25 C
Ipoh
Thursday, 5 December 2024

Sejarah Disebalik Pembinaan Masjid Ubudiah Di Bukit Chandan

- Advertisement -
- Advertisement -

Di Bukit Chandan, Kuala Kangsar terdapat dua buah bangunan yang tersergam indah seni binannya dan amat menarik untuk dipandang. Kedua-duanya amat berkait rapat dengan kesultanan Negeri Perak yang mana dua buah seni bina bangunan merujuk kepada Masjid Ubudiah dan Istana Iskandariah.

Kali ini, orangperak.com ingin mendendangkan kisah penceritaan dengan lebih mendalam tentang sejarah pembinaan Masjid Ubudiah. Untuk makluman umum, Masjid Ubudiah ini seringkali disebut sebagai Masjid Negara yang mana pada waktu itu, masjid inilah yang menjadi lokasi tumpuan Sultan Perak dan kerabat diraja untuk menunaikan solat fardhu dan lain-lain istiadat rasmi.

Satu ketika dahulu sebelum terbinanya Masjid Ubudiah, baginda Sultan Perak yang ke 28 iaitu Almarhum Sultan Idris I yang memerintah negeri Perak dari tahun 1887 hingga tahun 1916 telah bercadang untuk membina sebuah masjid. Disebalik cadangan tersebut, terdapat satu peristiwa kenapa baginda Sultan Perak ingin membinanya.

Kisahnya, Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) pernah jatuh sakit dan baginda telah ke Port Dickson untuk meneriwa rawatan dan beristirehat. Pada waktu itu, baginda berikrar dan bernazar untuk membina sebuah masjid apabila pulang ke Istana Bukit Chandan di Kuala Kangsar sekiranya kembali sembuh seperti sediakala.

Sejarah Disebalik Pembinaan Masjid Ubudiah Di Bukit Chandan
Almarhum Sultan Idris I

Nazar baginda Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) itu dibuat sebagai tanda syukur baginda terhadap Allah SWT yang maha kuasa kerana memberi keizinan untuk memberi kesembuhan dan secara tidak langsung, baginda juga mahu sediakan sebuah masjid yang besar dan selesa untuk rakyat menunaikan ibadat harian di sana.

Setelah baginda Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) kembali sembuh, maka pulanglah baginda Sultan Perak ke Bukit Chandan dari Port Dickson. Sejurus selepas baginda sampai di Bukit Chandan dan tanpa melengahkan masa, baginda Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) pun mengarahkan seorang jurutera di Kuala Lumpur untuk buat persiapan membina masjid yang diingininya.

Col Hussley adalah nama kepada jurutera yang telah diarahkan oleh baginda Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) untuk membina Masjid Ubudiah. Baginda juga turut menyatakan hasrat agar masjid tersebut dibina dengan menggunakan batu marmar dari negara Itali.

Sejarah Disebalik Pembinaan Masjid Ubudiah Di Bukit Chandan

Upacara meletakkan batu asas Masjid Ubudiah telah diadakan pada tahun 1913 yang mana ia dijalankan sendiri oleh Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28). Hendak dijadikan cerita sewaktu masjid tersebut sedang giat dibina, terdapat satu majlis kenduri telah diadakan berdekatan dengan kawasan pembinaan masjid.

Kenduri tersebut adalah kenduri dari kerabat diraja yang mana istiadat berkhatan untuk cucu Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) iaitu Raja Khalid anak kepada Almarhum Sultan Abdul Jalil (Sultan Perak ke 29). Sewaktu kenduri tersebut sedang berlangsung, terdapat upacara pertembungan antara dua ekor gajah yang dilangsungkan selama beberapa jam.

Seekor daripadanya bernama Kulup Chandan yang dimiliki oleh Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) dan digembala oleh Kulup Said. Manakala seekor lagi lawannya adalah gajah yang bernama Kulup Gangga yang dimiliki oleh Raja Chulan dan digembala oleh Uda Dabok.

Sewaktu kedua-dua ekor gajah tersebut sedang bertempur, mereka melarat sehingga ke kawasan pembinaan masjid yang terletak tidak jauh dari kawasan kenduri. Pada waktu itulah sebilangan besar bahan-bahan pembinaan untuk Masjid Ubudiah termasuk batu marmar yang di import khas dari negara Itali telah rosak dan binasa.

Sejarah Disebalik Pembinaan Masjid Ubudiah Di Bukit Chandan
Raja Chulan (kiri) dan Almarhum Sultan Idris I (kanan)

Pertembungan dua gajah jantan itu dihentikan oleh Raja Chulan sebelum keadaan menjadi tidak terkawal dan untuk mengelakkan kerosakan yang lebih teruk. Oleh yang demikian, bahan-bahan binaan baru terpaksa ditempah semula dari negara Itali untuk gantikan bahan-bahan yang telah rosak.

Malangnya, waktu itu perang dunia pertama sedang melanda dunia. Oleh disebabkan krisis perang dunia pertama itu, kapal dagang yang membawa bahan-bahan binaan untuk Masjid Ubudiah terpaksa mengubah laluan dengan belayar melalui Tanjung Harapan dahulu sebelum tiba di Perak.

Pada tahun 1916, Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28) telah mangkat dan Masjid Ubudiah pada waktu itu masih lagi dalam pembinaan. Selepas kemangkatan baginda Almarhum Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28), anakandanya itu Alhmarhum Sultan Abdul Jalil telah menggantikan takhta Sultan Perak sebagai Sultan Perak ke 29.

Pemerintahan Alhmarhum Sultan Abdul Jalil (Sultan Perak ke 29) tidak lama dan hanya kurang dari masa dua tahun sahaja. Dalam masa itu, baginda Alhmarhum Sultan Abdul Jalil (Sultan Perak ke 29) sempat merasmikan Masjid Ubudiah dalam tahun 1917.

Sejarah Disebalik Pembinaan Masjid Ubudiah Di Bukit Chandan

Kos pembinaan Masjid Ubudiah telah menelan belanja sebanyak $300,000 dan hanya untuk makluman umum untuk anda, Istana Iskandariah yang menjadi tempat bersemayam Sultan negeri Perak telah dibina pada tahun 1933 dengan menggunakan sebilangan besar bahan-bahan binaan yang berlebihan dari Masjid Ubudiah dan ada juga dipesan dari luar negara terutamanya sekali batu marmar yang sama yang digunakan untuk Masjid Ubudiah.

- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here