Kisah Tragedi Pelanggaran Kereta Api Dan Gajah di Teluk Intan Pada Tahun 1894

Dalam lipatan sejarah negeri Perak, terdapat pelbagai peristiwa unik yang menggambarkan konflik antara manusia dengan alam. Salah satu insiden paling menggemparkan ialah tragedi pelanggaran kereta api dengan sekawan gajah pada 17 September 1894 di Teluk Anson (kini Teluk Intan), Perak.
Peristiwa ini bukan sahaja mencatatkan kemalangan pertama seumpamanya dalam sejarah keretapi di Tanah Melayu, malah mendedahkan ketegangan antara pembangunan moden dengan ekosistem semula jadi. Kisah ini bukan sekadar tentang kemalangan, tetapi juga tentang dendam seekor gajah jantan yang kehilangan anaknya, lalu bertindak nekad menyerang kereta api sebagai balasan.

Detik-Detik Mengerikan di Landasan Kereta Api
Pada petang 17 September 1894, sebuah kereta api wap milik Perak Railways sedang dalam perjalanan dari Tapah Road ke Teluk Anson. Kereta api itu membawa tiga gerabak penumpang, kebanyakannya terdiri daripada saudagar dan tauke lombong yang baru selesai meninjau kawasan perlombongan di Perak.
Dipandu oleh seorang pemandu berbangsa Inggeris, kereta api itu meluncur laju pada kelajuan 40–50 batu sejam, suatu kelajuan yang agak pantas bagi teknologi enjin wap pada masa itu. Tanpa disangka, sekumpulan gajah liar telah menunggu di tengah-tengah landasan, diketuai oleh seekor gajah jantan yang besar.
Menurut saksi penduduk kampung, gajah jantan itu telah merencanakan serangan sebagai tindakan balas dendam. Beberapa minggu sebelumnya, anak gajahnya dilaporkan mati dilanggar kereta api di kawasan yang sama. Dalam keadaan marah dan “naik minyak,” gajah jantan itu menyerang kereta api secara berdepan dengan kekuatan penuh.

Kereta Api Tergelincir, Gajah Mati Terbunuh
Dengan tenaga yang luar biasa, gajah jantan itu merempuh lokomotif sehingga mengakibatkan kereta api tergelincir dari landasan. Beberapa gerabak rosak teruk, dan dua pekerja kereta api berbangsa India dilaporkan maut akibat kecederaan parah. Tiada penumpang yang cedera dalam kejadian itu, tetapi mereka terpaksa berjalan kaki sejauh hampir tiga batu ke Stesen Kereta Api Teluk Anson.

Gajah jantan itu sendiri mati di tempat kejadian akibat tenaga hentaman yang terlalu kuat. Saiznya yang luar biasa, dikatakan lebih tinggi daripada gerabak kereta api tersebut menjadi bukti kekuatan haiwan itu sebelum menemui ajal. Tengkorak kepala dan sepasang gading gajah tersebut kemudiannya dipamerkan di Muzium Taiping, manakala tulang paha setinggi hampir satu meter disimpan di Muzium KTM Johor Bahru.
Sebuah gambar lama juga menunjukkan seorang saudagar Inggeris berdiri dengan bangga di atas bangkai gajah, seolah-olah merakamkan “kemenangan” manusia atas alam.

Memorial yang Hampir Hilang Ditelan Zaman
Bagi memperingati peristiwa luar biasa ini, pihak pentadbiran kereta api British telah mendirikan sebuah memorial berhampiran lokasi kejadian. Pada papan tanda itu terukir kata-kata:
“THERE IS BURIED HERE A WILD ELEPHANT WHO IN DEFENCE OF HIS HERD CHARGED AND DERAILED A TRAIN ON THE 17TH DAY OF SEPT 1894.”
“Disini ditanam seekor gajah liar yang sedang mempertahankan kawanannya telah menyerang dan mengelincirkan keretapi pada 17 September 1974”
Namun, dek kerana peredaran masa, memorial itu hampir musnah. Laluan kereta api dari Tapah Road ke Teluk Intan dihentikan pada akhir 1980-an kerana kerugian operasi, menyebabkan kawasan itu dipenuhi semak belukar. Papan tanda itu semakin usang, catnya pudar, dan tulisan tidak lagi terbaca.

