Parti Komunis Malaya (PKM) telah melakukan pelbagai kekecohan, kerosakan harta benda dan mengorbankan orang awam yang sangat tragis sekitar tahun 1948. Sir Edward Gent selaku Pesuruhjaya Tinggi dalam sidang akbar ada menjelaskan terdapat sebanyak 13 peristiwa kebejatan puak-puak komunis ini.
Selang 3 hari, pihak komunis telah mengorbankan 3 orang peladang Inggeris di Sungai Siput, Perak. Pengumuman darurat diumumkan pada tarikh 16 Jun 1948 di Sungai Siput dan Ipoh, Perak. Beberapa kawasan di Johor turut menerima perintah darurat dan selang sehari keesokkan harinya, seluruh negeri Perak dan negeri Johor telah diisytiharkan darurat.
Peristiwa terkorbannya Sir Edward Gent dalam nahas udara di London telah meletakkan Sir Henry Gurney sebagai pengganti dan beliau juga telah menimpa nasib yang sama setelah dihujani dengan tembakan senapang rifle komunis semasa perjalanan beliau di Bukit Fraser, Pahang pada tarikh 6 Oktober 1951.
Sir Gerald Templer telah dihantar serta merta dan nampak lebih agresif dalam usaha untuk membenteras kekejaman pihak komunis. Pelbagai strategi dan usaha telah dilakukan untuk mengekang penularan idealogi Komunis di Tanah Melayu. Sejak itu, bilangan pengganas yang terkorban meningkat sehingga 1,097 orang.
Dendam darurat tahun 1948 telah menjadikan Tanjong Malim sebagai tapak perjuangan mereka tambahan lagi pengganas komunis telah mendapat sokongan dan bantuan daripada masyarakat Cina di Tanjong Malim. Tambahan lagi, bentuk muka bumi di Tanjong Malim yang masih berhutan tebal amat sesuai untuk dijadikan sebagai tempat persembunyian mereka.
Dilaporkan pada tarikh 21 Febuari 1950, seorang pengganas telah berjaya ditembak oleh anggota Polis di Simpang Tiga, Perak. Pada tarikh 21 Januari 1952, seramai 20 orang pengganas komunis telah memasuki Kampung Behrang Ulu dan merampas 6 laras senjata api.
Pada hari yang sama, seramai tiga orang komunis berjaya ditumbangkan oleh pasukan keselamatan di kawasan Leonardo Estate yang terletak sejauh dua batu dari pekan Tanjung Malim. Sehari kemudian, seramai 20 orang pengganas telah menyerang sekumpulan pekerja di labatan Kerja Raya dan merampas 7 kad pengenalan mereka.
Pengganas turut membakar lori milik Jabatan Kerja Raya dan telah menyebabkan kerugian bernilai $1,600. Pada tarikh 1 Febuari 1952, seramai 20 orang pengganas komunis telah menyerang dan merosakkan Balai Pengawal Polis di Tanjong Malim. Pelbagai kerosakan, kemusnahan harta benda dan korban jiwa berpunca daripada mereka.
Kemuncak kepada malapetaka ini apabila peristiwa terkorbannya Penolong Pegawai Daerah Tanjong Malim bernama Micheal Codner, 11 orang awam dan anggota polis pada tarikh 25 Mac 1952. Dengan terkorbannya Micheal Codner, ia secara tidak langsung telah memberi impak yang besar kepada pembangunan di Tanjong Malim.
Satu ruangan dalam akhbar The Straits Times terdapat satu artikel yang ditulis oleh Leslie Hoffman ada menyatakan memberi penghormatan kepada Micheal Codner atas segala jasa beliau. Leslie Hoffman turut menggambarkan Micheal Codner sebagai seorang yang sangat berjasa kepada penduduk Tanjung Malim dan mempunyai hubungan baik dengan masyarakat.
Program penempatan semula yang dijalankan oleh beliau dengan memasang pagar kawad berduri telah menyakinkan penduduk tempatan tahap keselamatan mereka. Antara kejayaannya lagi adalah dengan membina 6 penempatan semula dan menjadi sanjungan masyarakat atas sifatnya keberanian dan kebijaksanaanya.
Sifat rajin bekerja yang ditonjolkan oleh beliau turut diperakui oleh penduduk tempatan dan keprihatinannya terhadap masalah masyarakat kampung menjadi bualan indah penduduk setempat. Beliau adalah seorang yang adil dan tidak memilih kasih dalam membantu mentadbir kawasan Tanjong Malim yang sedang berkembang pesat.
Keberanian beliau tidak dapat diragui lagi apabila beliau telah pergi sendiri untuk melihat tangki air yang telah disabotaj oleh pengganas komunis dan berusaha untuk memastikan penduduk setempat memperoleh bekalan air bersih semula. Namun keberaniannya telah memakan diri apabila terkorban dalam serangan hendap pengganas komunis.
Turut terkorban dalam serangan hendap tersebut seramai 2 orang awam, 2 orang British dan 8 orang anggota polis. Baki seramai 8 orang anggota polis lain telah tercedera. Pihak komunis pula telah kehilangan 2 anggota dan 5 orang yang tercedera.
Rujukan:
- Darurat di Tanah Melayu: Peristiwa dan Pengajaran Untuk Generasi Masakini Dalam Konteks Ketahanan Nasional, Zulhilmi bin Paidi & Rohani Hj Ab Ghani.
- Aksi dan Reaksi: Kekejaman Komunis di Tanjung Malim dan tindak balas British, Mac – April 1952 Noor Ain binti Mat Noor dan Azharudin Mohamed Dali.