagi dilanda ribut yang amat kuat sehingga menyebabkan Sekolah Menengah Sungkai dan beberapa buah rumah di sekitar Sungkai menghadapi kerosakan yang agak teruk.
Hal ini diperakui oleh semua golongan terdahulu di Sungkai dan cerita ini telah sebati dengan penduduk di Sungkai apabila diajukan mengenai sejarah Sungkai. Namun begitu, sejauhmana kebenaran tentang cerita ini hanya Allah yang lebih mengetahui.
Pekan Sungkai mula dihubungkan dengan laluan keretapi pada tahun 1894. Ianya menghubungkan Bidor di utara dan Slim River di selatan. Tapak asal stesen keretapi adalah di tapak stesen bas sekarang ini.
Oleh kerana takutkan keretapi menggelungsur kerana berada di tempat yang tinggi, maka stesennya telah ditukar kira-kira sebatu dari pekan Sungkai. Pengangkutan utama ketika dahulu ialah menggunakan ialah beca dan kereta kuda.
Kedatangan orang-orang India dan Sikh menjadikan kaedah pengangkutan berubah kepada kereta lembu, disamping orang-orang2Cina yang masih menarik beca.
Dari segi ekonomi dikawasan ini, orang-orang Melayu menjalankan aktiviti pertanian, orang Cina menjadi peniaga serta buruh di lombong dan orang India di estet.
Masyarakat Cina yang berjaya menglahirkan tauke-tauke dalam bidang perlombongan dan perniagaan telah membina Sekolah Cina Khai Meng pada tahun 1923.
Sekolah Kebangsaan ditubuhkan pada 1900 adalah sekolah yang terawal di kawasan Batang Padang dan satu lagi sekolah dibina di Timur (Temoh). Murid-murid dari sejauh Tapah datang ke Sungkai menaiki keretapi tanpa dikenakan sebarang tambang. Kini sekolah itu menjadi sekolah arab di Pekan Lama.
Pekan Sungkai semakin berkembang mengikut peredaran zaman. Sejarah pekan Sungkai tidak lengkap jika tidak dimasukkn dengan perkembangan selepas Perang Dunia Kedua.
Salah satu yang ketara ialah pembukaan kawasan Sungai Klah pada tahun 1960 dan mula diduduki 4 tahun kemudian. Nama Sungai Klah muncul sempena namaikan kelah.
Kini kawasan Sungkai maju dengan perusahaan sawit, getah dan aktiviti perlancongaan dengan adanya kolam air panas Sungai Klah. Pembukaan Felda Trolak dan Besout pula menjadikan kawasan Sungkai sebagai antara pengeluar getah dan sawit yang utama di negeri Perak kini.