Usaha Pemuliharaan oleh Pencinta Sejarah
Menjelang akhir 2018, sekumpulan sukarelawan dari Orang Perak yang juga bersama dengan Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak dan Persatuan Pelukis Teluk Intan bangkit untuk memulihara memorial tersebut. Diketuai oleh Encik Iskandar Zulqarnain (yang juga admin Orang Perak) telah menjalankan inisiatif bagi memulihara dan mengecat kembali papan tanda bersejarah ini.
Dengan bantuan daripada En Badrul Hisham serta sumbangan melalui website Orang Perak pada ketika itu, projek ini memperoleh dana yang cukup untuk membaik pulih memorial ini. Malah projek ini turut mendapat sokongan kewangan sebanyak RM2,000 daripada YB Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Teluk Intan.
Namun kini setelah hampir 7 tahun memorial itu telah dibaik pulih dan menjadi tarikan pelancong, memorial ini kembali uzur dan usang. Malah laluan yang dibina bagi memudahkan pengunjung yang ingin mengetahui kisah tragis ini sudah dipenuhi dengan semak samun. Orang Perak berharap kita sama-sama dapat melakukan inisiatif bagi menyelamatkan memorial ini kembali.


Selain itu, pada tahun 2020 melalui Projek Jejak Warisan Teluk Intan yang dibiayai oleh Yayasan CIMB, sebuah papan tanda informasi telah didirikan disini bagi memudahkan pengunjung untuk memahami sejarah pelanggaran gajah dengan keretapi yang pernah berlaku. Dengan adanya papan tanda seperti ini, pengunjung akan dapat lebih memahami dan memanfaatkan pengalaman berada sendiri di tempat bersejarah.

Projek Jejak Warisan Teluk Intan diketuai oleh Encik Iskandar Zulqarnain yang juga wakil pasukan Orang Perak melalui Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak. Melalui projek ini, sebanyak 20 papan tanda informasi sejarah telah didirikan di 20 tempat bersejarah yang ada di sekitar bandar Teluk Intan.
Manusia vs Alam — Siapa yang Menang?
Tragedi 1894 bukan sekadar kemalangan kereta api, tetapi simbol konflik antara kemajuan manusia dengan alam sekitar. Gajah jantan itu mungkin dilihat sebagai “penyerang” dalam naratif manusia, tetapi bagi alam, ia adalah korban pembangunan yang tidak terkawal. Kisah ini mengingatkan kita bahawa setiap tindakan manusia terhadap alam boleh membawa kesan yang tidak terduga.
Kisah anak gajah yang dilanggar lori di laluan Gerik-Jeli semalam meruntun hati ramai pihak. Ia seperti pengulangan apa yang pernah berlaku 131 tahun yang lalu di Teluk Intan. Sepatutnya kejadian seperti ini boleh dielakkan jika lebih banyak usaha untuk menyelamat haiwan liar dilakukan oleh pihak berwajib serta kita sendiri sebagai manusia yang bertanggungjawab.

Kesimpulan
Lebih 125 tahun berlalu, insiden Teluk Anson tetap menjadi legenda dalam sejarah keretapi Malaysia. Ia bukan sahaja mengingatkan kita tentang teknologi awal kereta api, tetapi juga tentang betapa pentingnya keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan alam. Memorial yang ada bukan sekadar sebagai tanda sejarah, tetapi sebagai peringatan abadi yang alam juga mempunyai cara tersendiri untuk membalas dendam.
Rujukan :
- Hari Ini Dalam Sejarah, Arkib Negara Malaysia
- The Straits Times (20 April 1963) m/s 14
- FB Page Jejak Warisan Teluk Intan
- FB Iskandar Zulqarnain
- Laman web orangperak.com








